Soalan Lazim

SOALAN-SOALAN YANG BERKAITAN DENGAN PENDEKATAN ISLAM HADHARI

1.       Apakah gambaran al-Quran dan al-Hadith mengenai Islam Hadhari?

Jawapan:

Pendekatan Islam Hadhari memberikan penekanan kepada kemajuan dan pembangunan ummah dalam aspek spiritual, keilmuan, ekonomi, kualiti hidup masyarakat, undang-undang dan sebagainya. Terdapat banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang berkaitan dengannya. Antaranya;

(i)Mengenai keseimbangan kemajuan dunia dan akhirat.

Maksud ayat al-Quran:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu akan pahala kebahagiaan akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari dunia...” (Surah al-Qasas: 77)
 
(ii)Mengenai Keilmuan

Maksud ayat al-Quran:

“Allah meninggikan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan
beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah: 11)
(iii)Mengenai Pertahanan Fizikal

Maksud ayat al-Quran:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan berkuda... (Surah al-Anfal: 60)
 
Demikian juga dalam hadis-hadis yang menyeru kepada kemajuan ummah, seperti berikut;

(i)Menggalakkan Menuntut Ilmu.

Maksud Hadis:
“Menuntut ilmu adalah satu fardhu yang wajib atas tiap-tiap orang Islam. (Riwayat Ibnu Majah)

(ii)Mengenai Bio Teknologi.
Maksud Hadis:
“Kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu” (Riwayat Muslim)

(iii)Mengenai Keimanan.

Maksud Hadis:
“Iman itu bukanlah dengan cita-cita dan angan-angan tetapi iman itu apa yang tetap di hati dan dibuktikan sebenarnya dengan perbuatan”. (Riwayat al-Daylami)

(iv)Mengenai ekonomi.

Maksud Hadis:
“Dunia adalah ladang bagi akhirat” (Riwayat Bukhari)

2.       Adakah Islam Hadhari mazhab baru, ajaran baru atau agama baru?

Jawapan:
 
Islam Hadhari bukanlah mazhab baru, ajaran baru atau agama baru tetapi ia merupakan pendekatan atau usaha kerajaan untuk mengembalikan umat Islam kepada ajaran Islam yang sebenar menurut al-Quran dan al-Sunnah. Islam Hadhari merupakan satu pendekatan anjakan paradigma untuk mengubah persepsi ummah terhadap ajaran Islam sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah S.A.W. tanpa mengurangkan prinsip-prinsip akidah dan syariah. Perkara yang ingin diperbetulkan ialah mengenai al-Tadayyun iaitu cara umat Islam memahami dan mengamalkan ajarannya.

Pendekatan Islam Hadhari memberi penekanan kepada aspek pembangunan dan pembinaan peradaban yang didasarkan pandangan semesta alam (Islamic worldview) dengan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan serta pembangunan fizikal secara seimbang untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

3.       Kenapakah Islam perlu dinisbahkan kepada Hadhari?

Jawapan:

Memang benar Islam tidak perlu lagi kepada apa-apa sifat tambahan atau nisbah kerana ia adalah satu ajaran yang syumul. Islam dalam al-Quran merujuk kepada dua hakikat bahawa sebelum kebangkitan Nabi Muhammad S.A.W, syari’at Islam adalah berbentuk umum untuk seluruh umat manusia. Setiap nabi dibangkitkan dengan syari’at Islam yang mana pokok akidahnya hanyalah satu. Syari’at yang mereka bawa adalah berbeza-beza, tetapi untuk mencapai matlamat keesaan Allah S.W.T. Selepas kebangkitan Nabi Muhammad S.A.W Islam adalah satu-satunya agama yang diiktiraf dan diredhai oleh Allah S.W.T.

