Kurator Berita : Bahagian Dakwah

BENGKEL PENYEDIAAN MODUL DAKWAH KORPORAT JAKIM SIRI 1/ 2016

mdk 1

 

"Modul Dakwah Korporat Jakim (MDK Jakim) merupakan antara produk utama yang bakal dibangunkan di bawah Sekretariat Dakwah Korporat Jakim (SDK Jakim). Cadangan awal pewujudan MDK Jakim telah diutarakan dan dipersetujui dalam Mesyuarat SDK Jakim Bil. 3/ 2014 pada 29 April 2014 di Menara 1, Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur. Beberapa buah modul sedia ada di Jakim (Modul Smart-Integriti dan Modul Fitrah Insani 1) dan agensi-agensi Islam yang lain seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) (Modul Pengurusan Tauhidik) telah dibentangkan dalam Mesyuarat SDK Jakim Bil. 4/ 2014 pada 8 Ogos 2014 bertempat di Telecom Malaysia Convention Centre (TMCC), Kuala Lumpur. Hasil beberapa siri perbincangan, ahli mesyuarat bersetuju menghimpunkan semua pihak berkaitan yang berautoriti dan berkepakaran untuk membangunkan sebuah modul berkonsepkan 'Modul Muslim Profesional'."
 
Sumber : Kertas Cadangan Mengadakan Bengkel Penyediaan MDK Jakim yang dibentangkan dalam Mesyuarat SDK Jakim Bil. 8/ 2016 pada18 Januari 2016 di Malaysia Airlines Academy Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.
 
Selangor, 1 Mac 2016 [Selasa] - Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) Jakim telah menjayakan Bengkel Penyediaan Modul Dakwah Korporat Jakim Siri 1/ 2016 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor. Bengkel ini merupakan komitmen utama yang perlu dilaksanakan bagi tahun 2016 di bawah SDK Jakim berdasarkan Sasaran Kerja Strategik Jabatan di bawah Teras 4, Strategi 2, Program/ Tindakan 3 (i).
 
Bengkel dipengerusikan oleh YBhg. Dato' Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim dan YBhg. Tuan Haji Mat Radzi bin Haji Mat Ali, Pengarah Jakim Cawangan Sabah telah dilantik sebagai Fasilitator Jemputan. Seramai 25 orang peserta telah menghadiri bengkel tersebut yang terdiri dari kalangan pegawai kanan Jakim dan wakil tetap SDK Jakim yang dipilih secara berfokus. Inisiatif pelaksanaan bengkel ini adalah untuk membangunkan sebuah modul khusus untuk diguna dan dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat korporat di Malaysia hasil daripada persetujuan yang disepakati melalui Mesyuarat SDK Jakim Bil. 3/ 2014. Objektif pelaksanaan bengkel adalah untuk :
 
  • Memahami matlamat, objektif dan konsep modul-modul berkaitan yang sedia ada di Jakim ;
  • Memahami matlamat, objektif dan konsep modul-modul berkaitan yang sedia ada di syarikat-syarikat korporat Malaysia ;
  • Menentukan matlamat dan objektif pewujudan Modul Dakwah Korporat Jakim; dan
  • Membentuk kerangka konsep Modul Dakwah Korporat Jakim berasaskan matlamat dan objektif yang telah ditentukan.
 
Matlamat pewujudan MDK Jakim adalah untuk menghasilkan sebuah dokumen bertulis sebagai panduan asas kepada penyelarasan sistem pengurusan pembangunan insan di sektor korporat di Malaysia. Manakala, objektif pewujudan modul ini diadakan adalah untuk :
 
  • Memperkukuh permahaman terhadap nilai-nilai agama sebagai petunjuk untuk membangunkan diri, keluarga dan masyarakat serta menjadikannya sebagai ibadah yang bersepadu dalam semua aspek kehidupan ;
  • Menyemai kesedaran dan komitmen untuk menterjemahkan pemahaman dan penghayatan terhadap konsep ibadah agar dapat diaplikasi dalam organisasi dan bidang kerjaya ; dan
  • Menilai tahap keberkesanan perhayatan terhadap nilai-nilai agama dalam kehidupan bagi melahirkan golongan profesional mukmin yang menjadi pendokong kepada usaha dakwah di Malaysia.
 
Hasil daripada pelaksanaan bengkel tersebut, 5 perkara utama telah ditentukan sebagai cadangan awal iaitu berkaitan format asas pembinaan modul, konsep pelaksanaan modul, beberapa nama modul, matlamat/ objektif umum modul dan kaedah pelaksanaan modul. Bengkel siri kedua dijadual akan dilaksanakan antara bulan April hingga Mei 2016 dengan pembentangan deraf pertama MDK Jakim.
 
mdk 2
 
mdk 3
 
mdk 4
 
mdk 5
 
mdk 6
 
mdk 7