TUN GHAFAR BABA "KAMPUNG BOY MADE GOOD" (MAJALAH CAHAYA 0GOS 2006), OLEH: MURSILALAILI MUSTAPA SA'DI
Tokoh<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />
Tun Ghafar Baba
“Kampung Boy Made Good”
Mursilalaili Mustapa Sa’di
Tanggal 23 April 2006, jam 7:34 pagi, ketika usia 81 tahun, bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang keenam, telah dijemput Allah. Pemergian beliau merupakan suatu kehilangan yang amat besar kepada negara dan rakyat Malaysia. Allahyarham Tun Ghafar Baba meninggal dunia selepas bertarung selama lebih tujuh bulan melawan penyakit asma dan jantung yang dihidapinya. Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi semua anggota keluarganya di Pusat Perubatan Gleneagles Intan (GIMC) di Jalan Ampang akibat komplikasi jantung, paru-paru dan buah pinggang.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah mengemukakan usul tergempar merakamkan perasaan dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba. Perdana Menteri yang mewakili kerajaan Malaysia mengemukakan usul itu selepas sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini. YAB. Perdana Menteri mengatakan:
“Bahawa Dewan ini merakamkan perasaan dukacita yang amat sangat di atas kembalinya ke Rahmatullah Allahyarham YABhg. Tun Abdul Ghafar Baba, bekas Timbalan Perdana Menteri pada 23 April 2006 dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarganya”
Dewan Pemuda PAS Pusat turut menghantar surat takziah kepada keluarga Allayarham Tun Ghafar Baba. Antara kandungan surat tersebut ialah:
“Bagi pihak Pimpinan dan ahli-ahli Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), saya merakamkan ucapan takziah kepada tuan dan seluruh ahli keluarga di atas kembalinya Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba ke rahmatullah pada hari ini. Kembalinya Allahyarham ke rahmatullah merupakan satu kehilangan besar kepada negara. Kami mendoakan agar tuan dan seluruh ahli keluarga tabah dan sabar menghadapi ujian yang melanda. Kami juga mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang soleh jua.”
Selain itu, Ahli Parlimen DAP YB Encik Lim Kit Siang turut merakamkan takziah di atas pemergian bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Ghafar Baba di Parlimen pada 24 April 2006. Antara ucapan usul takziah tersebut ialah:
“With a heavy heart, I rise to give support to the Prime Minister’s motion of condolence on the passing of one of the very few surviving giants of the struggle for national Independence, the late Tun Ghafar Baba. I wish to extend DAP’s deepest condolence to the family of Tun Ghafar on their bereavement, which is also a national loss of a great Malaysian son. The late Tun Ghafar had had a most illustrious political career, rising not only to become the Deputy Prime Minister and UMNO Deputy President, he was at one time the President of MCA! He never forgot his humble beginnings and was always a people’s politician. He stood out among all politicians in his steadfastness and commitment to be with the people, when he declined all titles and honours offered to him in his four decades of active political life, until after his political retirement. Even in his final years, despite his ailing health, he continued to be in the very forefront in his concern for the welfare and future of the people and country.”
Allahyarham Tun Ghafar Baba telah dilahirkan pada 18 Februari 1925, di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Allahyarham memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Pilah manakala pendidikan menengah beliau adalah di Sekolah Melayu Tangga Batu di Melaka. Ibu Allahyarham Tun adalah dari Melaka manakala bapa Allahyarham Tun adalah dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Allahyarham Tun kemudiannya menyambung pendidikan beliau di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris) di Tanjung Malim, Perak.
Perguruan adalah karier pertama Allahyarham Tun, bermula dari tahun 1949 sehinggalah tahun 1955. Allahyarham Tun Ghafar Baba turut melibatkan diri dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1946 dan kemudiannya menyertai United Malay National Organisation (UMNO) pada tahun 1951. Dalam tahun 1955, ketika pilihanraya umum pra-merdeka, beliau telah bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Melaka Luar. Manakala pada pilihanraya umum yang pertama selepas Merdeka pada tahun 1959, Allahyarham Tun Ghafar Baba telah dilantik menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Tanjung Keling, Melaka. Tahun 1959 hingga tahun 1967, Allahyarham Tun Ghafar Baba telah diamanahkan sebagai Ketua Menteri Melaka. Manakala, pada tahun 1967 hingga tahun 1971 Allahyarham Tun Ghafar Baba telah dilantik
Allahyarham Tun Ghafar Baba pernah menerajui Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar mulai tahun 1974 hingga 1976. Disamping itu Allahyarham Tun Ghafar Baba juga merupakan Ahli Parlimen Kawasan Alor Gajah dari tahun 1974 hingga 1978 dan Ahli Parlimen bagi Kawasan Parlimen Jasin dari tahun 1978 hingga 1999. Ketika menjadi Ahli Parlimen Jasin, Allahyarham Tun Ghafar Baba telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang keenam bermula dari tahun 1986 hingga 1993. Semasa menjawat jawatan ini Tun telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatakuasa Kemajuan Hal Ehwal Islam Malaysia. Khidmat terakhir Allahyarham Tun Ghafar Baba sebagai Ahli Parlimen adalah pada tahun 1999 iaitu bagi Kawasan Parlimen Batu Berendam.
Beliau merupakan naib presiden UMNO yang paling lama berkhidmat, bermula dari tahun 1962 sehingga 1987. Allahyarham Tun Ghafar Baba juga merupakan Timbalan Presiden UMNO dari tahun 1967 hingga tahun 1993. Beliau juga merupakan Wakil Rakyat yang paling lama menabur bakti dan telah bertanding di dalam sebelas pilihan raya umum semenjak tahun 1955 sehingga tahun 1999.
Allahyarham Tun Ghafar Baba merupakan pengasas Institut Teknologi Mara yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA, yang merupakan antara penyumbang utama kepada kemajuan Bumiputra. Beliau telah dianugerahkan pingat Seri Setia Mahkota (SSM) oleh Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong yang kesepuluh, Tuanku Jaafar pada tahun 1995, yang membawa gelaran Tun.
Allahyarham Tun Ghafar juga adalah pengasas UMNO Sabah, bersama-sama Bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir, bekas Ketua Menteri Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Datuk Seri Harris Salleh
Jelas bahawa Allahyarham Tun Ghafar Baba adalah seorang negarawan yang telah banyak berjasa dan menyumbang bakti kepada Malaysia serta rakyatnya. Jenazah Allahyarham Tun Ghafar Baba telah dikebumikan di Makam Pahlawan selepas selesai solat asar hari yang sama. Negara telah kehilangan seorang negarawan dan pejuang yang tidak dapat dihitung jasanya kepada masyarakat dan tokoh seperti Allahyarham sukar dicari ganti. Allahyarham memperlihatkan kematangan dan sentiasa menyampaikan suara keseimbangan terutamanya dalam perkara-perkara yang sensitif yang menyentuh agama, kaum budaya dan bangsa. Allahyarham juga adalah pemimpin yang sentiasa komited untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara tanpa mengira penat lelah serta perbezaan agama, bangsa dan status sosial. Semoga Allah SWT sentiasa mencucu
- Hits : 2402







