Seminar Al-Quran kali ke 4, Sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2012

Bersempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke 54 Tahun 2012, Jakim telah  berjaya menganjurkan Seminar Al-Quran kali Ke-4 pada 11 Julai 2012 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, Selangor.

Seminar yang buat pertama kalinya dikelolakan oleh ILIM dengan kerjasama bahagian-bahagian di JAKIM ini telah menarik penyertaan seramai 743 orang  yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan JAKIM, JAWI, Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Agama Islam Negeri, Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, BAKA serta wakil-wakil Maahad Tahfiz dari seluruh Negara.

Majlis perasmian Seminar telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM. Hadir sama bagi menjayakan seminar  ialah YBhg. Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Pengarah-pengarah Bahagian JAKIM, Hakim-hakim serta Qari dan Qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa.

YBhg. Dato’ Ketua Pengarah dalam ucapan perasmian menekankan kepentingan untuk umat Islam berpegang teguh dengan manhaj dan prinsip wasatiyyah dalam rangka membina dan mengekalkan kesatuan serta perpaduan ummah. Menurut beliau, keterlibatan segelintir umat Islam dalam kumpulan ajaran sesat dan menyeleweng merupakan manifestasi kepada kegagalan mereka untuk beriltizam dengan manhaj dan prinsip wasatiyyah. Selain itu, beliau turut mengajak umat Islam di Negara ini agar dapat sama berganding bahu bagi menyemarakkan lagi pembelajaran dan pengajaran al-Quran dan menjadikan bulan Ramadhan yang bakal disambut sebagai bulan al-Quran. Melalui usaha-usaha tersebut, adalah diharapkan lebih ramai anggota masyarakat Islam akan `celik al-Quran’ dan mampu memahami serta mengamalkan isi kandungan kitab suci al-Quran.

Sebanyak 4  kertas kerja telah dibentangkan dalam seminar ini. Pembentangan kertas kerja bagi sesi pertama telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Hasan Azhari dengan tajuk: Peningkatan dalam Tahsin Qiraatul Quran, dan diikuti dengan kertas kerja oleh YBhg. Drs. H.Sharifuddin Muhammad  dengan tajuk; Pentingnya Mengawal Bacaan al-Quran tetap dalam  Kaedah, Tajwid yang Benar. Manakala bagi sesi kedua, pembentangan kertas kerja telah disempurnakan oleh YBhg. Al-Syeikh Dr. Ahmad Isa al-Ma’sarawi bertajuk العلاقة بين القرأن والقراءات, seterusnya diikuti pembentangan  kertas kerja  oleh Al-Syeikh Muhammad `Abbas` Ajamy  dengan tajuk 'الفرق بين الشاطبي وابن الجزري فى القراءات' .

Adalah menjadi harapan Jakim, penganjuran seminar ini akan dapat memberi manfaat keilmuan yang besar kepada segenap lapisan umat Islam di Negara ini.

Tarikh: 
Jul 11, 2012