TEKS UCAPAN YB MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR BIN HJ BAHAROM (B) MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

TEKS UCAPAN
YB MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR
BIN HJ BAHAROM (B)
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
 
MAJLIS PERHIMPUNAN AGENSI-AGENSI DI BAWAH YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
AUDITORIUM ARAS 5, BLOK D8, KOMPLEKS D, PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN,
WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA.
11 JAN 2011(SELASA)
___________________________________________________________________________________
 
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين وبه نستعين
والصلاة والسلام على سيّدنا محمد    
وعلى اله وصحبه ومن اتبع هداه الى يوم الدين
 
 
 
 
Terima kasih Pengerusi Majlis
 
 
 
 
Yang Berhormat Senator Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri                                                               
 
YBhg. Dato’ Haji Wan Mohamad Bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz
Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku tuan rumah bagi perhimpunan kita pada kali ini,
 
Yang Berbahagia Sohibus Samahah/Tan Sri-Tan Sri/Datuk-Datuk/Datin-Datin/Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
 
Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif anak-anak syarikat di bawah agensi MAIWP dan Tabung Haji yang turut hadir dalam perhimpunan pagi ini,
 
Rakan-rakan Media,Tuan-Tuan/Puan-Puan yang saya hormati sekalian.
 
 
 
1.      Terlebih dahulu, suka saya merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi TAHNIAH kepada semua ketua-ketua Jabatan bagi 13 Agensi Pengurusan Hal Ehwal Islam atas kejayaan dan kecemerlangan serta pencapaian dalam pelaksanaan program dan aktiviti pada tahun 2010 yang lalu. Saya berharap supaya momentum ini dapat terus dikekal dan dipertingkatkan serta dapat memotivasikan gerak usaha kita ke arah transformasi yang lebih cemerlang pada tahun 2011 ini.
 
2.    Alhamdulillah sepanjang 2010, walaupun banyak isu-isu berkaitan dengan keagamaan timbul dalam masyarakat, namun oleh kerana kepekaan kita maka semua isu berkenaan dapat ditangani secara berhikmah dan bijaksana bagi mengelak kontroversi dan mudarat yang lebih besar.
 
3.       Kita juga bersyukur kerana, dalam Ucapan Belanjawan yang lalu telah diumumkan beberapa berita gembira iaitu kenaikan kadar elaun guru KAFA dan IMAM yang memberi manfaat kepada 32,764 guru KAFA dan 13,324 imam di seluruh negara mulai Januari tahun ini. InsyaAllah, kita berharap akan ada lagi berita gembira untuk kita, khususnya kepada para pendeposit Tabung Haji yang bakal diumumkan tidak lama lagi.
 
4.        Saya juga sangat berpuashati kerana beberapa KPI yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya bagi tahun 2010 telah dapat dicapai dengan jayanya.  Antaranya ialah;
 
  1. Pewartaan bagi penguatkuasaan undang-undang keluarga
Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan)(Pindaan) 2006 [Akta 1261]
  1. Menaikkan elaun KAFA melepasi garis kemiskinan; dan
  2. Penubuhan Dewan Huffaz Kebangsaan
 
Bagi tahun 2011, beberapa KPI telah dipilihberdasarkan input-input yang diberikan oleh ketua-ketua agensi dalam program Retreat atau Pemukiman untuk Agensi-agensi di bawah saya yang telahpun diadakan Disember lalu. InsyaAllah kita akan dapat laksanakan beberapa KPI dan sasaran baru ke arah mewujudkan pergurusan Hal Ehwal Islam yang semakin mantap.
 
