MASAI, 26 - 28 SEPTEMBER 2024 – Bahagian Keluarga Sosial dan Komuniti, JAKIM dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan MAIWP dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Yayasan Ihtimam Malaysia(YIM) berkolaborasi bagi menjayakan program Kem Bimbingan Spiritual Komuniti Hijrah Negeri Johor. Program dihadiri seramai 41 orang peserta dari seluruh daerah Negeri Johor.
Sepanjang 3 hari 2 malam program ini berlangsung para peserta telah diberikan bimbingan dan pengisian berdasarkan pendekatan Terapi Psikospiritual Islam dan latihan dalam kumpulan / permainan oleh pasukan Fasilitator / Jurulatih Kementerian Pelajaran Malaysia yang diketuai oleh Ustaz Mohd Fazli bin Abu Manaf bersama 3 orang fasilitator.
Para peserta turut mendapat pengisian berkenaan isu HIV oleh Dr Nasrullah bin Nik Ab Kadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit HIV/STI dan Hep C, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan topik berkenaan istiqamah dalam penghijrahan oleh Ustaz Shaifulizam bin Jamaluddin, Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Keluarga dan Sosial MAINJ.
Majlis perasmian Kem Bimbingan Spiritual telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Noor Haliza binti Ali, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM. Ia turut dihadiri Puan Maimunah binti Othman, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Keluarga dan Sosial JAINJ dan Cik Hajah Nurul Farhana binti Mohd Noor, Ketua Pentadbiran dan Sumber Manusia Yayasan Taqwa MAIWP.
Melalui penganjuran program Kem Bimbingan Spiritual ini diharapkan mampu menjadi platform terbaik sebagai pemangkin perubahan kepada para peserta dalam menjalani kehidupan yang lebih baik dan sejahtera menurut tuntutan Syariat.



















