Ucapan Penutup Menteri Sekitaran Dan Sumber Air & Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim Di Majlis Penutup Pertemuan MABIMS 2006, Kuala Lumpur

Assalamu’alaikum waRahmatullahi waBarakatuh
Yang Berhormat,
Dato Dr Abdullah Bin Md Zin
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Malaysia.

Yang Berhormat
Dato Seri Utama Dr. Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin
Menteri Ehwal Ugama
Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat,
Bapak Mohammad Maftuh Basyuni
Menteri Agama Republik Indonesia.

Yang saya hormati, para ketua delegasi SOM, pegawai kanan SOM, dif terhormat dan hadirin sekalian.

1 Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah swt dan salam dan selawat kita kepada junjungan Nabi Muhammad saw serta keluarganya dan para sahabatnya, kerana pertemuan MABIMS kali ke 12 ini telah berjaya berlangsung dengan selamat dan sempurna. Pada penghujung pertemuan ini, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan sejawat serta wakil menteri serta perwakilan SOM yang telah berbakti demi menjayakan pertemuan MABIMS di Kuala Lumpur ini.

2 Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua perwakilan negara anggota MABIMS yang telah menunjukkan kerjasama dan persefahaman sehingga terbina sekali muafakat serantau. Semangat inilah yang saya harap akan dapat menjayakan MABIMS sehingga membawa kesan bermakna.

3 Saya juga berasa syukur dan sukacita kerana permuafakatan MABIMS telah dapat mengatasi pelbagai kendala. Ini menunjukkan semangat kerantauan kita yang diikat dengan Islam dan dipertaut dengan semangat rumpun akan dapat menjayakan hasrat MABIMS dalam jangka panjang.

4 Sedang MABIMS kian matang, memang wajar kita membuktikan kepada dunia bahawa rantau ini boleh menjadi kawasan contoh akan lahirnya sebuah umat Islam yang maju jaya, rasional, sederhana dan mengutamakan pembangunan yang seimbang. Suara MABIMS bukan saja menjadi gema seluruh umat rantau ini, bahkan ia perlu dikumandangkan dalam sidang-sidang negara Islam dan antarabangsa. Mentelah kita sudah mempunyai prasarana untuk menghebahkan pencapaian-pencapaian yang diperolehi oleh umat rantau ini – dalam penerbitan buku dan sebagainya.

5 MABIMS dan masyarakat rantau ini boleh dan perlu mempengaruhi arus globalisasi. Hal ini boleh dilakukan dengan kecergasan dan kecerdasan kita menampilkan idea-idea membina dalam mengajak dialog antara tamadun dan dalam menonjolkan Islam sebagai salam damai kepada seluruh jagat. Untuk itu, kita perlu merangsangkan para cendekiawan Islam, gerakan belia dan Muslimah rantau ini. Semua proses ini perlu digarap dengan baik lagi teratur demi mendukung visi dan misi MABIMS. Dengan cara ini, MABIMS akan dapat membina jambatan atau ikatan lebih tinggi di peringkat serantau atau antara rantau. Peranan ini amat perlu kita mainkan demi mengukhkan lagi kedudukan kita dalam arus globalisasi.

6 Sebagaimana pernah saya terangkan sebelum ini, negara-negara MABIMS perlu terus memberi penekanan pada peri pentingnya pendidikan Islam dalam membina asas pembangunan ummah. Memang tiada jalan pintas untuk mempercepat kemajuan ummah. Namun saya yakin dengan adanya perkongsian pengalaman, sumber dan kepakaran di kalangan negara-negara anggota MABIMS, proses tarbiyah yang lebih cocok lagi sesuai akan dapat dijana untuk keperluan setiap lapisan ummah.

7 Potensi rantau ini amat besar, khususnya dari segi pembangunan umat Islamnya yang merupakan terbesar atau seperlima daripada seluruh ummah. Oleh itu, dengan kegigihan setiap negara anggota MABIMS, adanya penerbitan, web atau portal di internet, kita berharap suara ummah rantau ini akan turut mencorakkan agenda Dunia Islam dan antarabangsa.

8 Saya yakin menerusi pelbagai kegiatan, MABIMS akan terus relevan dalam menghadapi ujian masa. Yakinlah, bahawa di sebalik kesulitan, akan ada kelapangan dan keberuntungan selagi kita yakin pada diri sendiri, berusaha dan percaya kepada janji Ilahi Robbi.

9 Akhir kalam, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua rakan sejawat dan para perwakilan, terutama tuan rumah Malaysia, dalam menjayakan pertemuan tahun ini.

10 Sebagaimana biasa sebelum tirai pertemuan kita kali ini dilabuhkan, saya ingin menyajikan dua rangkap pantun sebagai oleh-oleh kenangan.

Kuala Lumpur indah kotanya,
Terkenal sudah di merata dunia;
Kita bersidang mengatur agendanya,
Agar tercapai impian jaya.

Terkenal sudah di merata dunia,
Menghimpun insan segala bangsa;
Tak kenal, maka tak cinta,
Semoga ikatan menjadi sentosa.