Hadirin yang saya hormati sekalian,
 
 
 
5.      YAB Perdana Menteri sering mengingatkan kita supaya agensi kerajaan cuba memahami secara dekat kehendak masyarakat,  iaitu  peka dengan denyut nadi rakyat.  Saya berpandangan bahawa, agensi hal ehwal Islam perlu mengambil berat ingatan ini supaya hasrat YAB Perdana Menteri untuk mendahulukan rakyat dapat dilaksanakan. Umpamanya, kehendak masyarakat untuk memperolehi tempat beribadah yang selesa perlu diutamakan. Begitu juga pemberian bantuan zakat kepada asnaf yang layak perlu dilaksanakan secara efisyen dan mengambil berat tentang orang yang kita bantu dengan perasaan kasih sayang dan penuh rasa tanggungjawab.
 
 
6.     Agensi Hal Ehwal Islam yang ada bersama saya pada hari  ini adalah mewakili lebih 17 juta rakyat Malaysia beragama Islam. Jumlah tersebut mewakili 60.4% daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah 27.57 juta orang ketika ini. Harus diingat bahawa uniknya umat Islam di negara ini kerana terdiri dari kalangan pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina, India, penduduk etnik pribumi Asli Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta kaum-kaum yang lain.  Kita juga perlu peka bahawa orang Islam di Malaysia bukan sahaja orang Melayu, tetapi banyak juga bangsa dan etnik lain. Justeru, kebajikan mereka perlu dijaga supaya Islam benar-benar dapat dilihat sebagai agama yang untuk semua kaum. Di sinilah perlunya aspek perpaduan yang berlandaskan semangat 1Malaysia yang mahu diterapkan.
 
7.      Sebagai sebuah negara Islam contoh yang semakin menjadi rujukan dunia Islam, kerajaan sedang berusahamenerapkan PRINSIP WASATIYYAH dalam pelbagai bidang.Prinsip dan pendekatanwasatiyyah yang bersifatadil, kesederhanaan, berimbang dan harmoni ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapitelahpun berjaya diterapkan di zaman Kerajaan Islam Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum.  Saya yakin bahawa prinsip Wasatiyyah ini begitu relaven sebagai pendekatan terbaik untuk mengurus pembangunan Hal Ehwal Islam di negara kita yang begitu unik dari segi masyarakat dan cabaran-cabarannya.
 
Hadirin Yang Dihormati sekalian.
 
8.      Bagi memastikan semua Agensi Pengurusan Hal Ehwal Islam berada pada landasan yang betul selaras dengan dasar kerajaan di bawah Government Transformation Programme (GTP), kita menetapkan 3 Teras Utama yang menjadi agenda dan halatuju dalam melakukan Transformasi Perkhidmatan Hal Ehwal Islam pada tahun 2011 ini.
 
                                PERTAMA  :        BUDAYA INOVASI DALAM PERKHIDMATAN ;
KEDUA        :        MEMANTAPKAN PENYAMPAIAN
                             PERKHIDMATAN AWAM; DAN
KETIGA      :        MENSEJAHTERAKAN HIDUP RAKYAT MELALUI
PENDEKATAN 1MALAYSIA 1UMMAH
 
TERAS PERTAMA
BUDAYA INOVASI DALAM PERKHIDMATAN
9.      Aspekpengurusan hal ehwal Islam semakin hari semakin mencabar. a disebabkan tuntutan cabaran semasa, persekitaran dan aspirasi masyarakat. Ada kalanya kita perlu berubah, disebabkan oleh berlakunya perubahan sekeliling dan tuntutan zaman. Jika kita tidak berubah, kita akan menjadi tidak relaven. Bagi memenuhi ekspektasi lebih 17 juta umat Islam di Malaysia pada hari ini, anjakan paradigma secara menyeluruh khususnya dalam bidang inovasi pengurusan Islam perlu dilakukan. Setiap Agensi Pengurusan Hal Ehwal Islam adalah bertanggungjawab untuk melakukan transformasi ke arah kecemerlangan. Ia penting bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan terus kekal releven mengikut arus peredaran masa.
 
