WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

TADABBUR KALAMULLAH 19 RAMADHAN 1441H
BERDOALAH ALLAH MAKBULKAN
 

 
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِی عَنِّی فَإِنِّی قَرِیبٌۖ أُجِیبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ فَلۡیَسۡتَجِیبُوا۟ لِی وَلۡیُؤۡمِنُوا۟ بِی لَعَلَّهُمۡ یَرۡشُدُونَ
 
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul" [Surah al-Baqarah 186]
 
Doa merupakan senjata orang mukmin. Doa juga menjadi tali penghubung antara seorang hamba dengan Tuhannya. Namun dalam segala doa yang kita panjatkan itu ada yang di makbulkan dan ada pula yang tidak dimakbulkan. Allah swt menyebut di dalam ayat ini bahawa sebab utama dan terbesar Allah mengabulkan permohonan orang yang berdoa ialah;
 
1. Hendaklah menyahut seruan Allah dan mematuhi perintahNya.
 
2. Hendaklah beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.
 
 
Selain itu, antara penyebab doa mudah dimakbulkan Allah swt ialah:
 
1. Makan makanan yang halal lagi baik.

 
Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a berkata, Nabi saw bersabda:
 
أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا
 
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu thoyyib (baik). Allah tidak akan menerima sesuatu melainkan dari yang thoyyib (halal lagi baik)..." (HR Muslim)
 
Daripada Sahl bin Abdillah rahimahullah, ia berkata:
 
من أكل الحلال أربعين يوماً  أُجيبَت دعوتُه
 
“Barangsiapa makan makanan halal selama 40 hari, maka doanya akan mudah dimakbulkan”.
 
2. Gemar melakukan ketaatan.
 
Berkata Imam Ibnu Rajab al-Hambali rahimahullah: “Melakukan ketaatan memudahkan terkabulnya doa. Oleh kerana itu terdapat pada kisah tiga orang  yang masuk dan terkurung dalam sebuah gua. Batu besar yang menutupi mereka telah terbuka kerana sebab amalan yang mereka sebutkan dalam doa mereka. Di mana mereka melakukan amalan tersebut ikhlas kerana Allah swt. Mereka berdoa kepada Allah dengan menyebut amalan soleh (ketaatan) tersebut sehingga doa mereka pun dikabulkan (dapat keluar dari gua tersebut)".
 
3. Menjauhi larangan Allah dan perkara yang haram.
 
Daripada Sayidina Umar bin al-Khattab r.a, ia berkata:
 
بالورع عما حرَّم الله يقبلُ الله الدعاء والتسبيحَ
 
“Dengan sikap warak (hati-hati) terhadap larangan Allah (perkara yang diharamkan Allah), DIA akan mudah mengabulkan doa dan memperkenankan tasbih (zikir subhanallah)"
 
4. Hidup bergelumang dengan perkara yang baik dan sentiasa melakukan amalan yang soleh.
 
Berkata Imam Wahb bin Munabbih rahimahullah:
 
العملُ الصالحُ يبلغ الدعاء، ثم تلا قوله تعالى: إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُه
 
“Amalan soleh akan memudahkan tersampainya (terkabulnya) doa. Lalu beliau membaca firman Allah swt: "Kepada Allahlah naiknya segala perkataan yang baik, dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya)" [Surah Fathir 10]
 
Sebahagian salaf berkata:
 
لا تستبطئ الإجابة ، وقد سددتَ طرقها بالمعاص
 
“Janganlah engkau memperlambat terkabulnya doa dengan engkau menempuh jalan maksiat” (Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam)
 
Apa sahaja yang kita hajatkan maka berdoalah dan mohonlah kepada Allah swt dengan memahami keutamaan dan adab-adabnya. Tugas hamba ialah berdoa, samada di makbulkan atau tidak, itu hak Allah swt. Teruskan berdoa tanpa jemu dan jangan sesekali berputus asa serta ikutilah tips berdoa agar mudah dimakbulkan.






QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 29 Mei 2020.
Jumlah Pelawat :12413398