"Ukhuwah Erat, Keluarga Sepakat, Dakwah Berkat"
Pada tanggal 1 & 2 September 2012, Badan Kebajikan Bahagian Kemajuan Islam (BAKIS) buat julung-julung kalinya telah melakar sejarah dengan menganjurkan Sambutan Hari Keluarga melibatkan pegawai dan kakitangan Bahagian Kemajuan Islam, JAKIM di Ismah Beach Resort, Pantai Bukit Kamunting, Melaka bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri melibatkan semua pegawai di bahagian Kemajuan Islam, JAKIM tahun ini.
Program pada kali ini telah dimeriahkan dengan kehadiran lebih 35 keluarga. Aktiviti dimulai dengan Jamuan Hari Raya selepas mendaftar di ismah Beach Resort, Melaka dan disusuli dengan sesi suai kenal antara ahli keluarga BAKIS bagi mengeratkan lagi silaturrahim antara keluarga. Pada sebelah malamnya pula merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh semua keluarga iaitu acara cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah yang menarik. Selain itu, ahli BAKIS yang menyambut hari lahir pada bulan Mei hingga Ogos 2012 juga diraikan pada malam tersebut dengan pemberian hadiah serta dijamu dengan kek yang ditempah khas dari Secret Recipe.
Pelbagai acara menarik memenuhi program yang diadakan selama dua hari satu malam bagi memberi peluang kepada pegawai dan kakitangan Bahagian Kemajuan Islam bergembira bersama keluarga di tepi pantai di samping aktiviti menarik untuk merapatkan hubungan sesama keluarga dan ahli-ahli BAKIS. Pelbagai acara diadakan termasuk sukaneka melibatkan semua kategori ahli-ahli BAKIS dan keluarga termasuk tarik tali, belon sayang, lari ikat kaki dan sebagainya. Kesemua ahli BAKIS yang menyertai hari keluarga BAKIS tahun 2012 kali ini amat bergembira kerana mereka telah membawa pelbagai hadiah untuk dibawa pulang sempena sukaneka di samping bernasib baik mendapat hadiah dari aktiviti cabutan bertuah.
Hari keluarga ini telah berjaya mengukuhkan ukhuwwah di kalangan pegawai dan kakitangan Bahagian Kemajuan Islam ke arah menjalinkan kerjasama yang erat dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan sepanjang tahun sesuai dengan tema sambutan Hari Keluarga BAKIS tahun 2012 iaitu Ukhuwah Erat, Keluarga Sepakat, Dakwah Berkat.










Tarikh:
Sep 07, 2012   - Hits : 1358







