MAJLIS TAUSIAH AM AGENSI-AGENSI AGAMA DI BAWAH JABATAN PERDANA MENTERI
12 Mac - Majlis Tausiah Am dan Penyampaian Amanat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri yang berlangsung pada pagi tadi dimulakan dengan solat sunat dhuha dan solat hajat. Majlis yang berlangsung di Dewan Solat Utama, Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin, Putrajaya bermula kira-kira jam 9.00 pagi.
Antara intipati amanat yang disampaikan, beliau menekankan bahawa amanah merupakan ujian yang perlu dilaksanakan sebaik-baiknya. Semua penjawat awam juga diminta untuk sentiasa menepati masa dalam menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat. Selain itu, beliau menekankan mengenai fiqh Al-Awlawiyat, iaitu melihat keutamaan dalam membuat sesuatu keputusan disamping beliau akan memilih pekerja 'Itqan' untuk diberikan anugerah setiap bulan.
Majlis yang berlangsung selama satu jam itu berakhir pada jam 10.00 pagi dan disambung dengan Majlis "clock in" Yang Berhormat Menteri di Lobi Blok A, Kompleks Islam Putrajaya. Majlis kemudian disambung dengan sesi perjumpaan Yang Berhormat Menteri bersama dengan Ketua-Ketua Agensi Agama di Persekutuan.
Turut pada majlis pagi tadi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Tuan Haji Ahmad Marzuk bin Shaary. Semoga Institusi Hal Ehwal Agama diperingkat persekutuan terus cemerlang dengan imej yang terbaik.

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM)
12 Mac 2020
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM)
12 Mac 2020