Tidak dinafikan Islam tidak perlu dikaitkan dengan sesuatu sifat, nama yang lain atau sebagainya kerana ia sudah sempurna dan lengkap. Walau bagaimanapun Islam tidak dilihat hebat dan tinggi adalah kerana kesilapan penganutnya terutamanya selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. Ketika itu perpaduan kaum muslimin didapati mula menghadapi keretakan, khususnya ketika menghadapi krisis kepimpinan selepas kewafatan Nabi atau selepas zaman Khulafa’ al-Rasyidin. Oleh itu timbullah aliran pemikiran yang berbeza-beza hingga membawa kepada kemunculan aliran pemikiran. Timbul pula berbagai firqah akidah disebabkan perbezaan pendapat dalam pendekatan mempertahankan akidah. Antaranya telah lahir Jabariyyah dan Muktazilah.

Sebenarnya sifat dan nisbah yang disandarkan kepada Islam itu lebih tepat adalah merujuk kepada umat Islam itu sendiri serta pendekatan dan kecenderungan mereka, bukannya nas dan ajaran Islam. Ringkasnya, Islam yang pada asalnya berdiri sendiri telah disandar atau dinisbahkan kepada berbagai sifat lain bagi memenuhi keperluan memahami sesuatu kecenderungan atau kefahaman supaya mudah mengenali perbezaannya dengan kefahaman dan kecenderungan pihak lain. Maka timbullah pelbagai nama jolokan kepada umat Islam yang cenderung kepada kefahaman dan kecenderungan tertentu tersebut.

4.       Islam itu satu, tidak dua atau lebih. Tiada “Islam Hadhari” tiada “Islam akidi” dan tiada “Islam Madani”, yang ada hanyalah Islam syumul yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.. Apakah memilih Pendekatan Islam Hadhari bererti meninggalkan Islam yang sebenar?

Jawapan:

Islam tetap Islam yang satu. Kita dapati tasawwur (gambaran) dan persepsi masyarakat Islam terhadap agama yang berbeza antara satu sama lain kerana Islam itu sendiri sangat luas dan pengetahuan mereka sangat terbatas. Contohnya empat orang buta yang memegang gajah di mana setiap orang yang memegang gajah pada tempat yang berbeza. Justeru mereka mentakrifkan gajah mengikut apa yang mereka rasa. Maka umat Islam berpecah sehingga timbullah apa yang disebut Islam Sunni, Islam Syiah, Muktazilah dan sebagainya. Memilih Pendekatan Islam Hadhari bukanlah bererti meninggalkan Islam yang sebenar kerana Islam Hadhari adalah satu pendekatan untuk membangkitkan kesedaran baru kepada masyarakat terhadap konsep sebenar ajaran Islam mengikut perubahan masa sama sekali tanpa mengurangkan prinsip akidah dan syariah.

5.       Apakah perbezaan Islam Hadhari dengan Islam Siyasi, Islam Madani, Islam Sufi dan Islam Liberal?

Jawapan:

Pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan kerana ia lebih lengkap dan menyeluruh berbanding pendekatan Islam secara juzie atau terpisah-pisah seperti Islam bersifat politik “al-Islam al-Siyasi, Islam bersifat tasawwuf, “al-Islam al-Sufi” dan seumpamanya.

Islam Hadhari bermaksud ajaran Islam yang memberi tumpuan kepada kehidupan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bertamadun dan mempunyai peradaban yang unggul bagi menghadapi cabaran alaf baru seperti ledakan teknologi maklumat, dunia tanpa sempadan, ekonomi global, budaya materialisme, krisis identiti, jati diri serta penjajahan pemikiran.

Pendekatan Islam Hadhari, tidak menolak pentingnya aspek ritual dalam pembinaan tamadun. Ini kerana pandangan hidup, system nilai, kestabilan jiwa dan kemajuan rohaniah merupakan tonggak kepada pembinaan tamadun yang luhur.