10.    Inovasi dalam pengurusan Islam merujuk kepada sebarang sumbangan sama ada berbentuk cetusan idea-idea kreatif, penghasilan produk, pelaksanaan program atau aktiviti, operasi sistem pengurusan yang berinovatif serta berupaya menambah nilai output semasa. Kesannya akan memberi faedah kepada masyarakat melalui perkhidmatan cemerlang, berkualiti, produktif, menjimatkan kos, masa dan tenaga serta menghasilkan produk pengurusan yang berprestasi tinggi dan efektif. Bagi mencapai hasrat ini, tumpuan transformasi perlu diberi keutamaan kepada dua bidang iaitu pelaksanaan sistem yang digunakan dan pemerkasaan modal insan itu sendiri.
 
11.    Dalam konteks tersebut, pemikiran, cara bekerja, uslub, metod, pendekatan dan pelaksanaan program serta aktiviti kita perlu berubah ke arah perkhidmatan yang berinovatif. Sebagai contohnya, pembangunan Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) – Star Rating, yang telah dibangunkanJAKIM dan MAMPU akandapat membantu mewujudkan sistem pengurusan masjid yang lebih efisyen dan diberi imej baru. Di samping itu, usaha JAWI dalam membangunkan Tanah Perkuburan Islam yang berkonsepkan Raudhatul Sakinah danSistem E-Pusara mampu meningkat imej pengurusan yang inovatif selari dengan peredaran masa.
Hakikatnya, untuk menjayakan visi dan misi tersebut, kita memerlukan modal insan di kalangan kakitangan yang mempunyai sifat-sifat sepertimana yang digambarkan dalam Surah al-Qasas ayat 26, firman Allah SWT :
 
قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Maksudnya :
 
“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang Kuat, lagi Amanah”.
 
Sifat pekerja al-qawiyul amin iaitu yang kuat lagi amanah ini merujuk kepada pekerja yang cekap, berintegriti, profesional, gigih, seimbang dari segi kekuatan fizikal dan mental serta mempunyai sifat-sifat kesopanan dan keperibadian yang tinggi.
 
12.    Justeru, semua peneraju agensi-agensi agama di negara ini, samada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri, wajar memulakan langkah transformasi dengan mengadakan perancangan program yang lebih inovatif dan dinamik dalammelaksanakan aktiviti penjanaan ummah yang lebih segar. Gunakan pendekatan inovasi dalam membangunkan sistem pengurusan yang lebih efisyen dan berstrategik. Hasilkan lebih banyak produk-produk Islam yang mampu memberi impak maksimum kepada rakyat.  Anjakkan minda inovasi kita dengan melaksanakan program yang dapat menarik golongan muda mendekati Islam, serta lain-lain golongan yang selama ini agak terpinggir dan jauh daripada penghayatan hidup beragama.
 
TERAS KEDUA
 
MEMANTAPKAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM
 
13.    Matlamat utama yang ingin dicapai melalui usaha-usaha penambahbaikan penyampaian perkhidmatan ini adalah memberikan perkhidmatan dan output yang cekap, cepat dan menepati keperluan serta kehendak rakyat. Dalam pada itu, sistem dan prosedur kerja hendaklah mengikut peraturan dan teratur supaya dapat menutup ruang-ruang kemungkinan berlakunya penyelewengan, salahguna kuasa dan rasuah.
 
14.    Saya amat berharap, mulai 2011 lebih ramai lagi masyarakat Islam mendapat perkhidmatan kita melalui teknologi ICT. Penggunaan sistem aplikasi ICT secara meluas dalam sistem penyampaian kerajaan memberikan saluran tambahan kepada orang ramai untuk mendapat perkhidmatan yang lebih mudah, pantas dan selesa. Rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan kerajaan melalui aplikasi dalam talian, kiosk, internet dan seumpamanya. Tujuan utama aplikasi ICT dalam kerajaan elektronik ialah untuk membuka lebih banyak peluang kepada orang ramai untuk menerima perkhidmatan yang ditawarkan oleh kerajaan. Penggunaan ICT juga dapat meningkatkan kualiti interaksi di antara kerajaan dan rakyat serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian selain meningkatkan ketelusan transaksi.
 
