WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Tadabbur Kalamullah 20 Ramadhan 1441H
Sebab Doa Tertolak

 
 
وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِیۤ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ
 
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu" [Surah Ghafir 60]
 
Doa adalah satu bentuk pengharapan kerana manusia sangat mengharap pertolongan dan bantuan daripada Allah swt. Namun perlu diingat, diterima atau tidak, cepat atau lambatnya, doa diperkenankan adalah urusan Allah swt. Urusan kita ialah sentiasa berdoa dan berharap kepada Allah swt dalam apa situasi sekalipun.
 
Terdapat beberapa sebab doa seseorang itu tidak dimakbulkan oleh Allah (ditolak doanya), antara sebabnya ialah:
 
1. Terlibat dengan kehidupan yang haram.
 
Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, berkata:
 
ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِىَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
 
"...Kemudian Nabi saw menceritakan tentang seorang lelaki yang telah menempuh perjalanan jauh (musafir), sehingga rambutnya kusut, masai dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dari yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?” (HR Muslim)
 
Berkata Imam Wahab bin Munabbih rahimahullah: "Siapa yang ingin doanya dimakbulkan oleh Allah swt, maka perbaikilah makanannya".
 
2. Mendoakan perkara buruk, dosa dan mungkar.
 
3. Doa yang memutuskan silaturrahim.
 
4. Tergesa-gesa dan putus asa.
 
Nabi saw bersabda:
 
لاَ يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ مَا لَمْ يَسْتَعْجِلْ ». قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الاِسْتِعْجَالُ قَالَ: يَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ أَرَ يَسْتَجِيبُ لِى فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ
 
"Doa seseorang sentiasa akan dimakbulkan selama dia tidak berdoa untuk perbuatan dosa atau pun untuk memutuskan tali silaturahim dan tidak terburu-buru. Seorang sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru?" Rasulullah saw menjawab: "Yang dimaksudkan dengan terburu-buru adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan: Aku telah berdoa dan terus berdoa, tetapi belum juga dikabulkan. Setelah itu, ia berasa putus asa dan tidak pernah berdoa lagi" (HR Muslim)
 
5. Hati telah mati dan jauh dari Allah.
 
Ibrahim bin Adham rahimahullah pernah ditanya oleh orang ramai ketika berada di tengah pasar Basrah di Iraq: "Mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah swt, padahal kami selalu berdoa?" Lalu Ibrahim bin Adham menjawab: "Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah buta (mati)".
 
6. Berdoa dalam keadaan lalai dan tidak yakin dimakbulkan.
 
Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
 
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
 
"Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah bahawa Allah swt tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa" (HR at-Tirmizi)
 
Pastikan kita sentiasa berdoa kepada Allah swt di waktu  senang dan juga di waktu susah. Jangan hanya kenal Allah di waktu susah dan melupakan Allah di waktu senang. Rasulullah saw bersabda:
 
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيبَ اللَّهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكُرَبِ، فَلْيُكْثِرِ الدُّعَاءَ فِي الرَّخَاءِ
 
“Siapa yang suka Allah terima doanya ketika kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa kemewahan dan kesenangan" (HR at-Tirmizi dan Abu Ya’la)
 
Jangan sesekali melakukan perkara yang menjadi penyebab doa kita ditolak. Teruskan berdoa, meskipun doa kita belum dikabulkan kerana Allah juga ada ketikanya menerima doa kita dengan sesuatu yang lain yang menurut Allah lebih baik untuk kita daripada apa yang kita pinta.






QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 29 Mei 2020.
Jumlah Pelawat :12413402