Ucapan Terima Kasih dan Penghargaan Kepada Kerajaan Malaysia Di atas Penganugerahan Tokoh Ma'al Hijrah 1430 - Oleh : Prof. Dr. Wahbah Mustafa Al-Zuhayli


Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,

Assalamualaikum,

Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam, selawat dan salam ke atas penutup segala nabi dan imam segala rasul, ke atas kaum keluarganya serta para sahabat.

Terlebih dahulu patik mengucapkan tahniah ke atas Duli Tuanku dan kerajaan Malaysia serta rakyat Duli Tuanku sempena awal kedatangan tahun baru hijrah 1430H/2008 dengan harapan semoga Allah SWT menjadikan tahun ini bagi negara Duli Tuanku dan seluruh dunia Islam sebagai tahun kebaikan, keberkatan, kemajuan, kerjasama, kebangkitan dan pencapaian-pencapaian baru. Semoga berterusan menyumbangkan kurniaan dengan sepenuh kemurahan, memperkukuhkan dasar-dasar ketamadunan masakini yang digali daripada sejarah lampau dan kini berasaskan apa yang termaktub dalam agama Islam yang suci yang menjanjikan kehidupan mulia dengan keagungan (akhirat) dan kezuhudan (terhadap dunia), keselamatan, keamanan, kehormatan, persaudaraan, saling melengkapi, memperkukuhkan seruan perpaduan kebangsaan yang tertegak di atas persaudaraan dan kasih sayang yang telah disemaikan konsepnya oleh Duli Tuanku. Dengan wawasan dan kesungguhan yang dipamerkan oleh kerajaan Duli Tuanku yang cemerlang, ia suatu lambang kepada kepentingan mengukuhkan kekuatan negara Malaysia dan sumbangan-sumbangannya dalam memperkenalkan ketinggian hati budi rakyat Duli Tuanku serta kemajuan tamadun manusia, kemasyarakatan dan ekonomi.

Dengan ini, patik juga merafa’ setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan di atas pemilihan patik sebagai Tokoh Ma’al Hijrah bagi tahun 1430H/2009M peringkat kebangsaan. Ia suatu petunjuk yang jelas, bahawa kerajaan Duli Tuanku menilai dengan nilaian yang tinggi, penuh penghormatan dan penuh objektif bagi menghargai tokoh-tokoh umat Islam berbangsa Malaysia dan bukan Malaysia yang telah menghulurkan sumbangan yang cemerlang terhadap agama Islam. Ia sudah tentu didasari oleh rasa iman yang mendalam, kecintaan dan keikhlasan terhadap risalah agung Islam yang menjadi penghimpun seluruh umat Islam di segenap pelusuk dunia.

Penganugerahan Duli Tuanku secara khusus terhadap anugerah terulung bagi tokoh-tokoh terkemuka yang telah menyumbangkan khidmat cemerlang kepada ummah pada setiap awal kedatangan tahun hijrah juga, menjadi suatu petunjuk kukuh di atas penghormatan tinggi Duli Tuanku terhadap perkara-perkara asas agama, sejarah dan tanah air, dengan mengambil sempena penghijrahan Nabi SAW dari Makkah ke Madinah pada tahun ke-13 hijrah. Peristiwa hijrah tersebut menyaksikan kewujudan negara umat Islam, suatu kemenangan yang menyinari seluruh umat alam. Pengaanugerahan ini juga diambil daripada manhaj Islam Hadhari dan mesej dakwahnya yang universal iaitu merealisasikan kebaikan, persaudaraan, keselamatan, kasih sayang, keadilan, kebebasan, kesaksamaan dan pembangunan menyeluruh pada segenap sudut kehidupan pada setiap masa dan zaman, berasaskan firman Allah SWT: Bermaksud: “Sesungguhnya al-Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mu’min yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar”. (Surah al-Isra’: 9) Dan firman Allah SWT: ”Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kamu. (Surah al-Anfal: 24) Kehidupan (al-ihya’) bermaksud: Kebangkitan (al-nahdhah) dan membina tamadun manusia dengan makna yang sempurna dan mendalam. Ini kerana ia meliputi pembinaan individu, pembinaan kelompok umat beriman dan membina kelompok manusia supaya umat manusia boleh hidup dalam keadaan sihat, aman, selamat dan penuh ketenangan. Sebagaimana maklum, bahawa kaum wanita mempunyai peranan yang menyerlah dalam memastikan kejayaan peristiwa hijrah. Antara wanita tersebut ialah Asma’ binti Abu Bakar r.a.h.

