Kuala Lumpur, 5 Februari 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah (BPPPS) mengambil inisistif baharu untuk menggubal Manual Saksi Kompeten sebagai asas panduan kepada Pegawai Penguat Kuasa Agama, Pegawai Penyelidik dan mana-mana pegawai hal ehwal Islam yang akan menjadi saksi di mahkamah.
Mesyuarat penggubalan manual ini dipengerusikan oleh Puan Nafizah binti Md. Fauzi, Ketua Penolong Pengarah, BPPPS dan turut dihadiri oleh Pegawai Penguat Kuasa Agama dari Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Agama Islam Melaka, dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor, serta Pendakwa Syarie dari Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor, dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan. Perbincangan menekankan aspek kepentingan persediaan saksi, tanggungjawab, prosedur dan etika di mahkamah.
Penggubalan Manual ini diharapkan dapat meningkatkan tahap kompetensi dan profesionalisme para saksi serta dapat membantu hakim dalam membuat keputusan yang adil dan saksama. Langkah ini juga selaras dengan usaha berterusan untuk memperkukuh sistem perundangan syariah di Malaysia.





