Simulasi Bukan Ilusi: Harapan Buat Sukarelawan

 

Masalah sosial merupakan penyakit masyarakat madani yang perlu dirawat dan diubat. Menjadi barah yang parah bukan perkara mustahil jika tiada arah untuk mengubah. Ia bukan taklif kifayah yang boleh dianggap enteng dan mudah. Perlu komitmen pelbagai pihak untuk membantutkan dari terus merebak. Tanpa mengira kerusi, warna dan situasi, ia berhajat kepada satu hati. Menjadi sukarelawan demi menangani permasalahan yang terus meruncing ini.

 

Maka wujudlah mereka yang empunya kesedaran dan ketabahan. Melangkah dengan rela untuk cuba mengubah keadaan. Isu gejala sosial perlu dipadamkan. Demi mengekalkan watan yang cemerlang dan berwawasan. Bergerak mengguna minda dan tenaga; tanpa berkira wang dan juga masa. Panduan hati menjadi penyuluh sepi; di kala ketakutan dan kesunyian datang menghampiri. Sukarelawan terus berdiri dan menabur bakti.

 

Sukarelawan terus berbakti dan dikenali. Tetapi alpa untuk membuat dokumentasi. Menyedari situasi dan demi menggagahi perjuangan suci, JAKIM tampil dengan ilham kitab resepi. Sebuah Manual Sukarelawan Islam Menangani Gejala Sosial perlu didatangi. Agar menjadi pedoman mereka di persada sukarelawan ini. Moga ia memberi hasil mahsul yang diimpi. Gejala sosial lenyap dan terus sunyi; dan kehidupan era nabawi menyelusuri.

 

Sembilan purnama mengambil masa. Meneliti, berdiskusi dan memperhalusi. Pakar rujuk dihimpuni; demi menagih buah ilmu yang dimiliki. Bagi menghasilkan kitab resepi. Bukan resepi sebarang resepi; melainkan ia resepi syari'e. Agar menjadi panduan sejati; buat sukarelawan yang setia berbakti. Moga mereka bersatu hati; bersama-sama menangani apa yang dihajati. Itulah dia rencana yang dimakbul Ilahi; setelah usaha gigih digandai.

 

Port Dickson: Masalah gejala sosial yang amat mencemaskan umat Islam di Malaysia kebelakangan ini telah mendapat perhatian umum. Ia bukan perkara di luar kesedaran dan pandangan mata melainkan kerap diteliti dan diperkata. Pelbagai cara dan manhaj digunapakai. Bermacam jenama agensi serta institusi sama ada berselendang kerajaan atau sebaliknya telah tampil ke hadapan dan gigih berusaha dalam merawat permasalahan ini. Kehadiran mereka semua merupakan satu rahmat Ilahi. Demi terus melincahkan gerak geri agensi dan institusi tersebut, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menghasilkan Manual Sukarelawan Islam Menangani Gejala Sosial agar dapat dijadikan panduan.

Manual yang dibina dalam tempoh enam bulan ini merupakan kompilasi ilmu dan pengalaman beberapa orang pakar dan sukarelawan di Malaysia. Kemunculannya dirasakan mampu mengisi lowongan kepada sukarelawan Islam bagi berhadapan dengan isu  gejala sosial yang semakin memuncak di persada Negara. Oleh yang demikian sebelum Manual ini dilancarkan satu bengkel simulasi telah diadakan di Port Dickson pada 10 hingga 12 Oktober 2011.

Bengkel selama tiga hari tersebut, telah mengumpulkan beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) Muslim serta pegawai-pegawai agama. Ia telah diisi dengan pembentangan tajuk-tajuk Modul yang disampaikan oleh Dr. Lukman Zawawi (UKM), Dr Samsuddin Monir (YADIM), Encik Kamaruddin Bin Kassim (PUM), dan Encik Mohd Salleh Ariff (JAKIM). Pada setiap sesi pembentangan ia akan diperhalusi dan dinilai bagi memastikan Modul tersebut benar-benar berkesan apabila ia dilancarkan nanti.

Menurut Dr. Abdul Ghaffar Bin Surip, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial & Komuniti, JAKIM dalam ucapan perasmiannya mengharapkan agar melalui Bengkel yang diadakan ini mampu menelitikan lagi produk yang bakal dipasarkan oleh JAKIM. Ia akan memberi manfaat dan memberi kesan positif yang memberangsangkan dalam meningkatkan kesedaran serta keberkesanan kerja sukarelawan Islam.

Beliau juga turut mengharapkan agar dengan hadirnya manual ini nanti, ia juga akan mampu menyatukan gerombolan sukarelawan Muslim di bawah satu payung walaupun berbeza nama dan kumpulan sasar. Ini akan mampu memantapkan gerak kerja sukarelawan dan peluang meminimumkan permasalahan sosial yang semakin meruncing akan lebih cerah.

Dr. Abdul Ghaffar membuka tirai Bengkel Simulasi Manual Sukarelawan Islam: Menangani Gejala Sosial
 
"Bengkel ini perlu dilaksanakan dengan teliti dan cermat agar ia memberikan hasil yang bermanfaat"
 
              
 
Barisan pembentang Bengkel Simulasi Manual Sukarelawan Islam: Menangani Gejala Sosial. (Gambar . . dari kiri Dr. Samsudin, Encik Salleh Ariff, Encik Kamarudin Kassim dan Dr. Lukman Zawawi) 
 
 
Peserta bengkel berinteraksi dengan seorang remaja dalam sesi temu seru dengan kelompok 'kritikal'
 
 
Lagi gambar para peserta dalam sesi temuseru... mendengar luahan remaja yang penuh dengan emosi dalam liku-liku kehidupannya
 
 
Dr. Abdul Ghaffar menyampaikan sijil penyertaan dan cenderamata kepada para peserta
   
   
Para peserta bergambar kenang-kenangan bersama Dr. Abdul Ghaffar dan urusetia Bengkel
 
 
 
 
 
Laporan disediakan oleh;
 
Tarikh: 
Oct 17, 2011