Kurator Berita : Bahagian Keurusetiaan & Hubungan Luar
Kuala Lumpur: Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Ke-41 dan Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Ke-17 telah diadakan pada 3 hingga 7 Disember 2016 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Mesyuarat SOM Ke-41 telah dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Hj. Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Manakala Pertemuan MABIMS Ke-17 telah dipengerusikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Kesemua menteri-menteri agama negara anggota MABIMS hadir ke pertemuan kali ini. Keseluruhan kehadiran ahli Mesyuarat SOM Ke-41 dan Pertemuan MABIMS Ke-17 berjumlah 30 orang.
 
Mesyuarat SOM Ke-41 dan Pertemuan MABIMS Ke-17 diadakan dengan tema “Hak Asasi Manusia Dari Persepektif Islam”. Resolusi tema yang telah dipersetujui adalah seperti berikut:
  1. Masyarakat Islam wajar melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu dan kemahiran yang betul melalui sumber yang muktabar bagi menghadapi pelbagai doktrin dan cabaran baharu.
  2. Keperluan untuk memperkasakan iltizam kehidupan beragama sebagai satu cara hidup bagi memastikan setiap individu muslim mampu mendepani realiti kehidupan semasa.
  3. Mencari titik persamaan pada nilai-nilai bersama (shared values) kemanusiaan iaitu maruah kehormatan (dignity), kebebasan dan kemerdekaan (liberty), kesetaraan dan kesamaan (equality), serta persaudaraan (brotherhood) sebagai dasar dan peluang untuk bekerjasama berkaitan isu-isu hak asasi manusia.
  4. Menyebarluaskan kefahaman mengenai Islam sebagai satu sistem nilai dan etika yang menyumbang kepada kebaikan bersama (common good).
  5. Memperkukuh perjuangan hak asasi manusia selari dengan tuntutan Islam.
  6. Bersedia menjalinkan kolaborasi program-program penjelasan hak asasi manusia di sisi Islam menerusi kerjasama strategik dalam kalangan negara anggota.
  7. Bersetuju agar penulisan mengenai konsep hak asasi manusia di sisi Islam yang dibentang dalam persidangan ini dapat diterbitkan atas nama MABIMS.
 
Pertemuan MABIMS Ke-17 turut sepakat dengan pelaksanaan Pelan Strategik MABIMS Tahun 2016 – 2020 melalui lapan Bidang Kerjasama berikut:
  1. Bidang Kerjasama 1: Memperkasa Kehidupan Beragama. (Negara Penyelaras: Negara Brunei Darussalam)
  2. Bidang Kerjasama 2: Membangun Potensi Belia. (Negara Penyelaras: Republik Indonesia)
  3. Bidang Kerjasama 3: Meningkatkan Taraf Hidup Umat Islam Yang Memerlukan. (Negara Penyelaras: Malaysia)
  4. Bidang Kerjasama 4: Meningkatkan Modal Insan Umat Islam. (Negara Penyelaras: Republik Indonesia)
  5. Bidang Kerjasama 5: Meningkatkan Harmonisasi Masyarakat. (Negara Penyelaras: Republik Singapura)
  6. Bidang Kerjasama 6: Memperluas Peranan MABIMS Ke Dunia Luar. (Negara Penyelaras: Malaysia)
  7. Bidang Kerjasama 7: Menyelaras Rukyah Dan Taqwim Islam MABIMS. (Negara Penyelaras: Republik Indonesia)
  8. Bidang Kerjasama 8: Memperkasa Penyelarasan Halal MABIMS. (Negara Penyelaras: Malaysia)
 
Pertemuan kali juga telah membincangkan beberapa isu bersama dan sepakat membuat keputusan seperti berikut:
  1. Malaysia dan Republik Indonesia dapat mengusulkan kepada Kerajaan Arab Saudi agar kuota haji dikembalikan kepada kuota asal dan memohon agar tambahan biaya umrah dikecualikan daripada penambahan biaya visa sedia ada.
  2. Prinsip dan program penjelasan (tabayyun) serta dakwah hendaklah sentiasa disebarluaskan agar masyarakat lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial.
 
Delegasi SOM dan MABIMS telah dibawa melawat Makmal Analisis Halal JAKIM dan Kompleks Islam Putrajaya. Selain itu, Delegasi juga diraikan dalam Majlis Makan Malam di Cruise Putrajaya dan Majlis Makan Tengah Hari di Menara Wakaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Turut diadakan Pelancaran Buku Pelan Strategik MABIMS di Menara Wakaf MAIWP.
 
 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Putrajaya.
Disember 2016
 
 

mabims 2016 1

 

mabims 2016 2

 

mabims 2016 3

 

mabims 2016 4