16 Ogos 2024 - Darul Quran (DQ) melalui Jabatan Pengajian Umum, Seksyen Pengajian Am dengan kerjasama Pusat Islam Darul Quran telah menganjurkan program Bicara Eksekutif: Tazkirah Kreatif Era Baharu. Program ini menampilkan Alumni DQ iaitu Ustaz Mohd Firdaus bin Mat Akhir, yang juga merupakan Imam dan Pengerusi Masjid al-Busyra, Merbok, Kedah. Ustaz Mohd Firdaus, yang terkenal di platform TikTok dengan hampir 1.1 juta pengikut, berkongsi ilmu dengan 350 peserta yang terdiri daripada pegawai, kakitangan, serta pelajar Diploma dan Pensijilan. Program ini turut disiarkan secara langsung melalui saluran Facebook Pusat Islam, Darul Quran dan diikuti oleh peserta dari Lokasi Tambahan Darul Quran (LTDQ).
Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai tazkirah yang segar, interaktif, dan relevan dengan keperluan masyarakat masa kini. Selain itu, peserta juga didedahkan dengan teknik penyampaian tazkirah yang pelbagai serta penggunaan media digital seperti Facebook dan Instagram sebagai medium penyebaran mesej yang efektif.
Majlis dirasmikan YBhg. Dr. Muhammad Yusry bin Mazlan, Timbalan Pengarah Cawangan Akademik, yang mewakili Pengarah Darul Quran. Dalam ucapan beliau, Dr. Yusry menegaskan pentingnya program seperti ini dalam melahirkan pempengaruh yang beradab dan santun, sesuai dengan imej seorang penghafaz al-Quran, serta mampu menyampaikan dakwah dengan berkesan kepada masyarakat.
Program ini turut dihadiri oleh YBrs. Ustazah Zahrina binti Haron, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Hal Ehwal Pelajar, Ustaz Ahmad Dasuki bin Hashim, Ketua Jabatan Pengajian Umum, dan Ustaz Mohd Fazli bin Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan Pusat Islam Darul Quran.











