Seminar Suami Isteri 'Demi Cintaku Padamu..'

                                                            DEMI CINTAKU PADAMU…
                                                                         KE MANA PUN AKAN KUBAWA…
                                                                                    KE HUJUNG DUNIA KE BINTANG KEJORA…
 
Seminar Suami Isteri ‘Demi Cintaku Padamu..’ ini telah diadakan pada 4 Julai 2012 (Rabu) yang lalu anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Putrajaya) yang bertempat di Auditorium D8, Putrajaya.
 
Secara keseluruhannya, Seminar ini telah berjaya menghimpunkan seramai 147 pasangan suami isteri yang terdiri dari penjawat sektor awam dan swasta. Penyertaan yang diterima adalah dikalangan pasangan yang telah lama dan baru berkahwin. Kesemua pasangan telah menunjukkan semangat dan komitmen mereka untuk menghadiri Seminar ini. Peserta yang hadir disyaratkan agar membawa pasangan masing-masing bagi memperoleh input berkaitan ilmu rumahtangga secara berserentak. Ilmu yang diperoleh hasil Seminar ini bolehlah diaplikasi oleh kedua-dua pasangan dalam melayari bahtera rumahtangga tanpa salah seorang keciciran.
 
Majlis dimulakan dengan Ucapan Aluan daripada YBhg. Puan Hajah Kamariah binti Abdullah (Ketua Penolong Pengarah (Kanan) Bahagian Perkahwinan & Pembangunan Keluarga, JAWI) selaku wakil kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan disusuli dengan penyampaian Ucaptama & Perasmian oleh YBhg. Tuan Haji Razali bin Shahabudin selaku Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim. Seminar ini turut dihadiri oleh Pengarah Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti iaitu Puan Hajah Saimah binti Mukhtar.
 
Pada Upacara Perasmian tersebut, kesemua pasangan diminta untuk menyemat ‘button-badge’ bertulis, ‘Sayang, aku cinta padamu..’ di dada pasangan masing-masing dengan penuh kasih sayang. Terdapat pasangan yang mengambil kesempatan di saat ini, bergurau senda, mengucup dahi pasangan dan bermaaf-maafan sesama mereka. Bagi memberi semangat kepada para peserta, Jakim menjemput para penceramah dan ahli-ahli forum yang sangat berpengalaman dalam bidang kekeluargaan bagi membicarakan topik-topik yang mampu menghangatkan kembali hubungan pasangan. Pasangan-pasangan juga dihidangkan dengan pelbagai tips-tips relevan yang berfaedah dari para kaunselor untuk menyemai rasa cinta dan kasih kepada pasangan.
  
Slot Seminar ini dimulakan dengan Forum yang bertajuk ‘Alahai Isteriku sayang..’ yang menampilkan Cr. Tuan Haji Hushim bin Haji Salleh (Perunding Motivasi dan Pengarah Urusan, Hushim Motivational and Counselling) dan juga Ustazah Sabariah binti Haji Salleh (Ketua Penolong Pengarah , Bahagian Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim). Forum ini mengupas pelbagai persoalan semasa yang berkisar tentang tanggungjawab pasangan yang berkerjaya, cabaran dan hala tuju pasangan ke arah membentuk Keluarga yang sakinah.
 
Slot Seminar kemudian diteruskan dengan Pembentangan Kertas Kerja berbentuk Motivasi yang telah disampaikan oleh Puan Suzana binti Ghazali (Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie) dengan penuh semangat. Kertas kerja yang bertajuk ‘Punca Penceraian yang tidak anda sedari’ ini membawa peserta berkenalan dengan beberapa tingkahlaku dan perbuatan pasangan yang secara tidak disedari menjadi punca/faktor yang membawa kepada penceraian dan perpecahan.
 
Seminar Suami Isteri ‘Demi Cintaku Padamu..’ ini diakhiri dengan penyerahan borang kaji selidik bagi menilai kembali kelemahan dan kekurangan seminar bagi tujuan penambahbaikan di masa akan datang. Seminar seperti ini dijangkakan memberi perubahan kepada pasangan-pasangan yang hadir, dari skala pasangan bahagia kepada pasangan yang lebih bahagia. Diharapkan juga seminar ini menjadi platform bagi semua pasangan suami isteri  ‘Menyemai cinta yang sedang mekar dan memekar cinta yang kian pudar’. Bagi pihak Urusetia pula, segala cadangan penambahbaikan diterima dengan hati yang terbuka bagi memantapkan lagi Program Pasca Perkahwinan di masa akan datang.
 
SEMINAR SUAMI ISTERI ‘ DEMI CINTAKU PADAMU..’
 
 Ucaptama dan Perasmian
 
Jemputan yang hadir..
 
Peserta yang hadir..
 
UPACARA PERASMIAN & MENYEMAT ' BUTTON BADGE'
 
                            
        
         
  
 SESI FORUM DAN MOTIVASI DARI PANEL DAN PENCERAMAH
 
Slot Motivasi dan Pembentangan Kertas Kerja : 'Punca Penceraian yang tidak anda sedari'
 
 Forum : 'Alahai Isteriku sayang..'
Tarikh: 
Jul 18, 2012