Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

BANGI, 1 Mac 2019 – Mencari sesuatu produk dan makanan halal merupakan fardhu ke atas semua umat Islam dan setiap produk tersebut haruslah diyakini halalnya. Bahagian Hab Halal sentiasa menjaga standard prosedur yang telah ditetapkan supaya setiap produk keluaran Malaysia tidak mempunyai ruang keraguan.

Bagi memastikan matlamat ini tercapai, hab halal haruslah mempunyai auditor yang kompeten dalam bidang ini. Oleh sebab itu, Kursus Asas Auditor Pensijilan Halal Malaysia diperkenalkan oleh ILIM melalui Kluster Kepakaran Pengurusan Hal Ehwal Islam (KKPHEI) dengan kerjasama Bahagian Hab Halal JAKIM bagi memberi pendedahan ilmu dan kemahiran kepada auditor halal baharu di seluruh Malaysia.

Kursus tersebut diadakan bertujuan memberi pengetahuan kepada peserta mengenai konsep pengurusan dan prosedur pensijilan halal sebagai input dan gambaran senario semasa tentang pengurusan halal khususnya dalam skop pengauditan.

Kursus selama 5 hari ini mendapat penyertaan seramai 43 orang dan mendapat bimbingan daripada pegawai- pegawai kompeten daripada Bahagian Hab Halal JAKIM.

Sepanjang pelaksanaan kursus, peserta didedahkan dengan etika seorang auditor, pengenalan kepada standard-standard yang digunapakai oleh Halal Malaysia, Sistem MYeHALAL serta tatacara Pengauditan Halal.

Kursus Asas Auditor Pensijilan Halal Malaysia1

Kursus Asas Auditor Pensijilan Halal Malaysia2

Kursus Asas Auditor Pensijilan Halal Malaysia3