15.    Alhamdulillah, pada tahun 2010, kita berjaya menerbit dan melancarkan TV Al-Hijrah, ‘segalanya bermula disini’ merupakan era baru evolusi maklumat dan hiburan yang menawarkan pengetahuan dan pemahaman dunia Islam kepada masyarakat. Dalam pada itu, JAKIM berjaya memperluaskan penyebaran dakwahnya melalui IslamGRID yang berfungsi sebagai pusat maya yang menyediakan informasi Islam secara menyeluruh. IslamGRID hasil usahasama JAKIM dan MAMPU ini boleh dicapai melalui sesawang www.islamgrid.gov.mydan kini telah dipertingkatkan kepada versi 2.0. Terbaru, sebentar lagi akan dilancarkan JAKIM dot TV yang mempunyai kelebihan dari segi interrelationship, sumber maklumat Islam berwibawa dan interaktif serta menyediakan sebaran tanpa batasan sempadan dengan penjimatan kos yang amat besar. 
16.    Dalam pada itu, kejayaan Radio IKIM yang telah meluaskan siarannya melalui radio streaming di www.ikimfm.gov.myyang boleh diikuti di 60 buah negara di seluruh dunia adalah suatu perkembangan yang sangat memberangsangkan. Selain itu, kejayaan Portal E-Syariah JKSM yang memperolehi penarafan 4 bintang daripada Malaysia Government Portals & Websites Assessment 2010 dan kejayaan Portal E-Fatwa JAKIM yang terpilih sebagai 3 finalis Anugerah Kajian Kes Open Source Software Conference 2010 oleh Kerajaan Malaysia adalah suatu contoh yang boleh dibanggakan. Sekalung Tahniah kepada JAKIM/JKSM dan IKIM.
 
TERAS KETIGA           
MENSEJAHTERAKAN HIDUP RAKYAT MELALUI PENDEKATAN
1MALAYSIA 1UMMAH
 
Para Hadirin Yang Dihormati sekalian.
17.    Dalam mensejahterakan hidup rakyat melalui pendekatan 1Malaysia 1Ummah, kita berusaha menangani masalah ummah melalui pendekatan yang komprehensif, cekap dan berkesan selaras dengan tuntutan syariat yang menjadi fokus halatuju Agensi Pengurusan Hal Ehwal Islam di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan kita perlu terus melipatgandakan usaha bagi mencapai matlamat tersebut.
18.    Secara umumnya, antara isu yang mendapat reaksi positif  di kalangan masyarakat ialah pelantikan Hakim Syarie Wanita oleh JKSM yang turut memperolehi pujian di peringkat antarabangsa dan juga Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO); kejayaan memendekkan jangka masa penyelesaian proses kes perceraian secara taklik dan fasakh yang tidak melebihi 6 bulan (bermula dari tarikh kes didaftarkan di Mahkamah Syariah sehinggalah kes selesai); penubuhan Kompleks Tabung Haji KLIA di Sepang, Selangor dan Kompleks Tabung Haji Kuala Nerus, Terengganu yang dijangka akan dapat mengatasi masalah kesesakan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada para jemaah haji; serta penubuhan Institut Halal Malaysia, bagi menjamin integriti Halal secara berterusan dan diiktiraf di peringkat  nasional dan antarabangsa.
19.    Sementara itu, kejayaan Yayasan Waqaf Malaysia membangunkan 69 buah Bazar Wakaf Rakyat dan Wakaf Mart di kawasan masjid terpilih seluruh Negara perlu terus diperkembangkan dalam usaha membangunkan institusi masjid yang bukan sahaja sebagai tempat ibadah bahkan menjadi pusat penjanaan ekonomi ummah. Dalam pada itu, kejayaan YaPEIM membuka lebih 100 cawangan Ar-Rahnu di seluruh negara dapat membantu ekonomi umat Islam. Tidak dilupakan kepentingan peranan JAWHAR, MAIWP dan Lembaga Tabung Haji dalam menggerakkan transformasi ekonomi ummah ke tahap yang lebih baik perlu terus dibangunkan. Di peringkat antarabangsa, saya berkeyakinan tinggi melalui rancangan penubuhan World Zakat Organization oleh IZO yang bertujuan mengumpul dana zakat di kalangan negara-negara OIC akan dapat meningkatkan taraf hidup umat Islam di serata dunia. 
 
