WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

TADABBUR KALAMULLAH 28 RAMADHAN 1441H
ISTIQAMAH MELAKSANAKAN KEBAIKAN
 

 
فَإِذَا فَرَغۡتَ فَٱنصَبۡ
 
"Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)"
[Surah as-Sharh 7]
 
Di antara tanda keimanan seseorang ialah sentiasa memikirkan untuk melakukan kebaikan. Apabila selesai melakukan satu kebaikan, akan difikirkan untuk melakukan kebaikan yang seterusnya. Kebaikan yang dilakukannya tidak terhenti begitu sahaja. Dia akan rasa kekosongan dan gelisah jika tidak berbuat kebaikan dan kebajikan.
 
Sabda Rasulullah saw:
 
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
 
"Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain" (HR Ibn Hibban)
 
Disebutkan juga bahawa tanda penerimaan sesuatu amalan yang dilakukan ialah apabila selesai melakukan kebaikan, terus berusaha melakukan kebaikan yang lain pula dan berterusan.
 
Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyebut: "Sesiapa yang melakukan ketaatan kepada Allah, dan selesai melaksanakannya, antara tanda diterimanya amalan tersebut adalah dia akan berterusan melakukan ketaatan yang lain selepas itu. Manakala antara tanda tertolaknya sesuatu amalan ialah apabila amalan itu diikuti dengan sesuatu maksiat. Apa sahaja kebaikan yang dilakukan selepas kejahatan, akan menghapuskan kejahatan tersebut, dan sudah pasti yang terbaik ialah melakukan kebaikan selepas melakukan kebaikan yang lain"
(Lihat Latha’if al-Ma’arif)
 
Berkata Imam Ibnu Rajab lagi: “Membiasakan berpuasa setelah puasa Ramadhan merupakan salah satu tanda diterimanya amalan puasa di bulan Ramadan. Sesungguhnya Allah swt jika menerima suatu amalan dari seorang hamba, maka Allah swt akan memberinya taufik untuk melakukan amal soleh setelahnya".
 
أُو۟لَـٰۤىِٕكَ یُسَـٰرِعُونَ فِی ٱلۡخَیۡرَ ٰ⁠تِ وَهُمۡ لَهَا سَـٰبِقُونَ
 
"Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya"
[Surah al-Mu'minun 61]
 
Berdoalah kepada Allah swt agar kita diberi taufiq dan kelazatan dalam melakukan kebaikan serta istiqamah dalam melaksanakannya. Semoga kita sentiasa disibukkan dengan amal yang baik dan kebajikan yang banyak.






QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 29 Mei 2020.
Jumlah Pelawat :12413390