WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

TADABBUR KALAMULLAH 16 RAMADHAN 1441H
BERBAKTILAH KEPADA IBUBAPA
 
 
وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
 
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya” [Surah al-Isra’ 23]
 
Islam sangat menekankan tentang penghormatan dan kebaktian kepada kedua ibubapa. Betapa pentingnya berbuat baik kepada ibu bapa sehinggakan dalam beberapa ayat, Allah swt menggandingkan amalan berbakti kepada kedua ibubapa dengan ayat mentauhidkanNya. Hal ini kerana jasa kedua ibubapa terlalu besar untuk diperkatakan.
 
Sungguh, jasa orang tua apalagi seorang ibu begitu besar dan tersangat besar. Mulai dari saat mengandung, mula menanggung berbagai macam penderitaan. Tatkala melahirkan juga demikian. Begitu pula saat menyusui, yang sebenarnya itu adalah waktu istirehat baginya, namun seorang ibu rela tidak berehat di saat si bayi kecil kehausan dan memerlukan air susunya. Oleh kerana itu, jasanya sangat besar dan sulit sekali untuk dibalas. Bahkan tidak akan terbalas.
 
Antara amalan yang membuahkan taqwa kepada kita ialah dengan cara membahagiakan kedua ibu bapa kita. Antara bakti seorang anak ialah dengan cara:
 
1.      Menziarahi kedua ibubapa.
 
2.      Sentiasa menghubungi mereka (jika tinggal berjauhan).
 
3.      Membiayai kehidupan mereka.
 
4.      Menghulurkan nafkah bulanan/harian.
 
5.      Menjaga dan membela mereka.
 
6.      Memuliakan, menghormati dan mematuhi perintah mereka.
 
7.      Berlemah lembut dan menyantuni mereka.
 
8.      Sentiasa membuatkan mereka tersenyum.
 
9.      Menyediakan tempat tinggal dan segala keperluan mereka.
 
10.  Jangan sesekali menyusah dan menyakiti hati mereka.
 
 
Antara ganjaran yang disediakan bagi anak yang berbakti kepada kedua ibubapa ialah:
 
1.      Jaminan dimasukkan ke dalam syurga (HR at-Tirmizi dan Ahmad).
 
2.      Dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki (HR Ahmad).
 
3.      Beroleh doa kebaikan daripada ibubapa kerana doa mereka mustajab (HR Ibnu Majah).
 
 
Daripada Thaisalah bin Mayyas, ia berkata:


 كُنْتُ مَعَ النَّجَدَاتِ ، فَأَصَبْتُ ذَنُوْبًا لاَ أَرَاهَا إِلاَّ مِنَ الْكَبَائِرِ، فَذَكَرْتُ ذَالِكَ ِلابْنِ عُمَرَ. قاَلَ: مَا هِىَ؟ قلُتْ:ُ كَذَا وَكَذَا. قَالَ: لَيْسَتْ هَذِهِ مِنَ الْكَبَائِرِ، هُنَّ تِسْعٌ: اْلإِشْرَاكُ بِاللهِ، وَقَتْلُ نِسْمَةٍ، وَالْفِرَارُ مِنَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَةِ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيْمِ، وَإِلْحَادُ فِي الْمَسْجِدِ، وَالَّذِيْ يَسْتَسْخِرُ ، وَبُكَاءُ الْوَالِدَيْنِ مِنَ الْعُقُوْقِ، قاَلَ: لِي ابْنُ عُمَرَ: أَتَفَرَّقُ النَّارَ ، وَتُحِبُّ أَنْ تَدْخُلَ الْجَنَّةَ؟ قُلْتُ: إِيْ، وَاللهِ! قَالَ: أَحَيٌّ وَالِدَاكَ؟ قُلْتُ: عِنْدِيْ أُمِّىْ. قَالَ: فَوَاللهِ! لَوْ أَلَنْتَ لَهَا الْكَلاَمَ، وَأَطْعَمْتَهَا الطَّعَامَ، لَتَدْخُلَنَّ الْجَنَّةَ مَا اجْتَنَبْتَ الْكَبَائِرَ 
“Ketika tinggal bersama an-Najdat, saya melakukan perbuatan dosa yang saya anggap termasuk dosa besar. Kemudian saya ceritakan hal itu kepada Sayidina Abdullah bin Umar r.a. Beliau lalu bertanya: "Perbuatan apa yang telah engkau lakukan?”. ”Saya pun menceritakan perbuatan itu.” Beliau menjawab: “Hal itu tidaklah termasuk dosa besar. Dosa besar itu ada sembilan, iaitu mempersekutukan Allah, membunuh orang, lari dari medan pertempuran, memfitnah seorang wanita mukminah (dengan tuduhan berzina), memakan riba, memakan harta anak yatim, berbuat maksiat di dalam masjid, menghina, dan menyebabkan tangisnya kedua orang tua kerana derhaka kepada keduanya.” Ibnu Umar r.a lalu bertanya: “Apakah engkau takut masuk neraka dan ingin masuk syurga?”. ”Ya, saya ingin”, jawabku. Beliau bertanya: “Apakah kedua orang tuamu masih hidup?” “Saya masih memiliki seorang ibu”, jawabku. Beliau berkata: “Demi Allah, sekiranya engkau berlemah lembut dalam bertutur kepadanya dan memasakkan makanan baginya, sungguh engkau akan masuk syurga selama engkau menjauhi dosa-dosa besar.” (HR al-Bukhari)
 
Bahagiakan dan berbaktilah kedua ibubapa selagi mana mereka masih hidup. Semoga kita tergolong dalam kalangan anak yang berbakti dan dijamin syurga. Aamiiin.





QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 05 Jun 2020.
Jumlah Pelawat :12415996