WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

TADABBUR KALAMULLAH 27 RAMADHAN 1441H
LAILATUL QADAR MALAM ISTIMEWA
 
 
 
تَنَزّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْـرٍ * سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
 
“Pada malam itu (malam al-Qadar) turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin TuhanNya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar" [Surah al-Qadr 4-5]
 
Malam al-Qadar merupakan perayaan bagi umat Islam di mana telah turunnya al-Quran dan merupakan malam kesyukuran, kebajikan dan kenikmatan. Malaikat menyertai manusia pada malam itu dan mereka mengetahui kelebihan malam tersebut dan betapa besarnya kelebihan manusia atas diri mereka.
 
Antara kelebihan malam al-Qadar ialah turunnya para malaikat dan malaikat Jibril pada malam tersebut membawa rahmat dengan izin Allah swt.
 
Berkata Imam al-Qurtubi rahimahullah: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar".
 
Imam ad-Dahhaq rahimahullah berkata: “Allah swt tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan".
 
Kebanyakan ulamak mengatakan kelebihan malam al-Qadar akan diperolehi bagi sesiapa yang mendirikan solat Isyak dan solat Subuh secara berjemaah. Imam as-Syafie rahimahullah berkata:
 
مَنْ شَهِدَ الْعِشَاءَ وَالصُّبْحَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ، فَقَدْ أَخَذَ بِحَظِّهِ مِنْهَا
 
“Barangsiapa yang menyaksikan (hadir) menunaikan solat Isyak dan Subuh pada malam al-Qadar maka dia telah mendapat bahagiannya daripada malam tersebut”. (Raudhah at-Tholibin)
 
Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan waktu bermulanya malam al-Qadar adalah selepas terbenamnya matahari dan berakhir apabila terbitnya fajar berdasarkan ayat terakhir di dalam surah al-Qadar.
 
Lailatul Qadar adalah satu malam yang istimewa dan penuh kemuliaan yang disediakan oleh Allah swt secara khusus untuk umat Nabi Muhammad saw sahaja. Jom kita berusaha mencari dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan amal ibadah pada sepuluh malam terakhir, moga kita bertemu malam yang penuh kemuliaan ini serta beroleh rahmat dan keampunanNya. Aamiiin.






QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 29 Mei 2020.
Jumlah Pelawat :12413374