Ucapan Perasmian Y. Bhg. Dato' Hj. Wan Mohamad bin Dato' SheikhAbdulAziz,KetuaPengarahJAKIMSempenaWacana Pendidikan Fatwa: Penggunaan Lafaz Allah
UCAPAN PERASMIAN
Y. Bhg. Dato' Hj. Wan Mohamad bin Dato' Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM
Sempena Wacana Pendidikan Fatwa: Penggunaan Lafaz Allah
28 Januari 2010
_________________________________________________
Y. Bhg. Prof. Dato' Dr. Abdul Shukor Husin, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia,
Sahibus Samahah Dato' Hj. Ahmad Alawi bin Hj. Adnan, Mufti Negeri Sabah,
Pengarah-pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-negeri,
Y. Bhg. Tan Sri, Dato'-dato', Datin-datin, tuan-tuan dan puan yang dihormati sekelian
السلام عليكم ورحمةالله وبركاته
1. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wa Taala kerana pada hari ini kita dapat berkumpul dengan semangat dan kesedaran terhadap peri pentingnya kesepakatan dan perpaduan bagi memastikan keamanan dan kedaulatan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini terus terpelihara. Melalui semangat persaudaraan yang kukuh di antara kita, apa jua cabaran yang cuba menggugat keharmonian hidup masyarakat di negara ini akan mampu ditangani dengan kaedah yang terbaik.
2. Permulaan tahun 2010 telah benar-benar mencabar umat Islam di negara ini. Isu penggunaan lafaz Allah oleh majalah The Herald telah mengundang ancaman dan keresahan seluruh umat Islam. Sepanjang Januari, pelbagai peringkat umat Islam daripada kelompok individu, masyarakat, NGO dan parti-parti politik menyuarakan kebimbangan terhadap kecelaruan yang bakal dihadapi pada generasi Islam akan datang dalam memahami agama sendiri, andai agama dan umat Islam tidak dibela dan isu ini tidak ditangani dengan sebaik mungkin.
3. Walaupun ada suara-suara yang tidak sependirian dan seakan cuba menyukarkan kesepakatan umat Islam, namun alhamdulillah kita masih mempunyai kekuatan, dan majoriti umat Islam melihat lafaz Allah ini perlu terus dipertahan dan dimartabatkan walau apa jua yang berlaku.
4. Dunia hari ini menyaksikan persoalan dan isu yang dihadapi umat Islam semakin mencabar dan mengancam umat di pelbagai lingkungan. Isu-isu yang ditimbulkan seolah menduga kekuatan iman dan jatidiri umat Islam, dan apa yang membimbangkan terdapat di kalangan umat Islam sendiri yang masih mempersoalkan pandangan dan keputusan para ulama' dan pihak berkuasa agama.
5. Sekiranya dimuhasabah, di sebalik isu ini terdapat hikmah yang besar yang saya yakin Allah SWT mahu menyedarkan kita terhadap kelemahan dan kelalaian diri kita sendiri sebagai umat Islam dalam melaksanakan tuntutan dan pegangan agama sehingga diambil kesempatan oleh orang lain.
Y. Bhg. Tan Sri, Dato'-dato', Datin-datin, tuan-tuan dan puan yang dihormati sekelian
6. Lafaz Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan amat berkaitrapat dengan akidah Islam. Sebagai umat Islam, kita perlu peka dan rasa bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan lafaz tersebut semata-mata untuk meraikan agama lain hanya akan mengundang mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam sendiri.
7. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama, kerana bersikap terlalu terbuka dengan membiarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya, kerana jika kita mengambil sikap meremehkan isu ini generasi muda yang merupakan anak-anak kita akan menanggung kesan dan risiko yang besar dari apa yang telah kita lakukan pada hari ini. Kita bimbang satu masa nanti, semua agama akan dianggap sama seperti mana yang telah berlaku di beberapa buah negara .
8. Pertimbangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam melarang penggunaan lafaz Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.
9. Alhamdulillah, pada hari ini JAKIM dapat mengadakan majlis Wacana Pendidikan Fatwa ini dengan objektif utama untuk memberi maklumat dan penerangan yang tepat dari sudut Islam dan undang-undang negara mengenai penggunaan lafaz Allah kepada masyarakat Islam. Saya yakin dengan kepakaran ilmu para pembentang, maklumat yang jelas dan tepat akan diperolehi oleh semua para peserta di akhir majlis ini, dan saya amat berharap maklumat-maklumat ini dapat disampaikan kepada semua peringkat masyarakat Islam di seluruh Malaysia.
Para hadirin yang dihormati sekelian,
10. Sebelum mengakhiri ucapan ini, marilah sama-sama kita memelihara dan memartabatkan kesucian Islam dan memperteguhkan kesepakatan atas nama Islam, kerana perpecahan hanya akan merugikan umat Islam dan memberi ruang kepada orang lain mengambil kesempatan di atas kelemahan kita. Persiapan diri yang kukuh dalam pegangan agama perlu untuk menghadapi apa jua cabaran mendatang, di samping mengupayakan diri untuk menilai kekuatan dan kelemahan yang dimiliki ke arah memartabatkan Islam di muka bumi Malaysia ini.
11. Dengan lafaz بسم الله الرحمن الرحيم saya dengan sukacitanya merasmikan Wacana Pendidikan Fatwa: Penggunaan Lafaz Allah pada pagi ini.
Sekian.
Draf ucapan kp_perasmian/ppkfatwa
- Hits : 2282







