UCAPTAMA SEMINAR IMAM-IMAM BESAR SELURUH NEGARA TAHUN 2009 oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim - 22/11/2009

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT
SELAWAT.
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM,
 
PUJI DAN SELAWAT
 
Yang Berbahagia Tuan Haji Ghafani Bin Awang Teh – Pengarah Bahagian KESUMA JAKIM.
 
Y.Bhg. Tan Sri Shaikh Ismail bin Muhammad – Imam Besar Masjid Negara
 
Yang Dihormati Dif-Dif Jemputan, Para Imam Besar Masjid Negeri dan Daerah, Pegawai Takmir Negari Serta Barisan Urusetia Seminar Yang Dihormati Sekelian.
 
1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia dan inayahnya kita dapat berhimpun bersama-sama di dewan yang mulia ini bagi menjayakan Seminar Imam-Imam Besar Seluruh Negara Tahun 2009. Sesungguhnya perhimpunan seumpama ini perlu diteruskan, kerana melalui perhimpunan ini bukan sahaja mengeratkan silaturrahim malahan kita dapat bertukar–tukar fikiran sesama kita bagi mencetuskan idea-idea baru bagi mencari pendekatan–pendekatan terkini yang lebih efektif untuk mempertingkatkan hal ehwal pengurusan dan pengimarahan masjid di seluruh negara.
 
2. Sesungguhnya program seumpama ini merupakan satu hasrat murni kerajaan untuk melihat institusi masjid dapat berdiri dan berperanan dalam menggerakkan umat Islam ke arah yang terbaik. Terima kasih diucapkan kepada Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program seumpama ini. Sesunggunhnya tanpa kerjasama semua adalah mustahil sesebuah program dapat dilaksanakan dengan lancar.
 
HADIRIN YANG DIHORMATI SEKALIAN
 
3. Imam memainkan peranan penting dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Tugas mendidik dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat memerlukan semangat yang jitu tanpa mengenal erti putus asa.
Sesungguhnya pengorbanan dan sumbangan para imam tidak dapat dibalas dengan apa jua sekalipun. Pada tahun ini, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM76,653,000.00 bagi membayar imbuhan imam mukim/kariah seluruh negara seramai 14,195 orang. Manakala peruntukan bagi membiayai elaun mengajar guru takmir seluruh negara seramai 3,313 orang pada tahun 2009 ialah RM11.4 juta. Kerajaan juga menyediakan peruntukan bagi memastikan aktiviti pengimarahan masjid terus berjalan lancar. Peruntukan yang besar ini adalah tanda penghargaan dan terima kasih pihak diatas kerjasama imam dan guru takmir dalam menyampaikan hasrat dan dasar kerajaan kepada masyarakat setempat.
 
TUAN-TUAN/PUAN-PUAN YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
 
4. Kita dapat melihat peranan masjid pada hari ini semakin hari semakin berkurang peranannya dikalangan masyarakat. Institusi masjid hanya dilihat sebagai tempat menunaikan ibadah khusus semata-mata tanpa melihat peranannya dengan skop yang lebih luas lagi. Jadi, tidak salah masyarakat melihat institusi masjid sebagai institusi yang lemah dan semakin hilang arah tujunya. Ini bercanggah dengan fungsi dan peranan institusi masjid pada zaman Rasulullah SAW yang memainkan peranan pelbagai sebagai pusat kegiatan dan aktiviti dalam masyarakat. Kemajuan umat Islam ketika itu digerakkan oleh institusi masjid samada aspek kemasyarakatan, pendidikan, ekonomi dan budaya. Melalui institusi masjid yang digerakkan oleh Rasulullah SAW membawa masyarakat ke arah meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT tanpa melupakan aspek kehidupan sosial masyarakat.
 
5. Justeru itu, institusi masjid perlu ditadbir secara berkesan dan profesional agar dapat menjadi sebuah insititusi yang dapat membangunkan ummah khususnya di Malaysia. Ini penting dalam mengembalikan pandangan dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi masjid. Pentadbir masjid perlu kreatif dan inovatif dalam mentadbir urus masjid. Oleh itu, mereka yang diberi tanggungjawab untuk mentadbirnya hendaklah melaksanakan amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab agar masjid itu benar-benar berperanan sebagai institusi Islam yang unggul dan dinamik sejajar dengan statusnya sebagai lambang keagungan Islam di negara ini.
 
SIDANG HADIRIN DAN HADIRAT YANG DIMULIAKAN.
 
6. Antara individu yang memainkan peranan penting dalam institusi masjid ialah Imam. Mereka bukan sahaja mengetuai solat fardhu berjemaah tetapi juga paling dekat dengan masyarakat. Rasulullah SAW bukan hanya sebagai Ketua Negara tetapi juga sebagai seorang Imam. Imam juga menjadi tempat rujukan masyarakat setempat apabila berhadapan masalah atau mendapat nasihat. Justeru itu, Imam perlu sentiasa mempamerkan sahsiah dan juga peribadi yang baik serta melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan untuk berhadapan dengan anggota masyarakat. Justeru itu, peranan Imam bukan sahaja bertanggungjawab dalam bidang keagamaan sahaja tetapi juga berperanan dalam sistem sosial masyarakat setempat.
 
