WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

TADABBUR KALAMULLAH 23 RAMADHAN 1441H
BERSEGERALAH BERAMAL SOLEH
 
 
 
لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِیۤ أَحۡسَنِ تَقۡوِیمࣲ * ثُمَّ رَدَدۡنَـٰهُ أَسۡفَلَ سَـٰفِلِینَ * إِلَّا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُمۡ أَجۡرٌ غَیۡرُ مَمۡنُونࣲ
 
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus" [Surah at-Tin 4-6]
 
Berkata 'Ikrimah rahimahullah: Maksud ayat "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya” sebagaimana di waktu muda iaitu masa kuat dan semangat untuk beramal".
 
Menurut Ibnu ‘Abbas dan beberapa ulamak tafsir yang lain: Maksud ayat "kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya" adalah dikembalikan ke masa tua renta setelah berada di usia muda, atau dikembalikan di masa-masa tidak semangat untuk beramal setelah sebelumnya berada di masa semangat untuk beramal".
 
Menurut an-Nakha’i: Maksud ayat "bagi mereka pahala yang tidak putus-putus" ialah jika seorang mukmin berada di usia tua dan pada saat itu sangat sukar/uzur untuk beramal, maka akan dicatat untuknya pahala sebagaimana amal yang dahulu dilakukan pada saat muda".
 
Ayat ini memberi kefahaman kepada kita bahawa perlu segera beramal di waktu sihat, di waktu muda dan diwaktu lapang. Jangan ditangguh-tangguh dan diremehkan. Ini kerana jika seseorang itu diwaktu mudanya kuat beramal soleh, melakukan perkara kebaikan dan kebajikan, tatkala tiba usia tua, uzur dan sudah tidak mampu lagi beramal, tetap dikurniakan pahala sebagaimana yang diperolehi di waktu muda dahulu. Namun jika di waktu muda tiada sebarang amal maka diwaktu uzur tiada sebarang ganjaran pahala. Hanya penyesalan dan kerugian.
 
Setiap Muslim hendaklah segera beramal sebelum datangnya tujuh perkara:
 
1. Kefakiran yang akan melupakan kamu daripada kewajipan.
 
2. Kekayaan yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas.
 
3. Penyakit yang membinasakan sehingga sukar untuk beramal soleh.
 
4. Masa tua yang menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran.
 
5. Kematian yang cepat dan secara tiba-tiba.
 
6. Kemunculan Dajjal sebagai makhluk jahat yang menyesatkan.
 
7. Hari Kiamat yang sangat mengerikan. (Rujuk HR at-Tirmizi)
 
Bersegeralah beramal soleh, semoga kita beroleh keampunan, ganjaran pahala yang lumayan dan syurga yang indah.
 
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
 
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya-seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa" [Surah Ali Imran 133]
 
فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ
 
“Berlumba-lumbalah dalam kebaikan" [Surah al-Baqarah 148]
 
Jadikan usia muda dan waktu sihat sebagai waktu paling bersemangat untuk beramal. Manfaatkanlah peluang ini dengan sebaik-baiknya. Janganlah disia-siakan.






QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 29 Mei 2020.
Jumlah Pelawat :12413385