Islam Siyasi merujuk kepada pendekatan membangun melalui penguasaan politik. Dari segi sejarah, Pendekatan ini banyak mencetuskan perbalahan dan perpecahan di kalangan umat Islam yang berterusan. Umpamanya jawatan khalifah sering menjadi rebutan dan matlamat perjuangan. Justeru bagi mencapai matlamat tersebut kerap berlaku perang saraf dengan pelbagai tuduhan dan penggunaan istilah Kufur, Mulhid dan Ifsad, sehingga menghalalkan darah sesama muslimin. Kehormatan umat Islam tercabul dan kezaliman politik berlaku sehinggalah perpaduan di kalangan kaum muslimin telah hancur. Akhirnya umat Islam gagal untuk bangun dan mencapai kemajuan.

Islam Madani ialah kehidupan di bandar dengan mengadaptasi hadharah, Madani juga sering merujuk kepada kemajuan akidah dan pembangunan kota pada masa lampau seperti yang berlaku di zaman Madinah. Islam hadhari lebih merangkumi aspek fizikal dan spiritual yang menekankan ciri-ciri dan nilai-nilai peradaban manusia yang luhur yang sesuai dilaksanakan berdasarkan situasai semasa tanpa menggadai prinsip asas ajaran Islam. Islam sufi menitikberatkan ajaran tasawuf untuk mendampingkan diri dengan Allah SWT.

Berdasarkan kajian yang dilakukan Islam Liberal, ianya adalah satu aliran pemikiran yang berasaskan kepada rasionalisma akal dalam mentafsirkan agama Islam. Ia merupakan sebuah aliran yang terpesong dari landasan Islam yang sebenar.

6.       Apakah Pendekatan Islam Hadhari itu semata-mata slogan sahaja atau akan dipraktikkan?

Jawapan:
 
Islam Hadhari bukan slogan semata-mata dan bukan juga agenda politik Sebaliknya ia merupakan satu pendekatan membangunkan manusia kearah mencapai peradaban yang unggul selari dengan tuntutan Islam yang sebenar. Pendekatan Islam Hadhari ini adalah pendekatan pembangunan yang menyeluruh bagi faedah setiap lapisan masyarakat dalam pelbagai kaum dan kepercayaan agama. Kejayaan pendekatan Islam Hadhari bergantung kepada kesediaan umat Islam untuk berubah selari dengan tuntutan Islam yang sebenar.

Islam Hadhari yang hendak dilaksanakan ini adalah bertepatan dengan masyarakat Islam yang telah diasaskan oleh Rasulullah S.A.W semasa berada di Madinah yang membawa tamadun yang boleh dibanggakan oleh umat Islam.

7.       Kenapa Islam Hadhari tidak Hadharah Islamiah?

Jawapan:

Hadharah Islamiah adalah merujuk kepada kejayaan atau tamadun umat Islam yang telah lampau seperti tamadun Umayyah, Abbasiyyah dan Andalus. Manakala Pendekatan Islam Hadhari adalah merujuk kepada kedudukan umat Islam masa kini yang didapati mundur, lemah dan ketinggalan dalam apa jua bidang menyebabkan mereka gagal menjadi umat contoh dan pembawa rahmat kepada dunia. Kita perlu menjadikan kejayaan umat Islam yang lampau sebagai contoh dalam apa jua tindakan bukan hanya sekadar berbangga dengan kejayaan yang dicapai. Dengan demikian kerajaan telah merangka satu pendekatan untuk membangunkan ummah pada masa kini dan pada masa akan datang yang dikenali dengan nama Pendekatan Islam Hadhari.

8.       Jika Pendekatan Islam Hadhari ditujukan kepada agenda pembangunan untuk masyarakat Islam dan bukan Islam, maka kenapa ia tidak diubah kepada Mujtamak Hadhari (masyarakat hadhari) untuk pembangunan masyarakat majmuk di negara ini?

Jawapan:

Pada dasarnya Islam Hadhari adalah suatu pendekatan yang tidak bercanggah dengan mana-mana ajaran. Ajaran Islam pula adalah bersifat universal dan menggalakkan masyarakat memiliki nilai-nilai murni yang tidak bercanggah dengan nilai etika sejagat yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan tamadun mana-mana bangsa di dunia.