7. Para Imam juga merupakan contoh kepada masyarakat. Oleh yang demikian, para Imam perlu mempunyai akhlak mulia samada dalam percakapan, pemikiran, perbuatan dan juga sentiasa menjaga syariat Islam. Pendek kata, Imam yang ideal sentiasa menghidupkan roh Islam di masjid dan di kalangan jemaahnya. Koordinasi dan kerjasama yang baik diantara Imam dan Jawatankuasa pengurusan masjid juga penting dalam mentadbir institusi masjid yang berkesan.
 
TUAN-TUAN/PUAN-PUAN YANG DIHORMATI,
 
8. Imam dan pengurusan masjid memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan dakwah. Diantara aspek yang penting dakwah Islamiah ialah sasarannya iaitu para individu dan golongan yang hendak didakwahkan. Sasarannya juga agak jelas bahawa seruan Islam adalah untuk seluruh manusia samada kepada orang besar, orang kaya, orang miskin dan lain-lain kumpulan. Akan tetapi, kita perlu memastikan sasaran bagaimana yang harus kita utamakan. <?xml:namespace prefix = st1 ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:smarttags" />Para imam dan pengurusan masjid perlu memahami dan bijak menggunakan berbagai cara yang sesuai dengan keperluan dan penerimaan kumpulan sasaran. Kelas-kelas pengajian di masjid-masjid pada hari ini dilihat sebagai tidak sampai ke sasarannya sekaligus mebawa kepada kegagalan dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat.
 
9. Justeru, itu para imam dan pengurusan masjid perlu mempelbagaikan mekanisme dakwah agar ia benar-benar berkesan dan sampai kepada masyarakat. Antara cara terbaik yang boleh dilakukan dengan mengadakan “program turun ke padang” agar dapat memahami dan mendampingi kumpulan yang bermasalah.
lace>Para imam juga dapat mengetahui apakah realiti sebenar permasalahan sosial yang melanda dalam masyarakat pada hari ini. Dalam menggunakan kaedah ini, Ilmu dakwah perlu kita fahami dan dalami dengan berbagai cabangnya termasuklah ilmu komunikasi, psikologi, mantiq dan lain-lain lagi yang akan memudahkan sampainya mesej kepada sasaran mengikut kadar tahap pemikiran mereka. Ini penting supaya kita dapat mengurangkan kesilapan sesetengah pendakwah yg tidak kenal sasaran dan hanya tertumpu kepada golongan tertentu sahaja.
 
 
 
SIDANG HADIRIN DAN HADIRAT YANG DIMULIAKAN.
 
10. Bagi merealisasikan konsep 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertemakan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, institusi masjid juga perlu melakukan perubahan. Dalam menjayakan konsep 1 Malaysia ini, kerajaan telah memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menjadikan perkhidmatan awam lebih mantap dan berkesan. Setiap institusi perlu mengambil tindakan yang seiring dengan hala tuju Kerajaan Persekutuan supaya semua dasar dan strategi dapat dilaksanakan dengan lebih efisen lagi.
 
11. ‘1Malaysia’ perlu dijayakan bersama dari segenap lapisan masyarakat. Oleh itu, kita perlu mengubah minda, kreatif dan inovatif kerana perubahan tersebut amat penting bagi mempertingkatkan taraf sosial rakyat. Justeru itu, elemen-elemen seperti struktur organisasi, pengurusan dan pentadbiran perlu ditadbir urus dengan baik yang menjadi Petunjuk Prestai Utama (KPI) bagi sesebuah institusi masjid. Malaysia wajar mengangkat idea memperkasa institusi masjid melalui pelaksanaan KPI ke peringkat serantau, sesuai dengan keserasian umat yang dapat membina kegemilangan dan kekuatan baru ummah di Malaysia.
 
HADIRIN YANG DIHORMATI SEKALIAN
 
12. Gejala sosial seperti mat rempit, penyalahgunaan dadah, ajaran sesat dan keruntuhan akhlak semakin menular dalam masyarakat Islam hari ini khususnya dikalangan belia. Proses tarbiah golongan belia dan remaja di zaman yang penuh mencabar ini sepatutnya bermula di masjid. Sepatutnya proses tarbiah rohani golongan pelapis kepimpinan negara ini dilaksanakan dengan penuh bersistem dengan berlandaskan methodologi dakwah yang bersesuaian bagi menarik minat mereka untuk mengimarahkan masjid. Namun persoalannya, institusi masjid di negara ini tidak dilihat sebagai apa yang disifatkan sebagai mesra belia.
 
