Sarawak,Sabah,Brunei Darussalam

 
SARAWAK,SABAH,BRUNEI DARUSSALAM
Pusat Latihan Lawas JAKIM Cawangan Sarawak telah mula beroperasi sepenuhnya hujung tahun 2011. Lokasinya yang terletak di utara Sarawak kepulauan Borneo menjadi kelebihan untuk Pusat Latihan Lawas JAKIM Cawangan Sarawak membina ukhuwah serantau melalui program-program ilmiah yang diadakan.
Pada 21 Jun 2012, melalui kerjasama seborneo yang melibatkan Negeri Sarawak,Sabah dan Negara Brunei Darussalam,Pusat Latihan ini telah berjaya mengadakan ‘SEMINAR BELIA BORNEO’ anjuran bersama Jabatan Agama Islam Sarawak Daerah Lawas, Sekolah Menengah Kebangsaan Lawas Sarawak, Pusat Latihan Dakwah Keningau Sabah dan Sekolah Menengah Sultan Hassan Temburong Brunei Darussalam. Antara objektif program ini ialah untuk memberi pengetahuan hala tuju belia masa kini sebagai harapan dan pemimpin di masa akan datang. Selain itu juga, program ini diadakan bagi tujuan mengukuhkan jalinan kerjasama serantau sekaligus memberi pendedahan peranan dan fungsi penubuhan Pusat Latihan Lawas di Sarawak.
Perasmian SEMINAR BELIA BORNEO disempurnakan oleh Yang Berhormat Dr Abdul Rahman Bin Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri  N68 Bukit Kota Limbang Sarawak mewakili Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah Bin Ali Hasan, Menteri Perancangan Sumber Dan Alam Sekitar II, Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak. Hadir bersama pada program tersebut Yang Berbahagia Tuan Haji Supaih Bin Hamdan, Pegawai Daerah Lawas, Ustaz Sheikh Hadzrei Adam Bin Seberi, Pengetua Pusat Latihan Lawas mewakili Pengarah JAKIM Cawangan Sarawak,Ustaz Zulhazlie Bin Ramlie, Pegawai Agama Islam Sarawak Daerah Lawas dan semua pengetua-pengetua dari SMK Lawas,Pusat Latihan Dakwah Keningau,dan Sekolah Menengah Sultan Hassan Temburong Brunei Darussalam.
Dalam ucapannya,Yang Berhormat mengharapkan agar program-program sebegini diteruskan khususnya di Bahagian Limbang/Lawas Sarawak bagi melahirkan pemikiran belia yang sihat dan berpandangan jauh bukan sahaja untuk diri mereka sendiri malahan demi agama,bangsa dan negara yang tercinta. 
 
Yang Berhormat bersama wakil Pengarah JAKIM Cawangan sarawak serta tetamu undangan.
 
 Ucapan perasmian oleh Yang Berhormat 
 
Cenderahati kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Lawas Sarawak
 
Cenderahati kepada Brunei Darussalam 
Cenderahati kepada Pusat Latihan Dakwah Keningau Sabah. 
 
 
Tarikh: 
Jun 25, 2012