Penggunaan perkataan Islam adalah kerana pada masa ini Islam mendapat gambaran yang negatif di seluruh dunia. Islam sering digambarkan sebagai agama yang menggalakkan keganasan, mundur dan telah menjadi fobia di kalangan masyarakat Barat. Oleh kerana itu untuk membetulkan salah tanggapan ini perkataan Islam digunakan untuk memberi kesempatan kepada kerajaan menerangkan apa sebenarnya Islam yang dikaitkan dengan hadhari. Kita tidak perlu mengubah kepada majmuk hadhari kerana Islam Hadhari itu sendiri melambangkan matlamat dan faedah kepada masyarakat majmuk.

9.       Adakah istilah Islam Hadhari terdapat dalam bahasa Arab?

Jawapan:

Ya. Istilah Islam Hadhari adalah berasal daripada dua kalimah bahasa Arab. Dari segi i’rabnya, Islam Hadhari ialah “sifat mausuf” di mana hadhari menjadi sifat dan Islam menjadi mausuf.

10.     Adakah Pendekatan Islam Hadhari hanya melibatkan orang Melayu dan umat Islam sahaja?
 
Jawapan:

Pendekatan Islam Hadhari tidak hanya melibatkan bangsa Melayu dan umat Islam sahaja, tetapi meliputi keseluruhan masyarakat di Malaysia. Perkara ini adalah berdasarkan kepada visi Islam Hadhari iaitu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam contoh mengikut acuan sendiri. Begitu juga dengan misi Pendekatan Islam Hadhari iaitu bagi melaksanakan agenda pembangunan negara dan ummah berlandaskan pendekatan Islam yang universal, maju, bertamadun, bertoleransi dan berimbang. Oleh itu semua masyarakat tanpa mengira bangsa adalah merupakan masyarakat Malaysia yang boleh berperanan secara berkesan dalam pembangunan manusia berdasarkan konsep dan nilai-nilai sejagat yang terkandung dalam 10 Prinsip Islam Hadhari, kearah kemajuan ummah dan negara.

11.     Apakah peranan masyarakat bukan Islam dalam
Pendekatan Islam Hadhari di Malaysia?

Jawapan:
 
Masyarakat bukan Islam boleh memainkan peranan dalam menjayakan Pendekatan Islam Hadhari dengan turut serta dalam menjayakan setiap program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh kerajaan. Mereka boleh menyumbang baik dari segi idea, material dan tenaga.

Umpamanya selama inipun mereka turut menyumbang kepada pembangunan ummah di Negara ini dalam sektor ekonomi, pembangunan ilmu sains dan teknologi, industri dan seumpamanya yang termasuk dalam skop pendekatan Islam Hadhari. Masyarakat bukan Islam dapat memainkan peranan yang bersepadu dengan masyarakat Islam dalam menjayakan Pendekatan Islam Hadhari sehingga dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju, harmoni serta dikagumi di peringkat global. Pendekatan Islam Hadhari mempunyai 10 Prinsip yang akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

12.     Apakah Pendekatan Islam Hadhari ingin mencontohi kemajuan di negara-negara Barat yang maju tetapi meminggirkan agama dan nilai-nilai akhlak?

Jawapan:

Pendekatan Islam Hadhari tidak menolak kemajuan fizikal yang telah dicapai oleh sesuatu bangsa sekiranya ia boleh memberi manafaat kepada manusia. Ini kerana kemajuan fizikal tidak bercanggah dengan ajaran agama. Kita perlu faham bahawa melaksanakan pendekatan Islam Hadhari dengan sendirinya mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.

13.     Apakah sebenarnya yang ingin ditamadunkan oleh Pendekatan Islam Hadhari, sama ada agama Islam itu sendiri ataupun umatnya?