Sesungguhnya negara Malaysia yang agung telah merancang dengan penuh kepakaran, fikiran yang mendalam dan berpandangan jauh untuk menjadi sebuah negara yang bertamadun, maju dan ke hadapan pada masakini. Ia juga menjadi perintis dalam membina masyarakat, ekonomi dan tanahair Malaysia berasaskan binaan yang bijaksana, jujur dan kukuh dari luar dan dalam.

Tamadun Islam ialah tamadun yang kekal, ia menghimpunkan antara kerohanian yang terbentuk atas dasar iman yang benar dan kukuh serta kasih sayang yang umum kepada setiap insan, dengan kebendaan yang bermanfaat untuk membina bukan menghancurkan, menyatukan bukan memecahbelahkan, mengatasi segala bentuk perkauman, segala bentuk kezaliman, monopoli dan fanatik buta, berdasarkan firman Allah SWT: ”Wahai orang yang beriman, telah datang kepada kamu pengajaran daripada Tuhan kamu dan penyembuhan bagi apa yang ada di hati serta petunjuk dan rahmat bagi orang yang mu’min”. (Surah Yunus: 57) Dan firman Allah SWT: ”Wahai ahli kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad SAW) menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab suci, dan Ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”. (Surah al-Ma’idah: 15-16)
Bahawasanya pembentukan sahsiah Islam yang sederhana dan kuat dalam setiap negara dan luarnya adalah kriteria paling benar, tepat dan kukuh yang patut bagi alam keseluruhannya mencontohi manhaj, nilai-nilai, dasar-dasar dan hukum-hakam syariat Allah yang lurus. Bukti terbaru ialah seperti krisis kewangan dunia, ketidaktentuan kewangan dan deflasi ekonomi. Kesemua ini menunjukkan Islam yang suci adalah agama yang mampu merawat kesemua krisis-krisis ini melalui keiltizaman terhadap perjuangan keadilan, kesaksamaan, kerahmatan, menghindari sifat tamak haloba yang wujud hasil daripada sistem ribawi yang zalim dan jelas memudaratkan majoriti yang menjadi pelanggan, sehingga segelintir golongan yang zalim itu hidup di atas tanggungan golongan faqir dan lemah serta menghisap darah orang lain. Begitu juga golongan zalim yang memerintah dan mengawal dunia dengan berpayungkan slogan-slogan palsu seperti keadilan, demokrasi sekular, tamadun bangsa kulit putih dan lain-lain yang hanya merupakan syiar palsu dan bukan realiti yang berlaku.

Sesungguhnya kami, para ulama’ yang ikhlas dengan syariat dan nilai-nilai kita, wajib ke atas kami untuk menyampaikan sumbangan Islam yang kekal dalam bidang politik, kemasyarakatan, ekonomi dan kemulian akhlak serta adab, bagi menyelamatkan seluruh alam daripada kejahatan, penyelewengan dan pelbagai bentuk kezaliman di pelbagai lapisan masyarakat. Kami juga bertanggungjawab untuk menjelaskan keagungan ajaran Islam dalam aqidah, syariah serta manhaj pengislahan dunia dan tempatan dari segi ekonomi dan kemasyarakatan. Ia bagi mengukuhkan bahawa kita adalah umat pertengahan, sederhana, penyayang, dipandang tinggi, saling mengenali dan bekerjasama, selamat, aman, mengamalkan mesyuarat atau demokrasi Islam yang suci. Bukan umat yang zalim, yang dipenuhi dengan pertelingkahan dan permusuhan dan memperkotak-katikkan ekonomi dunia.

