Batu Gajah – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perak dan Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) telah menjayakan Program Wanita Idaman Ad-Deen (WIDAD) di Taman Seri Puteri, Batu Gajah, Perak.
Program WIDAD merupakan satu usaha berterusan oleh pihak JAKIM bersama rakan-rakan strategik bagi membantu dan membimbing para penghuni di institusi perlindungan (remaja wanita hamil luar nikah dan mangsa seksual) agar dapat menjauhkan diri dari terjerumus dalam aktiviti yang merosakkan masa depan mereka dengan mengutamakan pemulihan kerohanian dari aspek akidah, akhlak dan sahsiah dengan menggunakan pendekatan Psikospiritual Islam.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan antaranya Sharing Session bertajuk Akhlak Seindah Khadijah oleh Dai Hidayu dan slot Ma’rifatun Nafs (psikospiritual Islam) oleh Ustaz Syukri yang merupakan fasilitator di Keluarga, Sosial dan Komuniti Care Centre (KSKCC). Slot gamifikasi dan interaktif turut disertakan dalam program ini bagi mewujudkan kepelbagaian cara penyampaian pengisian kepada para peserta.
Majlis Perasmian WIDAD telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Noor Haliza binti Ali (Ketua Penolong Pengarah, KSK JAKIM) mewakili Tuan Pengarah Bahagian KSK JAKIM. Turut sama menghadiri Majlis Perasmian WIDAD ialah YBrs. Puan Fairus binti Bahari (Timbalan Pengarah JKM Negeri Perak), YBrs. Puan Noorlela binti Salim Shah (Pengetua Taman Seri Puteri, Batu Gajah, Perak), YBrs. Encik ‘Ammar bin Zulkiflee (Setiausaha Kerja, Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) dan YBrs. Puan Adibah binti Muhammad Rivai (wakil Jabatan Agama Islam Perak).
Semoga program ini dapat diteruskan lagi secara berkala dengan kerjasama strategik daripada semua pihak agar menjadi pemangkin semangat dan sinar baru buat anak-anak penghuni institusi perlindungan ke arah hijrah yang lebih bermakna.