Jawapan:

Sebenarnya Islam Hadhari sama sekali tidak bertujuan mengubah ajaran Islam yang telah pun lengkap dan sempurna. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam ajaran Islam dalam aspek keimanan dan ibadah seperti solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya merupakan perkara yang bersifat qat’ie dan tidak berubah. Sebaliknya Islam Hadhari ingin mentamadunkan umatnya dari aspek tadayyun iaitu cara umat Islam memahami dan mengamalkan kehidupan beragama. Ini kerana kelemahan umat Islam bukan kerana kandungan ajaran agamanya tetapi kerana salah pendekatan umatnya dalam memahami agama. Walau pun Islam merupakan agama kemajuan, realiti pada masa ini sebahagian besar umat Islam masih mundur, miskin dan tidak dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain yang telah maju. Oleh itu aspek yang ditekankan dalam Islam Hadhari adalah untuk memajukan umat Islam dalam pelbagai bidang yang selama ini jauh ketinggalan khususnya dari aspek penguasaan ilmu, ekonomi, politik dan sosial.

14.     Bagaimanakah Pendekatan Islam Hadhari ini dapat menangkis fahaman yang menyatakan Islam itu menganjurkan keganasan?

Jawapan:

Pendekatan Islam Hadhari jelas menunjukkan bahawa Islam itu adalah agama yang harmoni dan membawa kepada kedamaian. Perkara ini dijelaskan dalam objektif Islam Hadhari iaitu bagi melahirkan individu dan masyarakat Islam yang mempunyai kekuatan spiritual (rohani), akhlak, intelektual, material, mampu berdikari, berdaya saing, melihat kehadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan damai. Dalam objektif yang dinyatakan di atas jelas bahawa pendekatan Islam Hadhari merupakan satu pendekatan untuk mencapai kemajuan secara harmoni dalam keadaan aman dan damai.
 
15.     Apakah hala tuju yang hendak dicapai melalui Pendekatan Islam Hadhari?

Jawapan:

Visi dan misi Pendekatan Islam Hadhari adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh, iaitu sebuah negara yang mempunyai masyarakat berilmu, berkemahiran dan berketerampilan serta tergambar sebagai golongan yang berakhlak, berbudi dan berbudaya berpaksikan kepada ajaran agama. Justeru hala tuju Islam Hadhari melaksanakan agenda pembangunan negara dan ummah berlandaskan pendekatan Islam yang universal, maju, bertamadun, bertoleransi dan berimbang. Pelaksanaan dan hala tuju Islam Hadhari akan diselaraskan dengan dasar-dasar pembangunan sedia ada yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan iaitu seiring dengan RMK-9. Pendekatan Islam Hadhari akan dilaksanakan secara berperingkat bagi tempoh 5 tahun yang melibatkan semua agensi kerajaan secara bersepadu berdasarkan kepada fungsi dan bidang tugas agensi-agensi yang berkaitan.

16.     Selama ini kita didedahkan dengan konsep dari Jepun dan Barat seperti KMK, QCC dan sebagainya. Apakah pula bentuk atau model sistem kerja yang hendak ditonjolkan melalui Pendekatan Islam Hadhari?

Jawapan:

Kita akui bahawa terdapat beberapa konsep dan sistem kerja yang diperkenalkan oleh negara-negara maju seperti Jepun dan Barat seperti budaya ketepatan masa, kualiti kerja, budaya kerja cemerlang mempunyai nilai-nilai positif yang boleh membawa kebaikan kepada ummah. Konsep dan nilai-nilai tersebut telah pun ada dalam ajaran Islam yang menyeru umatnya supaya bekerja dengan tekun, amanah, bersungguh-sungguh dan dedikasi. Mana-mana nilai yang positif dan baik perlu dikekalkan kerana ianya bertepatan dengan konsep yang ingin diterapkan dalam Islam Hadhari.

Mana-mana nilai positif yang belum ada, akan cuba diterapkan iaitu berdasarkan 10 prinsip yang telah ditetapkan dalam Pendekatan Islam Hadhari. Umpamanya dalam bidang pertanian, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan tanah terbiar yang dapat mendatangkan hasil dan faedah yang maksima kepada masyarakat sesuai dengan ajaran Islam yang menyeru agar mengelakkan pembaziran. Demikian juga dalam sektor perikanan, di mana para nelayan tradisional diberikan ilmu dan kemahiran untuk menambahkan sumber pendapatan melalui penggunaan teknologi, peralatan yang moden dan kaedah penangkapan ikan yang lebih konvensional.
 