Kita hendaklah memahami bahawa krisis dunia terbesar ketika ini ialah dalam dua perkara: jauh dari ajaran iman yang benar iaitu kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya, Rasul-Nya dan Hari Akhirat. Juga mengetepikan kamus akhlak yang mulia dan dihormati yang mampu membina tamadun bangsa yang kekal dan nilai-nilai kemanusiaan yang rasional. Dan menafikan pengiktirafan sebenar bukan secara teori atau hanya syiar terhadap hak-hak kemanusiaan, berbeza dengan apa yang diseru oleh al-Qur’an al-Karim dan asas-asasnya. Firman Allah SWT: ”Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”. Ini ialah kunci bagi menangani segala permasalahan dengan menyeru kepada kesaksamaan, kebebasan, persaudaraan, kerjasama lalu membuang segala bentuk perkauman dan ketamakan bagi membina umat keseluruhannya dan bekerja dengan jujur sebagai tanggungjawab bagi setiap manusia dalam kehidupan yang mulia.

Duli Tuanku,

Bahawasanya manhaj ketamadunan, kemajuan ekonomi dan ketinggian peribadi dan masyarakat yang dirintis oleh kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi adalah manhaj yang selamat dan benar yang menghimpunkan antara asas-asas iman yang hakiki, aqidah Islam yang suci dan nilai-nilai akhlak yang tinggi. Ia menjadi lambang kepada kemajuan Malaysia dan mampu memelihara segala warisan yang ditinggalkan umat Islam di negara ini.
Sebagai contoh, Jabatan Perdana Menteri yang menaungi hal ehwal Islam Malaysia yang mengurus segala keperluan umat Islam seperti ibadat haji, penganjuran syiar-syiar agama dan institusi-institusi kemasyarakatan dengan penuh toleransi, komitmen yang tinggi dan keazaman yang jujur, tidak pernah mengenal kecuali Islam yang suci yang terpelihara daripada ketaksuban dan kecacatan. Malah amat berpegang kepada toleransi, keamanan dan keadilan bagi semua rakyat Malaysia. Ini menjadi tanda kepada kebaikan. Oleh itu, rakyat yang baik tanpa mengira apa jua agamanya atau mazhabnya, ia akan mampu untuk membina kemuliaan tanahairnya dengan ikhlas, ketaatan, bekerja bersungguh-sungguh dan tekun untuk mencapai kemaslahatan umum dan memeliharanya dari kehancuran dan pelbagai penyakit.

Sesungguhnya rakyat Malaysia yang memiliki akhlak mulia, yang tenang sifatnya, muslim yang rajin, yang mencintai orang lain, yang menghargai ilmu dan kehendak-kehendaknya, ketamadunan dan asas-asas kehidupan yang aman dan stabil adalah rakyat yang baik yang saling bekerjasama antara umat, masyarakat dan selainnya.

Duli Tuanku,

Bangsa Malaysia pada hakikatnya, dianggap sebagai pengemudi kepada bangsa yang maju ke hadapan, memelihara asas-asas dan asal-usulnya. Ini ialah dorongan kuat bagi membina kekuatan ummah dan tanahair. Dan sesungguhnya dunia Islam dan Arab amat berbangga dengan pencapaian-pencapaian Malaysia seperti bidang perindustrian dan sebagainya dengan kepimpinan Duli Tuanku yang bijaksana dan program-program pengislahan tamadun dan ekonomi bagi kerajaan Malaysia.

Pada akhirnya patik memohon agar Duli Tuanku mengizinkan patik untuk sekali lagi mengulangi ucapan terima kasih dan penghargaan buat Duli Tuanku, kerajaan dan rakyat Malaysia di atas anugerah ulung yang disampaikan kepada patik. Dengan sesungguhnya patik amat mengasihi bangsa ini dan semua yang beramal dengan ikhlas kerana Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT: ”Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: 'Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Surah Fussilat: 33)

Wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.