Kuala Terengganu, 15 dan 16 Mei 2024 – Bengkel Latihan Pengguna Sistem e-Jinayat Versi 4.0 (Modul Penguatkuasaan dan Modul Pendakwaan) kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT) telah diadakan di Pusat Latihan ICT Paya Bunga, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.
Bengkel yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah serta Bahagian Pengurusan Maklumat tersebut telah disertai oleh 35 orang Pegawai Penguat Kuasa Syarie JHEAT dan 20 orang Pendakwa Syarie JPSNT.
YBhg. Tuan Haji Aizi Saidi bin Abd Aziz, Ketua Penolong Pesuruhajaya Syariah, Bahagian Penguat Kuasa JHEAT, YBhg. Tuan Haji Wan Abdul Malek bin Wan Sidek, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Terengganu dan YBhg. Ustazah Nafizah binti Md Fauzi, Ketua Penolong Pengarah, BPPPS turut menghadiri bengkel tersebut.
Sesi taklimat dan simulasi penggunaan sistem e-Jinayat versi 4.0 kepada Pegawai Penguat Kuasa Syariah dan Pendakwa Syarie Negeri Terengganu telah disampaikan oleh Encik Shah Juhan bin Samsuri selaku vendor kepada sistem, dengan dibantu oleh Puan Rini Yudesia binti Naswir, Puan Syakirah Adibah binti Mohd Ghazali dan Puan Noor Azlina binti Mohd Azim@Ejim.
Sistem e-Jinayat merupakan pendigitalan aliran kerja (work flow) tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan Syariah secara sistematik. Sistem ini telah dibangunkan bertujuan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan institusi penguatkuasaan dan pendakwaan Syariah di Malaysia. Untuk rekod, negeri Terengganu merupakan antara negeri yang terawal dalam melaksanakan penggunaan sistem e-Jinayat sepenuhnya melibatkan modul penguatkuasaan dan modul pendakwaan.



