17.     Antara kelemahan masyarakat Islam pada masa kini ialah kerana pemikiran yang jumud serta terikat dan dipengaruhi dengan fahaman dan pemikiran negatif yang bersifat tradisional. Apakah Islam Hadhari dapat memainkan peranan untuk mengubah minda masyarakat Islam hari ini?

Jawapan:

Perkara utama yang ingin ditekankan dalam Islam Hadhari ialah dari aspek perubahan sikap dan minda masyarakat supaya berfikir ke arah situasi kehidupan yang lebih maju dan realistik. Umat Islam tidak sewajarnya terus menerus berfikir di takuk yang lama dan terikat dengan falsafah, pegangan dan budaya hidup tradisional serta berpada dengan apa yang ada. Umpamanya pegangan bahawa “rezeki secupak tidak akan jadi segantang” dan “dunia ini adalah ibarat bangkai yang tidak memberi manfaat”. Masyarakat dan negara lain telah jauh maju ke hadapan dalam pelbagai bidang, sedangkan umat Islam masih mengamalkan sikap kebergantungan kepada kepakaran pihak asing dan tidak mahu meneroka dan memanfaatkan aset-aset dan hasil mahsul yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. secara kreatif dan bijaksana.

18.     Mengapa baru sekarang istilah Islam Hadhari diketengahkan sedangkan ulama atau pemimpin dulu telah pun mengamalkannya?

Jawapan:

Memang tidak dinafikan para ulama dan pemimpin negara kita sendiri pun sebelum ini telah mengamalkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam ajaran Islam. Agama Islam telah diwartakan sebagai agama rasmi negara semenjak kemerdekaan lagi. Setelah itu pelbagai dasar dan keperluan Islam termasuklah program-program Islamisasi berjalan dan berkembang menurut keperluan semasa dan serasi dengan senario masyarakat majmuk di negara ini. Pada masa yang sama Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam juga diperkenalkan untuk memperteguhkan lagi dasar-dasar Islam yang telah diwartakan itu, termasuklah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam oleh mantan Perdana Menteri yang dahulu, Y.A.B Tun Dr. Mahathir Mohamad. Manakala YAB Perdana Menteri sekarang iaitu Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pula memperkenalkan Pendekatan Islam Hadhari.

Oleh itu tepatlah pada masanya kini Islam Hadhari diperkenalkan kepada masyarakat. Bukan hanya untuk rakyat tempatan, bahkan kini Perdana Menteri sudah pun memperkenalkannya ke serata dunia termasuklah di Negara-negara Arab sendiri dan mereka menerimanya dengan baik.

19.     Adakah Islam yang dibawa sebelum ini selari dengan Islam Hadhari?

Jawapan:

Agama Islam itu satu sahaja sejak dari mula diturunkan sehinggalah ke seluruh Jazirah Arab, dan berkembang ke Syria, Kufah, Baghdad sehinggalah ke pelusuk Timur dan Barat. Islam Hadhari adalah suatu kaedah dan pendekatan terkini yang diguna pakai oleh kerajaan khususnya untuk memartabatkan umat Islam ini di mata dunia, bersaing secara sihat di persada antarabangsa, tidak diperlekeh dan ditohmah dengan pelbagai label negatif.

20.     Pendekatan Islam Hadhari mengutarakan prinsip keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Bukankah Prinsip ini hanya ditumpukan kepada umat Islam, bagaimanakah prinsip ini boleh melibatkan orang bukan Islam ?