13. Selain itu, golongan belia dan remaja juga dilihat semakin menjauhi masjid kerana pihak jawatankuasanya yang belum bersedia melakukan anjakan paradigma . Ini termasuk kurangnya usaha menarik minat golongan belia ke masjid. Pihak Jawatankuasa masjid harus lebih terbuka melalui kepelbagaian aktiviti dakwah kontemporari. Adakalanya jawatankuasa masjid masih terikat dengan gaya pengurusan lama dan kurang menerima idea baru yang dilontarkan generasi baru walaupun ianya tidak bersalahan dengan methodologi dakwah. Aktiviti dan program yang berbentuk riadhah dapat menarik minat belia perlu diperbanyakkan lagi. Aktiviti sebegini merupakan satu bentuk program yang benar-benar menarik minat belia dan merupakan ruang-ruang dakwah yang boleh diisi dengan pengisian rohani disamping beriadhah.
 
14. Paling penting bagi mewujudkan pengurusan masjid mesra belia, maka sudah pastilah pihak pengurusan masjid harus melakukan perubahan serta membuka ruang perbincangan untuk menjadikan masjid sebagai sebahagian daripada pusat latihan dan tarbiah remaja serta belia. Mereka harus memahami keperluan untuk mewujudkan ruang yang lebih terbuka khususnya dalam menyediakan pengisian untuk anak-anak muda di masjid. Maka sudah pasti keterbukaan ini memerlukan lebih ramai lagi ahli jawatankuasa masjid dilantik dari kalangan pemuda dan remaja bagi memudahkan penyaluran idea dan maklumat. Kesediaan dan keterbukaan ini seharusnya disambut dengan pemerkasaan jawatankuasa belia dan remaja sebagai sebuah jawatankuasa yang mampu merencana dan mencadangkan idea untuk pembangunan modal insan kelompok bakal pemimpin negara ini.
 
TUAN-TUAN/PUAN-PUAN YANG DIHORMATI,
 
15. Berlatarbelakangkan masyarakat yang pesat berubah di sebuah negara maju, masjid di Malaysia perlu dipastikan bertindak proaktif agar sentiasa relevan dengan perubahan masa. Institusi masjid harus terus dibangunkan agar dapat menjadi nadi utama dalam jalinan pembangunan dan khidmat masyarakat seluruh negara. Dari segi sistem, masjid di Malaysia perlu mengalami penyusunan semula agar setaraf dengan organisasi dan institusi terkemuka yang lain. Masjid perlu dilengkapi dengan kemudahan yang mempunyai keupayaan untuk membantu membentuk kehidupan Muslim yang mendalami agamanya dan maju sebagai sebuah masyarakat. Usaha ini akan menjadikan institusi masjid di Malaysia sebuah institusi yang menjadi akar umbi yang kukuh dan disegani dengan menempatkan diri secara strategik di kawasan-kawasan kejiranan serta menawarkan pelbagai program keagamaan, selain dari program kemasyarakatan yang disokong dengan rangkaian kerjasama yang kuat dari jawatankuasa-jawatankuasa penduduk dan ahli qaryah. Justeru itu, usaha murni secara berterusan perlu dilakukan bagi meningkatkan mutu dan mengukuhan pengurusan institusi masjid sebagai pusat kecemerlangan bagi pembelajaran Islam dan pembangunan sosial yang menjadi inspirasi kepada semua.
 
16. Dalam usaha meningkatkan prestasi pengurusan masjid para imam dan jawatankuasa masjid hendaklah mempunyai hubungan baik antara Imam dan anak mukim/kariah. Para imam dan jawatankuasa masjid perlu mengambil tahu tentang kebajikan anak kariah demi untuk menjaga kebajikan mereka. Sekiranya mereka ditimpa musibah maka para imam dan jawatankuasa masjid berperanan sebagai orang yang pertama mengambil berat untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mereka. Melalui bantuan ikhlas ini mudah-mudahan dapat menambahkan lagi ikatan silaturrahim dan ini juga merupakan medium dakwah untuk mendekatkan lagi anak kariah dengan institusi masjid.
 
HADIRIN DAN HADIRAT YANG DIMULIAKAN.
 
17. Kesempatan ini saya berharap seminar yang diadakan ini merupakan satu instrument untuk tuan-tuan memperkasakan diri sebagai seorang pentadbir masjid yang efisyen dan produktif. Saya yakin dan percaya tuan-tuan mempunyai kemampuan dan kebolehan mengurus tadbir dan mengimarahkan institusi masjid bertepatan dengan kehendak Islam. Sebagaimana firman allah swt dalam surah at-taubah ayat 18:
 
<?xml:namespace prefix = v ns = "urn:schemas-microsoft-com:vml" />
Maksudnya: hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) Masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.
 
Akhir sekali saya sudahi dengan lafaz yang mulia
wabillahitaufik, wassalamualaikum, warahmatullahiwabarakatuh.