Ucapan Penangguhan Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dr. Ustaz Haji Awang Mohd Zain Bin Haji Serudin Menteri Hal Ehwalugama Negara Brunei Darussalam Di Majlis MABIMS Kali Ke-12
Al-Hamdulillah, dengan izin Allah jua Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Kali Ke-12 di Kuala Lumpur ini telah berlangsung dengan sempurnanya dalam suasana penuh kemesraan. Saya bagi pihak rombongan dari Negara Brunei Darussalam mengucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Dato Dr. Abdullah bin Md. Zain, Menteri di JabatanPerdana Menteri, Malaysia yang mengundang saya dan rombongan bagi menghadiri Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Kali Ke-12 di Kuala Lumpur ini.
Kami bersyukur ke hadrah Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dan terhutang budi kepada Yang Berhormat Dato Dr. Abdullah bin Md. Zain, dan kepada Jawatankuasa yang bertungkus lumus menguruskan pertemuan ini, yang mana Pertemuan ini telah berjalan denganlancar dan teratur, serta berjaya mencapai matlamatnya. Dan kami telah menerima layanan yang amat mesra, dari semua pihak selama kami berada di Malaysia kerana menghadiri pertemuan ini.
Dalam Pertemuan ini, kita telah berbincang dan membuat rumusan-rumusan yang kesemuanya itu untuk kebaikan bersama, khasnya demi kepentingan ummah, dan sebagai sumbangan kepada kehidupan beragama di rantau ini khasnya, yang kita hasratkan semata-mata bagi mencapai keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala juga. Semoga Allah sentiasa memberkati dan memelihara kita semua.
Sekali lagi diucapkan setinggi-tinggi terima kasih, dan akhirnya terimalah pantun ini :-
Menara kembar di Kuala Lumpur,
Lambang negara aman dan makmur,
Ukhuwah mesra bertambah subur,
Pertemuan berjaya kita bersyukur.
Seri Pacific PWTC,
Pertemuan MABIMS berlangsung di sini,
Layanan ikhlas menggamit hati,
Budi yang baik Allah redhai.
Wassalam
- Hits : 1389







