Ucapan Menteri Dalam Program Muhadharah Antidadah dan Gejala Sosial Pada 28 Oktober 2009
UCAPAN
YB SENATOR MEJAR JENERAL DATO' JAMIL KHIR BAHAROM (B)
SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM
PROGRAM MUHADHARAH ANTIDADAH DAN GEJALA SOSIAL
PADA 28 OKTOBER 2009
DI HOTEL GRAND CONTINENTAL KUALA LUMPUR
Bismillahirrahimanirahim
Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh
Yang berusaha saudara pengerusi majlis,
Yang Berhormat Dato’ Seri Hishamuddin Bin Hussein, Menteri Keselamatan Dalam Negeri / Yang Berhormat Datuk Wira Abu Seman Yusop, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri,
Yang Berbahagia Dato’ Sri Mahmood Bin Adam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri,
Yang Berbahagia Datuk Wan Mohamad Bin Datuk Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,
Yang Berbahagia Datuk Bakir Bin Zain, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Dan Timbalan Ketua Pengarah Jakim
Setiausaha-Setiausaha Dan Pengarah-Pengarah Bahagia,
Wakil-Wakil Agensi Kementerian, Jabatan Serta Ngo,
Tan Sri, Puan Sri Datuk, Datin, Tuan, Puan,
Para hadirin dan hadirat, muslimin dan muslimat peserta Program Muhadharah Antidadah Dan Gejala Sosial yang dirahmati Allah sekelian.
Alhamdulilah, segala pujian bagi Allah Tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Bersyukur kehadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dan inayahnya dapat saya berjumpa dan berhimpun di dewan ini bagi menjayakan majlis makan malam sempena Program Muhadharah Antidadah Dan Gejala Sosial pada malam ini.
Pertamanya, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Majlis Aids Malaysia dan agensi-agensi yang terlibat kerana bekerjasama menganjurkan program ini.
Tan Sri, Puan Sri Datuk, Datin, Tuan, Puan, yang dihormati sekelian,
Sesungguhnya saya amat gembira kerana dengan adanya majlis perhimpunan seumpama ini, bukan sahaja kita dapat mengeratkan silaturrahim sesama kita malah dapat bertukar–tukar fikiran dengan mencambahkan idea-idea serta pengalaman yang baru bagi mendapat pandangan untuk kita sama-sama cuba mengatasi masalah kebejatan sosial yang sedang dihadapi ini.
Saya difahamkan bahawa para peserta program ini telah dibawa ke lokasi tertentu seperti lokasi penagih dadah, syabu dan gam, lokasi pelacuran, mak nyah dan gay, serta rumah-rumah perlindungan hiv/aids sekitar Lembah Klang bagi melihat dan berinteraksi secara langsung dengan kumpulan sasar. Saya mengharapkan agar tuan-tuan akan mendapat sesuatu yang berharga untuk diambil semasa lawatan tersebut.
Tan Sri, Puan Sri Datuk, Datin, Tuan, Puan, yang dihormati sekelian,
Isu-isu semasa yang berkaitan dengan gejala sosial yang semakin menjadi-jadi pada saat-saat akhir ini. Sebagaimana kita sedia maklum bahawa gejala sosial yang berlaku hari ini bukanlah dalam kalangan masyarakat kota sahaja malah masyarakat desa juga menghadapi masalah yang sama.
Penyalahgunaan dadah masih merupakan masalah utama negara dan ianya amat membimbangkan kita semua kerana, mengikut apa yang dilaporkan oleh Agensi Anti-Dadah Kebangsaan bahawa peratusan penagih dadah dikalangan remaja kita mencapai 75% melebihi daripada bangsa lain,sedangkan mereka ini merupakan aset negara yang sangat bernilai dan sebagai harapan kita untuk meneruskan perjuangan membela bangsa dan negara di masa akan datang.
Begitulah juga dengan masalah sosial yang lain seperti isu gadis beragama Islam hamil di luar nikah yang semakin bertambah.
Statistik yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan bahawa ibu kanak-kanak beragama Islam yang melahirkan anak luar nikah dari tahun 2000 hingga julai 2008 adalah sebanyak 155,744. Ia berdasarkan sijil kelahiran yang telah dikeluarkan oleh jabatan ini.
Tan Sri, Puan Sri Datuk, Datin, Tuan, Puan, yang dihormati sekelian,
Sekiranya kebejatan akhlak dan gejala sosial ini tidak dibendung, maka impian kita untuk membangunkan negara kita menjadi sebuah negara maju dengan acuan kita sendiri, akan hancur berantakan. Impian bertukar menjadi mimpi. Mimpi demi mimpi, demi mimpi. Mimpi yang akan sirna, bersama munculnya sinar mentari pagi. Apa lagi yang boleh kita harapkan? Jika majority pewaris negara ini telah lumpuh, hancur luluh dek bahana dadah, arak, zina dan maksiat.
Justeru saya sangat-sangat mengharapkan agar muhadharah pada kali ini dapat membincang dengan teliti bagi mencari kaedah-kaedah terkini mengikut pendekatan yang sesuai untuk dilaksanakan bagi membendung dan menangani masalah ini supaya tidak terus menular dikalangan generasi yang masih fitrah daripada sebarang gejala sosial yang ada pada hari ini.
Tan Sri, Puan Sri Datuk, Datin, Tuan, Puan, yang dihormati sekelian,
Oleh kerana masalah sosial yang berlaku adalah masalah sejagat, maka kerjasama antara Jakim dengan agensi-agensi kerajaan badan badan bukan kerajaan akan sentiasa diteruskan dengan mengadakan bengkel, seminar, dialog, forum dan kempen-kempen kesedaran termasuk melalui khutbah, penyebaran risalah-risalah dan poster, kempen bulan dakwah, kempen menangani gejala sosial, program perkhidmatan keibubapaan, kem-kem remaja dan aktiviti-aktiviti kaunseling.
Selain daripada itu, Jakim turut memainkan peranan menangani masalah seksual dan reproduktif remaja secara bersepadu dan sepakat menyatakan pendirian yang sama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain iaitu “katakan tidak untuk zina (seks luar nikah / seks bebas)”. Sehubungan itu Jakim sentiasa merancang program-program kesedaran kepada remaja termasuk juga ibu bapa agar lebih peka dalam mendidik anak-anak mengenai kesihatan seksual reproduktif dan bahaya komplikasi seks bebas (zina) dari perspektif agama Islam.
Tan Sri, Puan Sri Datuk, Datin, Tuan, Puan, yang dihormati sekelian,
Akhir kata, saya merakamkan setinggi penghargaan kepada yang berhormat Dato’ Seri Hishamuddin Bin Hussein, Menteri Keselamatan Dalam Negeri / Yang Berhormat Datuk Wira Abu Seman Yusop, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang sudi hadir pada malam ini dan terima kasih kepada para jawatankuasa, para jemputan dan para hadirin yang hadir bagi menjayakan majlis makan malam pada kali ini.
Sekian wabillahitaufik, wal hidayah wassalamualaikum, warahmatullahi wabarakatuh
- Hits : 3221







