WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

TADABBUR KALAMULLAH 13 RAMADHAN 1441H
HIDUPKAN RAMADHAN DENGAN BERIKTIKAF

 
وَعَهِدۡنَاۤ إِلَىٰۤ إِبۡرَ ٰهِـۧمَ وَإِسۡمَـٰعِیلَ أَن طَهِّرَا بَیۡتِیَ لِلطَّاۤىِٕفِینَ وَٱلۡعَـٰكِفِینَ وَٱلرُّكَّعِ ٱلسُّجُودِ

"Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud" [Surah al-Baqarah 125]
 
Di antara amalan yang sangat di galakkan dalam menghidupkan Ramadhan ialah beriktikaf dan bermunajat pada Allah swt di rumahNya (masjid). Lebih dituntut untuk iktikaf ialah pada 10 malam terakhir Ramadhan. Amalan ini merupakan rutin yang sentiasa di amalkan oleh baginda saw.
 
#Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin Sayidatina A’isyah r.ha, katanya:

 
كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ 
 
"Adalah baginda saw beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Kemudian para isteri baginda turut beriktikaf selepas kewafatan baginda" (HR Muslim)
 
Berkata Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah: "Iktikaf adalah memutuskan segala perhubungan dari kesemua makhluk untuk bersambung dengan berkhidmat kepada al-Khaliq (pencipta)"
 
Menurut Imam ar-Ramli rahimahullah dalam Nihayah al-Muhtaj: "Dari sudut syarak, iktikaf membawa maksud menetap di dalam masjid dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah yang dilakukan oleh seorang muslim, mumayyiz, berakal, suci tubuh badan daripada junub, haid, serta nifas, dan dia menghalang dirinya daripada sebarang syahwat kemaluan".
 
Berkata Imam an-Nawawi rahimahullah: "Hukum beriktikaf adalah sunnah yang sangat dituntut. Disunatkan pada keseluruhan waktu manakala pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan ia lebih dituntut dengan tujuan untuk mengikut petunjuk Nabi saw dan mencari Lailatul Qadar. (Rujuk Raudhah al-Thalibin)
 
Imam al-Nawawi menyebut dalam al-Majmuk Syarah al-Muhazzab: "Sesiapa yang ingin mengikut petunjuk Nabi saw dalam beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadhan maka hendaklah dia masuk ke dalam masjid sebelum terbenamnya matahari pada malam 21 Ramadhan dan dia keluar setelah terbenamnya matahari pada malam raya. Yang lebih afdhal adalah dia duduk pada malam raya di dalam masjid  sehinggalah dia solat raya padanya. Ataupun dia keluar daripada masjid menuju ke musolla (tanah lapang) untuk menunaikan solat hari raya sekiranya orang ramai solat di musolla".
 
Pesan ulamak: "Satu-satunya khalwat (bersendirian) yang disyariatkan buat umat ini hanyalah ibadah iktikaf di dalam masjid. Jadikanlah ia sebagai medan untuk kita bersendirian dengan Allah swt, asyik dalam beribadah kepadaNya serta merasai kelazatan taat dalam melakukan perintahNya".
 
Rebutlah peluang beribadah dan bermunajat kepada Allah dengan beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan di masjid. Gandakan amal ibadah agar kita beroleh kelebihan beramal terutama di malam al-Qadar.
 
Tahun ini kita semua hanya beribadah dan bermunajat di rumah masing-masing kerana masjid masih ditutup akibat serangan Covid-19. Harap maklum!!





QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 05 Jun 2020.
Jumlah Pelawat :12415978