Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Zon Selatan Tahun 1432H/2011M

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan Jabatan Mufti Johor telah berjaya menganjurkan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Zon Selatan Tahun 1432H/2011M pada 21 Rabiulawal 1432H bersamaan 24 Februari 2011M bertempat di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru.

Seminar selama setengah hari ini telah berjaya menarik minat seramai 1,500 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, Pelajar IPT, kakitangan awam dan swasta Johor Bahru. Objektif utama Multaqa ini adalah bagi menyebarkan keputusan muzakarah fatwa kebangsaan dan fatwa negeri dan mendidik masyarakat supaya memahami sesuatu fatwa yang dikeluarkan dan seterusnya mengaplikasikan dalam kehidupan mereka.

Perasmian Multaqa telah disempurnakan oleh Y.B. Dato’ Tuan Haji Zainal Abidin bin Haji Osman, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor. Turut hadir Y.Bhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin; Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan; Y.B. S.S. Dato’ Hj. Mohd. Tahrir bin Dato’ Hj. Shamsudin; Mufti Negeri Johor dan Y. Bhg. Tuan Hj. Othman bin Mustapha; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM.

Dalam ucapan perasmian, Y.B. Dato’ Tuan Haji Zainal Abidin bin Haji Osman menjelaskan bahawa isu-isu sensitif seperti ajaran sesat, fahaman Syiah dan pluralisme perlu ditangani dengan baik kerana ia boleh mewujudkan ancaman kepada akidah dan kesejahteraan umat Islam di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) berkata, masyarakat perlu akur dan patuh dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh pihak yang berautoriti di negara ini. Program-program pendidikan dan penjelasan fatwa ini perlu diperbanyakkan dan diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi supaya masyarakat Islam dapat memahami dengan jelas apa jua fatwa yang diputuskan. Ia juga sekali gus dapat menghalang masyarakat Islam daripada terpengaruh dengan hukum hakam daripada pihak yang tidak berautoriti.

Sebanyak 3 kertas kerja telah dibentangkan dalam seminar ini, iaitu

 

 Pembentangan Kertas Kerja I 

 

Tajuk : Komunikasi Kesihatan Pendermaan Organ

Oleh : Y. Bhg. Datin Dr. Lela Yasmin binti Mansor

           Ketua Penyelaras

           Pusat Sumber Transplan Nasional

           Hospital Kuala Lumpur

Pembentangan Kertas Kerja II

Tajuk : Pandangan Syarak Mengenai Pengguguran Kandungan

Oleh : Y. Bhg. Prof Madya Datin Dr. Paizah Hj. Ismail

           Ahli Jawatankuasa Fatwa MKI

Pembentangan Kertas Kerja III

Tajuk : Penyelewengan Syiah

Oleh : Y. Bhg. Prof. Zakaria bin Stapa

           Ahli Jawatankuasa Fatwa MKI


Turut diadakan sesi soal jawab selepas pembentangan berkaitan isu-isu yang dibincangkan dan mendapat sambutan hangat dari para peserta. Di antara persoalan dan isu yang dibangkitkan ialah

  • Adakah Syiah terkeluar dari Islam?

  • Mengapa orang Islam kurang terlibat dalam pendermaan organ?

  • Penerangan dan penjelasan mengenai Syiah perlu dipertingkatkan baik peringkat pusat ataupun negeri.

  • Benarkah pensyarah universiti tempatan ramai yang terlibat dengan aliran Syiah?

Kesemua isu yang dikemukakan telah diberi maklum balas dengan baik oleh para pembentang. Multaqa Pendidikan Fatwa ini berakhir dengan penyampaian cenderamata dan bersurai jam 1.00 petang. 

Sempena dengan penganjuran seminar tersebut juga telah diadakan satu pertemuan dan mesyuarat bersama Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dengan S.S. Mufti Johor dan ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor. Turut hadir dalam mesyuarat yang diadakan di Hotel Puteri Pacific Johor Baru itu ialah Tuan Hj. Othman bin Mustapha TKP(D) JAKIM, Pengarah dan pegawai Bahagian Pengurusan Fatwa, JAKIM.

Ucapan aluan oleh Y.Bhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan

Ucapan Perasmian Oleh .B. Dato’ Tuan Haji Zainal Abidin bin Haji Osman
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor

Sesi pembentangan oleh Y. Bhg. Datin Dr. Lela Yasmin binti Mansor, Ketua Penyelaras Pusat Sumber Transplan Nasional, Hospital Kuala Lumpur berkenaan Pendermaan Organ

Barisan tetamu jemputan bersama para peserta seminar

Mesyuarat Bersama Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dengan S.S. Mufti Johor dan ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor. 

 

 

 

 

 

Tarikh: 
Feb 23, 2011