20.    Bagi mengekang dan menyekat penyebaran ajaran sesat,  dan fahaman aqidah songsang, pendekatan dakwah bil hikmah, wal mauizzah al-hasanah seperti program-program penjelasan fatwa oleh JAKIM dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan; program turun padang bertemu khalayak oleh YADIM dan JAWI; serta program-program wacana, seminar, intellectual discourse, bengkel penjelasan dan dialog-dialog interface secara tertutup oleh JAKIM dan IKIM perlu dilipatgandakan. Golongan penerbit, artis, bloggers, para karyawan seni dan penghibur tanahair perlu didekati supaya kepakaran mereka dapat digunakan dalam menyebar luaskan dakwah Islamiah kepada khalayak dengan lebih berkesan.
Hadirin yang saya hormati sekalian.
 
21.    Bagi memenuhi ekspektasi Gagasan 1Malaysia 1Ummah yang berpaksikan Prinsip Wasatiyyah, saya mengharapkan agar kesemua 13 Agensi Pengurusan Hal Ehwal Islam di bawah saya memfokuskan pelaksanaan program untuk tahun 2011 ini kepada perkara-perkara berikut :-
 
 
JAKIM
  • Hendaklah memperluaskan aktiviti pensijilan Halal Malaysia kepada pihak industri,  khususnya di kalangan pengusaha hotel dan restoran yang kini semakin menjadi keperluan kepada umat Islam.
  • Kita juga berharap agar penubuhan Institut Halal Malaysia dapat dimulakan pada tahun 2011.
  • Memandangkan aspek halal telah menjadi agenda nasional yang semakin penting, maka saya harap ada satu mesyuarat JK tertentu yang akan melibat saya sebagai pengerusinya, supaya saya dapat melaporkan terus isu-isu halal kepada Jemaah Menteri.
  • Memastikan aspek kualiti program, pemantauan, penyelarasan pengurusan KAFA, TAKMIR dan imbuhan IMAM dengan pihak negeri dilaksana dengan lebih bersistematik berdasarkan  garis panduan.
JKSM
  • Meningkatkan aspek kemahiran dan integriti para Hakim, serta meneruskan usaha memendekkan tempoh menyelesaikan kes-kes syariah supaya keyakinan masyarakat terhadap institusi Kehakiman Syariah terus terpelihara.
 
