Ziarah Ukhwah Asrama Anak Yatim Baitul Ummah, Kuala Lumpur

Ketua Penolong Pengarah , Y.Bhg Ustazah Zainab Ab Rahman Memberi Ucapan Aluan Kepada Anak-Anak Yatim

 

Pada 26 Januari 2008, JAKIM telah mengadakan program Ziarah Ukhwah ke Asrama Anak-Anak Yatim Baitul Ummah, Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur yang menempatkan seramai 60 orang anak-anak yatim.

Program ini merupakan satu bentuk dakwah bil hal yang dijalankan oleh Bahagian Dakwah JAKIM, bertujuan mengeratkan hubungan antara JAKIM dan pihak pengurusan Asrama anak yatim di samping menunjukkan keprihatinan JAKIM terhadap anak-anak yatim ini.

<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />

Program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengasas Asrama Anak-Anak Yatim Baitul Ummah, En. Abdul Rahman yang menyatakan bahawa matlamat penubuhan asrama anak yatim ini adalah bagi memberi pendidikan yang sempurna kepada mereka bertujuan melahirkan modal insan yang cemerlang. Pihak pengurusan asrama mengambil langkah mendidik mereka menurut cara yang disarankan Islam agar anak-anak ini akan lahir sebagai seorang insan yang boleh menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Sementara itu, ketua rombongan JAKIM iaitu Y.Bhg Ustazah Zainab bt Ab Rahman, mewakili Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Baitul Ummah atas usaha murni yang dijalankan dalam mendidik anak-anak yatim ini menjadi insan yang cemerlang. Beliau juga menasihatkan kepada anak-anak yatim yang menghuni asrama ini agar menjadi insan yang bersyukur, sentiasa patuh dan mendengar nasihat, di samping menunjukkan kesungguhan dalam menuntut ilmu. Seramai 4 orang wakil dari JAKIM menyertai program ini yang turut dihadiri oleh Us, wakil dari Jabatan Agama Islam Selangor yang telah menyampaikan sedikit ceramah motivasi kepada anak-anak yatim baitul ummah ini.

Majlis diakhiri dengan program ramah mesra antara kakitangan JAKIM dan penghuni Baitul Ummah. Rombongan turut dihiburkan dengan persembahan nasyid dan pantomin bertajuk “Balasan Anak Derhaka” dari anak-anak yatim Baitul Ummah. Semoga usaha mendidik anak-anak yatim ini akan sentiasa mendapat perhatian daripada masyarakat agar mereka dapat dibentuk menjadi insan yang cemerlang.

 

Sebahagian Anak-Anak Yatim Yang Menerima Kunjungan JAKIM