Kurator Berita : Unit Komunikasi Korporat, Bahagian Dasar Kemajuan Islam
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sekali lagi mencatatkan lembaran sejarahnya yang tersendiri apabila Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat bercemar duli bagi mempengerusikan Mesyuarat MKI Kali Ke-72, yang telah berlangsung pada 23 Ogos 2024 bersamaan 18 Safar 1446H di Kuala Lumpur. Mesyuarat MKI Kali Ke-72 ini merupakan mesyuarat kali pertama yang dipengerusikan oleh Baginda setelah Raja-Raja Melayu menerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-265 pada 21 dan 22 Februari 2024 berkenan memilih Baginda sebagai Pengerusi MKI bagi tempoh dua tahun mulai 10 Mac 2024, selari dengan peruntukan dalam Peraturan-Peraturan MKI 2022.

Menerusi titah perutusan Pengerusi MKI, Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah mengimbas sejarah penubuhan MKI yang bermula pada 1 Julai 1969. Sehingga kini, MKI merupakan sebuah badan syura yang telah berakar kukuh, merendang dahan dan merimbun subur hasil usaha serta jasa bakti para ulama dan umara serta setiap tenaga yang berada di sebalik kejayaan MKI. Malah MKI menjadi medium untuk mengusahakan penyatuan yang lebih kukuh dalam urusan hal ehwal agama Islam di Malaysia dengan menghargai elemen persamaan dan menjauhi sikap yang membesar-besarkan elemen perbezaan.

Baginda bertitah bahawa kegemilangan Islam pada satu masa dahulu meninggalkan legasi dan idealisme tinggi. Namun Baginda menegaskan bahawa kemajuan sesuatu bangsa tidak boleh bergantung pada legasi dan idealisme semata-mata. Naratif masa hadapan untuk merubah kualiti masyarakat Islam ke arah yang lebih progresif hendaklah dirintis dengan menyuburkan semangat dan naratif realis dan futuris. Justeru, survival umat Islam perlu dibina melalui pembinaan kekuatan minda dan menyuntik keyakinan untuk bersaing dan berlumba.

Baginda turut mengggesa agar institusi yang diamanahkan untuk menguruskan hal ehwal Islam wajib memahami secara mendalam keperluan sebenar ummah agar program yang diperkenalkan dapat memenuhi keperluan tersebut dan tidak sekadar berbentuk luaran, ritual dan kosmetik. 

            Pada Mesyuarat MKI kali ini, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri telah hadir sebagai Timbalan Pengerusi MKI. Hadir bersama YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM yang menjalankan tugas Ketua Pengarah JAKIM selaku Setiausaha MKI, ahli-ahli MKI yang mewakili negeri-negeri seluruh Malaysia, ahli-ahli ex-officio serta ahli-ahli yang dilantik.

Mesyuarat MKI pada kali ini turut merakamkan sembah junjungan kasih penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-haj, yang telah menyempurnakan amanah sebagai Pengerusi MKI bermula 10 Mac 2022 hingga 9 Mac 2024. Sebelum mengakhiri titah perutusan Baginda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Pengerusi turut berharap agar MKI berupaya menghasilkan ramuan dan kaedah baharu untuk menganjak minda ummah keluar daripada kotak pemikiran sempit, bersedia melakukan penghijrahan minda dan budaya serta berupaya membangun angkatan ummah dinamik sekali gus meningkatkan syiar Islam.

Semoga MKI terus berada di persada tertinggi dalam menyelaras urusan hal ehwal Islam di Malaysia sejajar dengan fungsinya dan sebagaimana yang dihasratkan oleh Majlis Raja-Raja.

IMAGE 01

IMAGE 02

IMAGE 03

IMAGE 04

IMAGE 06

IMAGE 07