JAWHAR
  • Memastikan program-program pembangunan tanah wakaf bersama agensi di peringkat negeri dapat disiapkan mengikut perancangan yang ditetapkan.
JAWI
  • Mengawal institusi masjid di seluruh Wilayah Persekutuan daripada sebarang unsur-unsur atau program-program yang boleh memecah belahkan masyarakat. Di samping itu JAWI dapat membuat kajian bagi menaiktaraf surau-surau Jumaat supaya boleh diberi status masjid supaya mudah dari segi pengawalan pentadbirannya dan menyalurkan bantuan.
JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
  • Menjalankan kajian-kajian dan memantau isu-isu berkaitan umat Islam di Wilayah Persekutuan terutamanya isu akidah dan aliran pemikiran baru yang boleh menyesatkan.
IKIM
  • Meneruskan usaha-usaha bagi meningkatkan kefahaman Islam di kalangan masyarakat bukan Islam terutama dalam aspek yang boleh meredakan ketegangan antara kaum dan agama.
YADIM
  • Merapatkan hubungan yang lebih erat di kalangan NGO`s dakwah serta memperluaskan jaringan kerjasama dengan agensi-agensi lain terutama pihak negeri dalam melaksanakan program-program dan aktiviti dakwah kepada golongan muda mudi.
YAPEIM
  • Memperbanyakkan lagi penubuhan cawangan Ar-Rahnu dan meneroka bidang baru pembangunan ekonomi umat Islam khususnya perniagaan emas yang sangat berpotensi untuk masa hadapan. Kajian juga boleh dilakukan untuk membuat kerjasama dengan masjid-masjid tertentu di Wilayah Persekutuan yang mempunyai begitu banyak dana, supaya membimbing mereka bagi meneroka bidang ekonomi yang lebih efektif.
  • Program Mikro Kredit berasaskan Ar Rahnu dijadikan program utama dalam konteks memperkasa ummah selaras dengan gagasan 1Malaysia 1Ummah.
MAIWP
  • Meningkatkan perolehan aset umat Islam di kawasan-kawasan strategik dan berpotensi tinggi khususnya di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
  • Menyalurkan agihan zakat secara lebih telus dan cekapsupaya golongan yang memerlukan tidak terasa terpinggir selaras dengan semangat 1Malaysia.
 
 
LEMBAGA TABUNG HAJI
  • Memastikan tempoh menunggu bagi jemaah haji Malaysia terutama mereka yang telah berusia tidak terlalu lama.
  • Memastikan sistem Q giliran menunaikan Haji dikawal selia dengan baik dan kekal berintegriti.
YAYASAN WAKAF MALAYSIA (YWM)
  • Saya berharap agar peranan wakaf dapat diterjemahkan kepada satu bentuk pembangunan yang boleh dilihat serta dapat meyakinkan masyarakat.
  • Caruman wakaf perlu dipertingkatkan ke suatu angka yang membanggakan, melalui kempen-kempen yang lebih agresif melalui pelbagai jenis media.
INTERNATIONAL ZAKAT ORGANIZATION (IZO)
  • Memastikan Penubuhan World Zakat Organization benar-benar dapat direalisasikan pada tahun 2011 ini, supaya peluang untuk menyalurkan dana umat Islam yang tidak dituntut di bank-bank antarabangsa dapat dibuat dengan segera bagi pembangunan umat Islam sejagat.
TV AL-HIJRAH
  • Memastikan TV AlHijrah bersiaran mengikut visi, misi dan objektif yang telah digariskan. Kita perlu meletakkan saluran TV Hijrah sebagai TV untuk medium dakwah sebagai asasnya, dan tidak akan terbawa-bawa dengan budaya stesen TV lain yang mempunyai visi dan pendekatannya yang tersendiri.
  • Meningkatkan usaha memperluaskan akses siaran TV Hijrah melalui pihak Astro dapat disegerakan.
22.   Selain daripada itu, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua anak-anak syarikat/agensi di bawah MAIWP, Tabung Haji dan YAPEIM yang telah dapat beroperasi dengan berkesan, serta ada juga yang telah menjana perolehan yang lumayan.
23.    Akhirnya, saya mengharapkan agar perhimpunan kita pada hari ini bukan sahaja mengukuhkan ukhwah silaturrahim sesama kita bahkan menjadi suatu platform untuk menyatukan fikrah, bergerak bersama dalam pemikiran dan kefahaman (Wahdatul Fikr) ; bersama dalam bertindak (Wahdatul Amal) dalam memastikan Islam terus subur di bumi Malaysia ini dan dalam menuju halatuju yang lebih cemerlang dan gemilang untuk mendaulatkan Islam dan ummah(Wahdatul Hadaf).
 
Semoga Allah SWT menganugerahkan tahun 2011 ini lebih baik daripada tahun 2010 dan tahun-tahun sebelumnya, bagi meneruskan usaha membangun agama, bangsa dan negara. Sekian.
 
 
وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته