Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah
PUTRAJAYA : Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Datuk Abdul Aziz bin Jusoh, dilantik sebagai Ketua Pengarah yang baharu bermula hari ini.

YBhg. Datuk Abdul Aziz bin Jusoh, menggantikan Ketua Pengarah sebelum ini iaitu Allahyarham Dato’ Paimuzi bin Yahya yang telah kembali ke rahmatullah pada 8 Oktober 2020.

YBhg. Datuk Abdul Aziz bin Jusoh telah menerima surat pelantikan yang disampaikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) awal pagi ini di sini.

YBhg. Datuk Abdul Aziz sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM merupakan anak kelahiran negeri Kelantan Darul Naim. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1985) dan memiliki Sijil Kaunseling dan Pengurusan Agama dari Muslim College London (2003).

Beliau berpengalaman sebagai penjawat awam lebih daripada 34 tahun apabila mula menyertai skim perkhidmatan Pegawai Hal Hal Ehwal Islam pada tahun 1986 sebagai Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri. Beliau juga pernah diberi kepercayaan untuk berkhidmat di luar Negara sebagai Pegawai Agama di Kedutaan Besar Malaysia, Tokyo, Jepun pada tahun 1997 dan Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia pada tahun 2009 hingga 2013. Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM pada 1 April 2020, beliau banyak menabur bakti di luar ibu pejabat JAKIM. Antaranya sebagai Pengarah JAKIM Cawangan Sarawak pada tahun 2013 hingga 2017, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada tahun 2017 hingga 2018 sebelum diberi kepercayaan menerajui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bermula 20 April 2018 hingga 31 Mac 2020.

JAKIM merakamkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada pihak kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepada YBhg. Datuk Abdul Aziz bin Jusoh bagi menggalas tugas dan amanah sebagai Ketua Pengarah JAKIM bermula 15 Januari 2021.

Pelantikan KP JAKIM Datuk Aziz