BANGI, SELANGOR, 15 OKTOBER 2024 – Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-61 telah bersidang pada 15 Oktober 2024, bertempat di Hotel TENERA, Bangi, Selangor.
Persidangan ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, Pengerusi JPPIK MKI dihadiri oleh ahli-ahli JPPIK yang dilantik oleh MKI dengan perkenan Majlis Raja-Raja dan dan ahli-ahli dari setiap negeri yang dilantik oleh Raja Pemerintah Negeri yang baharu bagi sesi 2024 hingga 2026. Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan Yayasan Islam Negeri. Hadir sama ialah YBrs. Dr. Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi).
Dalam ucapannya, YBhg. Tan Sri Pengerusi berhasrat untuk memberi perhatian kepada agenda Pendidikan Tahfiz TVET agar dapat dijayakan secara bersinergi dan strategik bagi membuka laluan pendidikan dan juga kerjaya kepada huffaz dan pelajar lepasan pondok. Kepakaran dalam bidang kemahiran profesional adalah penting dan sangat diberi perhatian oleh pemain industri serta membuka peluang yang lebih luas dalam pasaran pekerjaan.
Sebanyak empat kertas cadangan dan makluman telah dibentangkan sepanjang persidangan kali ini yang terdiri daripada agensi berkaitan pendidikan antaranya ialah Pusat Permata Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Darul Quran, JAKIM.
Penganjuran Persidangan JPPIK MKI kali ini diharap berupaya memperkasakan pendidikan Islam ke arah pendidikan yang lebih holistik dan selari dengan pendidikan arus perdana. Keputusan positif yang dicapai adalah manifestasi kesepakatan semua negeri dalam usaha meningkatkan kualiti, memantap dan mengekalkan keunggulan Pendidikan Islam di negara ini
Disediakan oleh,
Sekretariat
Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK)
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI)
Bahagian Dasar Kemajuan Islam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)



