Seminar Pengurusan Kewangan Dan Keusahawanan

Agensi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dan Masjid Wilayah Persekutuan telah berjaya menganjurkan Seminar Pengurusan Kewangan dan Keusahawanan 2009 yang bertempat di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 13 Disember 2009.

Seminar ini telah disertai hampir 500 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dari institusi-institusi pengajian di sekitar Kuala Lumpur. Di samping itu, seminar ini juga turut mendapat sambutan daripada orang ramai.

Objektif utama seminar ini adalah untuk mendedahkan kepada peserta terutamanya kepada para belia mengenai peluang-peluang yang mampu diterokai untuk mengubah gaya hidup mereka di samping dapat mengubah persepsi sebahagian masyarakat yang berpandangan bahawa kerja makan gaji sahaja dapat menjamin kelangsungan hidup mereka. Seterusnya, seminar ini juga bertujuan untuk menyuntik semangat para belia bagi menceburkan diri dalam bidang perniagaan bersesuaian dengan hadis Rasulullah s.a.w yang menjelaskan bahawa 9/10 daripada sumber rezeki adalah datangnya daripada aktiviti perniagaan.

Ucapan pembukaan majlis telah disampaikan oleh Dr. Kamil Azmi Bin Tohiran, selaku Presiden PEMBINA. Seminar ini telah dimulakan dengan pembentangan pertama iaitu mengenai Tips Pengurusan Kewangan yang disampaikan oleh Encik Mohd Adnan Bin Abdullah yang merupakan salah seorang Kaunselor daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). AKPK telah dilantik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertujuan untuk menyediakan saluran maklumat kepada orang ramai supaya mereka mampu menguruskan perbelanjaan dengan berhemah dan teratur melalui pendidikan kewangan, perkhidmatan kaunseling serta nasihat khusus dalam pengurusan kewangan.

Menurut beliau, melalui penubuhan AKPK ini secara tidak langsung meneguhkan sistem perbankan di Malaysia dengan membantu institusi kewangan dalam usaha pembayaran balik hutang dan mengurangkan kes-kes hutang tidak berbayar akibat pengurusan wang yang kurang cekap.

Seterusnya pembentangan kedua telah dibentangkan oleh Encik Mohd Rashidi daripada Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang membincangkan tentang usaha-usaha yang telah dilakukan oleh PUNB untuk membangunkan usahawan bumiputera tulen yang profesional dan beretika tinggi. Menurut beliau, penglibatan dan sumbangan mereka amat penting kepada pembangunan ekonomi negara. Pembentangan ketiga pula disampaikan oleh Encik Mohamad Fauzi Abd. Jalil iaitu pengerusi Eksekutif Iwani Group of Companies, yang mengupas isu tentang bagaimana untuk berjaya dalam bidang perniagaan.

Seterusnya, bagi menyemarakkan lagi seminar ini, satu forum diskusi keusahawanan telah diadakan dengan menampilkan tokoh-tokoh usahawan iaitu Tuan Hj. Abd. Rahman Bin Mat Dali (Pengarah Urusan, Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah), Tuan Hj Ahmad Radzi Bin Yahaya (Pengarah Urusan, Servco Resources Sdn Bhd) dan En. Aminuddin Yahaya (Pengurus salah sebuah Syarikat Perkhidmatan Perakaunan). Diskusi ini telah berlangsung secara dua hala dengan para peserta dan membincangkan tajuk “Kewangan Terancang, Usahawan Cemerlang, Islam Dijulang”.

Seminar ini telah menyampaikan mesej dengan jayanya kepada para peserta di mana majoriti peserta telah mula menunjukkan minat untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan. Selain itu, dalam seminar ini para peserta turut didedahkan dengan isu pengangguran yang semakin meningkat berikutan lahir ramainya para graduan dari IPTA/IPT setiap tahun. Justeru, bagi menangani isu ini, para peserta telah diberi taklimat secara ringkas berkenaan dengan pakej-pakej keusahawanan serta bidang-bidang perniagaan yang boleh diceburi oleh mereka sekiranya mereka tidak mendapat tempat dalam pasaran kerja.

Keseluruhannya di sepanjang program ini, para peserta telah menunjukkan reaksi yang positif di sepanjang seminar dijalankan dan berharap semoga program-program seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

Majlis perasmian penutupan seminar ini telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Tuan Haji Razali Bin Haji Shahabudin, Pengarah Bahagian Penyelidikan JAKIM. Semasa sesi ucapan tersebut, beliau memberi peringatan kepada semua peserta yang hadir agar memastikan semangat keusahawan mereka berterusan dan buktikan minat untuk berniaga setelah selesai seminar ini.

Ucapan pembukaan majlis oleh Dr. Kamil Azmi Bin Tohiran, Presiden PEMBINA.

Barisan para penceramah yang terdiri daripada usahawan-usahawan berjaya.

Para peserta yang turut mengambil peluang menimba ilmu dan pengalaman daripada usahawan-usahawan yang berpengalaman.

Ucapan perasmian penutup oleh Y.Bhg. Tuan Hj. Razali bin Hj. Shahabudin