UCAPAN Y.B DATO' SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DI MAJLIS PERASMIAN FORUM RAMADHAN DAN KESIHATAN ANJURAN KBMC TARIKH : 24 OGOS 2008 (AHAD) MASA : 9.30 PAGI TEMPA
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh
Y.Bhg. Dato’ Dr. Harussani Zakaria
Mufti Besar Perak
Y.Bhg. Prof. Dr. Omar Hasan Kasule
Pensyarah Universiti Brunei
Y. Bhg. Dr. Ishak Masu’d
Pengarah Hospital KBMC
Y. Bhg. Dr. Suhaimi Abdul Halim
Pengarah Perubatan
Saudara-saudari, Hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian,
Pertama sekali marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana diberi peluang untuk bersama-sama dalam majlis ilmu pada pagi yang mulia ini. Kita bersyukur dan berdoa supaya kita diberi kesempatan untuk bersama-sama melalui bulan Ramadhan yang akan datang ini, InsyaAllah yang akan tiba beberapa hari sahaja lagi.
1. Saya mengucapkan terima kasih kepada KBMC yang sudi menjemput saya untuk bersama-sama dalam program yang bertujuan mendidik dan memberi peringatan kepada masyarakat berhubung dengan isu-isu kesihatan dan Ramadhan supaya kita tidak was-was akan rawatan serta pemeriksaan yang mungkin kita lalui semasa bulan Ramadhan.
2. Kita sedia maklum bahawa setiap umat Islam wajib berpuasa melainkan orang yang tidak mampu samada tidak sihat atau dalam perjalanan. Walau bagaimanapun, ramai di antara umat Islam yang mampu berpuasa walaupun mereka mengalami penyakit-penyakit yang serius ataupun sebaliknya. Mereka memerlukan ubatan/rawatan semasa Ramadhan. Dengan kemajuan yang ada sudah tentu apa yang difahami semasa dahulu harus dilihat dari perspektif
yang berbeza. Saya percaya dengan kehadiran 2 tokoh yang tidak asing lagi pada pagi ini, InsyaAllah kita akan dapat memahami dengan lebih jelas akan perkara-perkara yang berkaitan puasa dan rawatan serta pemeriksaan dan seterusnya lebih yakin dengan ibadah yang kita akan lalui ini.
3. Bagi umat Islam, bulan Ramadhan adalah bulan yang amat murni, ‘bulan Tarbiyah’ – bulan latihan bagi kita supaya semua-semua perkara dan kehendak hawa nafsu boleh dikawal demi untuk mendapat ketaqwaan, ia terlalu tinggi nilainya dan harus disempurnakan dengan sebaik mungkin.
4. Marilah kita bersama-sama menghayati Ramadhan kali ini dengan jayanya. Jangan kita mengambil ringan akan kurniaan Allah yang maha Agong ini. Kita laksanakan ibadah dengan bersungguh-sungguh. Kita hayati Islam ini sebagai satu ‘way of life’ yang syumul. Kita terjemahkan pada diri kita, keluarga, masyarakat dan seterusnya dalam setiap apapun yang kita lakukan.
Sdr/sdri, para hadirin yang dihormati,
5. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada KBMC atas usaha mendidik masyarakat.
6. Terima kasih kepada Ahli Panel/Penyelaras Forum serta semua yang terlibat. Mudah-mudahan Allah akan memberi balasan kepada kita semua yang bersama-sama berganding
bahu untuk menyumbang kepada kesejahteraan ummah dan meningkatkan kefahaman mereka seterusnya menjadikan kita umat terbaik.
Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Forum Ramadhan dan Kesihatan anjuran KBMC.
- Hits : 2142