Jawapan:

Islam Hadhari adalah pendekatan untuk semua masyarakat. Bagi orang Islam, Pendekatan Islam Hadhari meletakkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah sebagai teras utamanya di mana al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah menjadi teras pegangan mereka. Bagi masyarakat bukan Islam tiada paksaan dalam agama dan mereka bebas untuk menganut kepercayaan masing-masing. Walau bagaimanapun melalui prinsip ini penerapan nilai-nilai universal diberi berasaskan kepercayaan mereka sendiri sebagaimana yang terdapat dalam Rukunegara.

21.     Apakah kaitan prinsip pertama dalam Pendekatan Islam Hadhari iaitu keimanan dan ketakwaan dengan pembinaan tamadun masa kini ?

Jawapan:

Tamadun dibina berasaskan pegangan dan kepercayaan yang teguh kepada nilai-nilai ketakwaan atau nilai-nilai murni. Kemantapan pegangan ini akan menghasilkan budaya, kepercayaan serta moral hidup yang tinggi. Kemajuan sesuatu bangsa akan tercapai dengan adanya akhlak yang mulia tanpa dimusnahkan oleh nilai-nilai yang bertentangan dengan keimanan dan ketakwaan.

Tahap keimanan dan ketakwaan yang tinggi akan melahirkan suatu tamadun yang kukuh, sebaliknya ketakwaan dan keimanan yang rendah akan meruntuhkan sesuatu bangsa Justeru, keimanan dan ketakwaan tidak boleh disempitkan kepada aspek ritual semata-mata tetapi perlu dilahirkan dalam tindakan dan amalan atau dalam pengertian ibadah yang lebih menyeluruh sifatnya. Kedua-dua aspek ini perlu seiring dan aspek inilah yang perlu dihadharikan. Sebagai contoh seorang petani yang beriman akan lebih berusaha bagi mendapatkan hasil yang lumayan kerana keyakinannya kepada rezeki yang diberi oleh Allah S.W.T kepada hambaNya yang kuat berusaha.

22.     Bagaimanakah Pendekatan Islam Hadhari dapat melahirkan kerajaan adil dan beramanah sedangkan dalam masa yang sama penyalahgunaan kuasa dan gejala rasuah masih lagi menjadi masalah utama dalam sistem pentabiran di Negara ini ?

Jawapan:

Kerajaan telah dipilih oleh rakyat dan menjadi tanggungjawabnya untuk berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Kerajaan menyedari untuk kekal menerajui pemerintahan Negara dan mengekalkan kesinambungan pemerintahan kerajaan perlu memenuhi kualiti perkhidmatan sehingga memberi kepuasan kepada rakyat termasuk dalam aspek adil dan amanah.

Melalui Pendekatan Islam Hadhari, kerajaan akan memastikan semua pemimpin dan jentera pentadbirannya akan menghayati dan mengamalkan tadbir urus secara adil dan amanah. Bagaimanapun bukanlah perkara yang mudah untuk memastikan setiap individu dapat memahami pendekatan kerajaan malah rakyat sepatutnya melihat usaha kerajaan ini sebagai suatu usaha yang berterusan dan memerlukan sokongan setiap lapisan masyarakat. Amalan tidak adil dan tidak amanah akan menggugat usaha kerajaan dan menjejaskan perpaduan rakyat yang akhirnya akan menghalang pembinaan dan kemajuan negara.

23.     Bagaimanakah Pendekatan Islam Hadhari dapat melahirkan kerajaan yang adil sedangkan jika diperhatikan kepada realiti masa kini kerajaan lebih memberi perhatian kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera seperti sistem kuota, tanah rizab Melayu, subsidi, hak keistimewaan orang Melayu, kebebasan menyebarkan agama bukan Islam dan lain-lain?

Jawapan:

Adil bukanlah bererti setiap orang mendapat apa yang mereka minta tetapi adil bererti memberikan sesuatu kepada mereka yang berhak. Dalam konteks hak keistimewaan kepada bangsa Melayu atau Bumiputera, kita perlu merujuk kepada sejarah kemerdekaan negara dan kontrak sosial di mana hak keistimewaan orang Melayu telah dinyatakan secara jelas. Hakikat yang perlu dilihat sehingga kini penguasaan ekonomi Bumiputera masih rendah iaitu kurang daripada 20%. Walaupun kerajaan memberi hak keistimewaan kepada Bumiputera tetapi hak kaum lain tidak terjejas. Sebaliknya jika jurang perbezaan ini tidak diatasi ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati golongan ini seterusnya akan mendedahkan negara kepada bahaya perpecahan.

