WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

TADABBUR KALAMULLAH 2 SYAWAL 1441H
AIDILFITRI TANPA MAKSIAT & LAGHA
 

 
وَٱلَّذِینَ لَا یَشۡهَدُونَ ٱلزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا۟ بِٱللَّغۡوِ مَرُّوا۟ كِرَامࣰا
 
"Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya" [Surah al-Furqan 72]
 
Para ulamak seperti Imam Mujahid, Imam Ibnu Sirin, Imam Rabi’ bin Anas, dan Imam Ikrimah rahimahullah menafsirkan bahawa yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hari raya jahiliyah.
 
Sebagai orang yang beriman dan diredhai Allah, maka jangan sesekali hadir ke tempat maksiat dan lagha. Tempat yang dipenuhi dengan mungkar dan keji seumpama perayaan orang kafir yang dihiasi kesyirikan atau perayaan umat Islam yang disambut penuh kemaksiatan dan kelalaian. Jika seseorang itu terlibat dengan perayaan Jahiliyah yang lagha dan maksiat maka hendaklah bersegera memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah swt.
 
Diriwayatkan daripada Sayidina Anas bin Malik r.a menceritakan tatkala Nabi saw tiba di Madinah (selepas hijrah), penduduk Madinah mempunyai dua hari kebesaran di mana mereka menyambutnya dengan mengadakan permainan-permainan. Lalu baginda bertanya mereka: "Hari apakah yang kamu sambut ini?”. Mereka menjawab: “Dua hari yang kami biasa menyambutnya (dengan mengadakan permainan) pada masa jahiliyah”. Maka Nabi saw bersabda kepada mereka: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (HR Abu Daud dan an-Nasaie)
 
Di dalam kitab Subulus Salam, Imam as-Son’ani berkata: "Hadis ini menjadi dalil bahawa menzahirkan kegembiraan-kegembiraan ketika hari raya adalah disunatkan dan ia antara syariat Allah kepada hambaNya. Ini kerana yang digantikan hanyalah hari raya. Adapun adat sambutan yang dilakukan oleh mereka iaitu mengadakan permainan-permainan (untuk menzahirkan keseronokan dan kegembiraan) tidak disentuh oleh Rasulullah saw. Ini menunjukkan ia adalah harus pada hari raya. Namun hendaklah dipastikan tidak ada unsur yang dilarang oleh Syarak dan tidak memalingkan dari ketaatan".
 
Rasulullah saw pernah menyebut di dalam taujihadnya ketika berada di medan Hunain dengan berkata:
 
أَلَمْ آتِكُمْ ضُلاَّلاً فَهَدَاكُمُ اللهُ بِي وَعَالَةً فَأَغْنَاكُمُ اللهُ بِي وَمُتَفَرِّقِيْنَ فَجَمَعَكُمُ اللهُ بِي
 
"Bukankah aku datang ketika kalian dalam keadaan sesat kemudian Allah memberikan hidayahNya kepada kalian melalui aku, dan bukankah aku datang ketika kalian dalam keadaan miskin kemudian Allah jadikan kalian kaya dengan sebab aku, dan kalian berpecah belah kemudian Allah kumpulkan kalian melalui aku?" [Lihat Zaadul Ma’ad]
 
Sebagai umat Islam kita perlu berbangga dengan perayaan umat Islam iaitu dengan berusaha menyucikan diri daripada dosa, meningkatkan amal dan ketaatan kepada Allah, mengagungkan dan memuja-muji Allah swt, merapatkan perpaduan, menjauhi kesesatan dan menjaga diri daripada perkara dosa dan larangan Allah swt.
 
Jangan sesekali bangga atau cinta terhadap hari raya orang kafir atau mengisi perayaan kita (umat Islam) dengan sambutan yang menyerupai orang-orang kafir seperti hidangan arak, hiburan lagha, tarian, pesta makan, pembaziran, berpakaian menjolok mata dan mendedahkan aurat serta meninggalkan kewajipan solat dan seumpamanya.
 
Hari raya adalah hari ibadah dan membesarkan Allah. Firman Allah swt:
 
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
 
"Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur" [Surah al-Baqarah 185]
 
Kekalkan keimanan, ketaqwaan dan ketaatan kepada Allah di musim perayaan Aidilfitri ini. Jangan sesekali terlibat dengan kemungkaran dan kemaksiatan dalam kegembiraan menyambut hari raya saat ini.






QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 03 Julai 2020.
Jumlah Pelawat :12426526