TEKS UCAPAN PENUTUPAN SEMINAR ISLAMGRID SIRI 1/2009 OLEH Y.BHG. DATO' KETUA PENGARAH MAMPU, DI PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC) PADA 13 MEI 2009
PENUTUPAN
SEMINAR ISLAMGRID SIRI 1/2009
DI PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)
PADA 13 MEI 2009
Saudara Pengacara Majlis,
Y. Bhg Dato'-Dato', Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke Hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan ‘inayah dan keizinan-Nya, kita dapat berhimpun demi menyempurnakan penuh bermakna dan berkat Seminar IslamGRID Siri 1/2009 pada hari ini.
YB. Dato', Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan.
Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir untuk menjayakan Seminar IslamGRID anjuran bersama MAMPU dan JAKIM siri kali ini. Penglibatan dan sumbangan Y. Bhg. Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-Puan amatlah berharga dalam menjayakan Projek IslamGID seterusnya.
YB. Dato', Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan.
Seperti yang Y. Bhg. Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-puan maklum, seminar kali ini adalah siri pertama dari beberapa siri susulan yang akan diadakan selepas ini. Insya Allah Kita akan adakan Seminar IslamGRID siri berikutnya pada bulan Oktober atau November 2009.
YB. Dato', Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan. Objektif Projek IslamGRID ialah:
Membina rangkaian rujukan Islam yang dinamis ke peringkat nasional dan global.
Memelihara dan menyibar ilmu-ilmu Islam secara efisien ke seluruh dunia.
Sebagai media perbincangan ilmu Islam terbilang di dunia.
Menyedia alternative atau jawapan dan penyelesaian kepada isu-isu politik global antara-agama, sosio-ekonomi dan spritual;
YB. Dato', Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan.
MAMPU bertindak sebagai perunding, pembangun dan pengurus projek bagi Projek IslamGRID. Tempoh pembangunan bagi projek IslamGRID telah ditetapkan selama 2 tahun lebih, bermula pada Ogos 2008 hinggalah November 2010. Selepas itu, IslamGRID dijangka akan diserahkan secara resmi kepada pemunya utamanya iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, untuk operasi seterusnya.
Selain dari JAKIM, hampir semua agensi agama di peringkat kerajaan persekutuan dan juga peringkat negeri terlibat dalam pembangunan IslamGRID. Terutamanya dalam memberi sumbangan dalam bentuk kandungan Islam yang kita maklum amat banyak dan berada di merata lokasi. Antara lain, fokus projek IslamGRID ialah mengumpul dan menyibarkan kandungan Islam sebanyak yang mungkin. Kandungan itu pula diurus secara sistematik dan berkesan, di mana pendekatan Pengurusan Pengetahuan (Knowledge Management) digunakan sepenuhnya.
Oleh itu, penyertaan Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, mewakili semua agensi yang berkenaan adalah amat-amat bermakna bagi menjayakan projek IslamGRID seterusnya. Saya difahamkan, projek IslamGRID telah pun mencapai tahap versi 1.0, dan kini diteruskan untuk versi seterusnya hingga ke versi 3.0 yang dijangka akan dicapai pada bulan November 2010.
Walau bagaimana pun, kemajuan projek IslamGRID seterusnya adalah amat bergantung kepada komitmen dan sumbangan padu semua pihak. Oleh itu siri Seminar IslamGRID ini adalah forum di mana ianya dapat direalisasikan.
Sepanjang Seminar hari ini, di sebelah pagi, para peseta akan didedahkan tentang projek IslamGRID secara keseluruhannya, tentang taksonomi atau klasifikasi ilmu yang akan digunakan dan tentang teknologi yang akan digunakan. Saya juga merasa amat berbesar hati kerana Y. Bhg. Dato' Wan Mohamad Bin Dato' Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM sendiri telah sudi untuk membentangkan suatu kertas mengenai penggunaan ICT untuk hal ehwal Islam. Di sini saya ingin merakamkan ucpan terima kasih kepada beliau.
Di sebelah petang pula, para peserta akan berinteraksi dan terlibat secara langsung dalam memberi input bagi pelaksanaan seterusnya, khususnya untuk pembangunan seterusnya dua aplikasi utama di bawah Projek IslamGRID iaitu ‘Kemusykilan Agama’ dan ‘Carian Masjid’. Segala sumbangan yang amat bernilai dari Y. Bhg. Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan adalah amat-amat dihargai.
Akhir kata, saya sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian YB. Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri hadir dan seterusnya merasmikan Seminar IslamGRID Siri 1/2009.
Sekian. Wabillahitaufik walhidayah, wassalam mu’alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
- Hits : 2854