24.     Bagaimanakah Islam Hadhari boleh membebaskan diri ummah dari sistem penjajahan Barat walaupun negara kita telah merdeka selama 47 tahun ?

Jawapan:

Pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang kuat dari segi politik, ekonomi dan sistem pertahanan yang mantap. Dengan segala kekuatan ini Malaysia akan dapat membina sebuah negara dan bangsa yang bertamadun mengikut acuan kita sendiri tanpa mengikut atau mencontohi negara lain. Justeru, rakyat Malaysia perlu menguasai ilmu pengetahuan dan sains dan teknologi bagi memastikan mereka tidak lagi bergantung kepada pihak Barat bahkan dapat menangani cabaran semasa dan berdaya saing.

25.     Kenapakah negara kita masih melaksanakan ISA iaitu tahanan tanpa perbicaraan sedangkan di bawah Prinsip Rakyat Berjiwa Merdeka, rakyat bebas bersuara untuk mempertahankan haknya?

Jawapan:

Di bawah Prinsip Rakyat Berjiwa Merdeka, merdeka tidak bererti bebas dan terlepas daripada peraturan undang-undang dan etika yang mengancam keselamatan rakyat dan Negara. Kerajaan amat prihatin terhadap perkara ini dan pelaksanaan ISA oleh kerajaan adalah langkah awal sebagai pencegahan bagi mengelakkan sesuatu yang lebih buruk berlaku iaitu yang bertepatan dengan Maqasid al-Syar’iyyah iaitu soddu al-Zarai’. Pelaksanaan ISA adalah tidak lari daripada konsep mempertahankan Negara dari anasir-anasir yang akan merosakkan Negara. Kaedah ini adalah menepati siasah syar’iyyah yang diperbincangkan oleh para ulama. Sekiranya langkah-langkah awal tidak diambil akan menyebabkan kemudharatan yang lebih besar.

26.     Dalam Prinsip Keempat, Penguasaan Ilmu Pengetahuan, Pendekatan Islam Hadhari menekankan kepada penguasaan ilmu secara bersepadu iaitu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Bagaimana pula dengan tindakan kerajaan untuk menutup Sekolah Agama Rakyat. Tidakkah ia menyekat usaha rakyat untuk meningkatkan penguasaan Ilmu Fardhu Ain di kalangan masyarakat Islam di negara ini?

Jawapan:

Sebenarnya kerajaan tidak menutup SAR tetapi ingin memantapkan sistem pendidikan agama agar lebih teratur sesuai dengan keperluan semasa. Banyak sekolah agama bantuan penuh kerajaan telah ditubuhkan untuk memberi peluang pendidikan Islam yang lebih lengkap dan sempurna. Di samping itu pihak kerajaan telah berusaha untuk memperkasakan penguasaan Ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah melalui kelas KAFA dan J-QAF di peringkat sekolah rendah.

27.     Bagaimanakah Pendekatan Islam Hadhari boleh membantu peningkatan pencapaian bangsa Melayu terhadap ilmu pengetahuan sedangkan bangsa lain telah maju tanpa memerlukan kepada Pendekatan Islam Hadhari ?

Jawapan:

Kelemahan dan kemunduran umat Islam, khususnya bangsa Melayu berpunca daripada sikap mereka yang tidak berdaya maju, salah faham dan fahaman yang sempit terhadap tuntutan menguasai ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan untuk mengubah minda dan pemikiran bangsa Melayu suapaya meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan yang menjadi asas kepada pembinaan suatu tamadun. Kelemahan menguasai ilmu pengetahuan inilah yang menyebabkan bangsa Melayu mundur berbanding bangsa lain.