Qari Mesir Dan Qariah Pakistan Dinobat Sebagai Johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-52 Tahun 1431H/2010M

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-52 berlangsung mulai 27 Julai hingga 3 Ogos 2010. Dengan jumlah 76 buah negara yang dijemput, sebanyak 41 buah negara yang telah mengambil bahagian iaitu seramai 41 orang qari dan 20 orang qariah memperdengarkan bacaan al-Quran masing-masing.
 
Majlis Perasmian Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa telah diadakan pada 27 Julai 2010 jam 8.45 malam bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan untuk berangkat dan seterusnya merasmikan majlis tersebut. Turut hadir bersama TYT Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin; Yang di-Pertua Negeri Sarawak, TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaacob; Yang Di Pertua Negeri Melaka, YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Hj. Abdul Razak; Perdana Menteri Malaysia dan YB Senator Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom; Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta kenamaan lain turut hadir memeriahkan malam perasmian tersebut.
 
Dalam titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melahirkan rasa dukacita baginda dengan isu umat Islam yang diancam dengan pelbagai serangan fizikal dan spiritual serta isu Islamofobia yang cuba meracuni fikiran dan menakutkan masyarakat dunia dengan Islam. Untuk itu, baginda berharap agar seluruh dunia Islam dapat bersatu dan memainkan peranan dengan menyusun serta melaksanakan agenda memajukan umat Islam dengan lebih berkesan lagi.
 
Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 3 Ogos 2010 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa pada kali ini menyaksikan Qari dari Mesir iaitu Mr. Hani Abdel Aziz Ahmed merangkul tempat pertama dengan markah sebanyak 91.46 peratus diikuti oleh Mr. Wan Ainuddin Hilmi bin Abdullah markah 90.75 peratus dari Malaysia di tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh Mr. Abdul Wadoud K. Esmail dari Filipina dengan markah 89.63 peratus.
 
Manakala johan Qariah pula dirangkul oleh Mrs. Samia Khanan dari Pakistan dengan mengumpul markah sebanyak 91.08 peratus diikuti oleh Mrs. Dayang Nurfaezah binti Hj. Emran dari Brunei Darussalam dengan markah 90.17 peratus serta tempat ketiga di menangi oleh Mrs. Monaifah A. Bogabong Alawi dari Filipina dengan markah 88.75 peratus.
 
Bagi johan qari dan qariah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS 10, 000, piala iringan dan sijil penyertaan. Seterusnya hadiah bagi temp
t kedua ialah membawa wang tunai sebanyak AS 7,000, cenderamata dan sijil penyertaan, manakala pemenang tempat ketiga menerima wang tunai AS 4,000, cenderamata dan sijil penyertaan. Semua peserta lain menerima hadiah saguhati berjumlah AS 1,500, cenderamata dan sijil penyertaan