Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

29 Oktober 2020 - LAWAS : Umat Islam perlu sentiasa menghayati perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan dakwah Islam dan membangunkan tamadun manusia. Rasulullah diutuskan oleh Allah untuk menyempurnakan ajaran menerusi syariat Islam dengan membimbing dan memimpin seluruh umat manusia.

Bagi memperkasa lagi penghayatan sirah Nabi SAW di kalangan masyarakat awam, maka melalui jalinan kolaborasi antara Jawatankuasa Perayaan Islam Daerah Lawas Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Daerah Lawas , Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lawas dan Lembaga Amanah Khairat Islam Lawas (LAKHIL) telah mengadakan Forum Perdana Ehwal Islam bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Lawas 1442H yang telah disempurnakan oleh     YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak.

Melalui ucapan perasmiannya, beliau berkata bahawa bertepatan dengan tema Maulidur Rasul pada tahun ini, ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni,’ maka makna yang tersirat adalah sangat penting sebagai penghayatan bermula dengan pembinaan asas dalam institusi kekeluargaan sehingga dapat menyemai semangat perpaduan di dalam diri.  Untuk menjadi maju dan berjaya, memerlukan kesatuan ummah yang utuh. “Kegemilangan yang ingin dikecapi tidak akan tercapai sekiranya masyarakat hidup berpecah belah dan tiada kesepakatan,” katanya lagi.

Forum yang berlangsung selama sejam itu telah dijayakan oleh Ustaz Safli bin Japar selaku moderator pada majlis tersebut manakala ahli panel terdiri daripada Ustaz Asyikurrahman bin Haji Othman, Pegawai Hal Ehwal Islam, JAIS Daerah Lawas dan Ustaz Sheikh Hadzrei Adam bin Seberi, Pengarah ILIM Kampus Lawas,

Majlis diserikan dengan penyampaian anugerah pengimarahan terbaik kategori masjid dan surau Daerah Lawas bagi tahun 2019 dan 2020.