Putrajaya – Khamis 20 Februari 2025, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penyelidikan telah menganjurkan Webinar Diskusi Isu-Isu Semasa Muamalat Siri 1/2025 bertemakan “Syariah & Perbankan Islam Perbankan Digital : Patuh Syariah” .Diskusi yang bermula jam 9.30 pagi dan berakhir pada jam 11.15 pagi ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat, memberi kefahaman serta meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan Perbankan Digital Islami di Malaysia.
Diskusi ini telah dikupas secara terperinci oleh ahli panel jemputan YBrs. Ustaz Wan Rumaizi bin Wan Husin, Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam dan YBrs. Ustaz Ibrahim bin Mohd Hasan, Ketua Pegawai Syariah AEON Bank (M) Berhad serta dihoskan oleh YBrs. Ustaz Shahrom bin Shahrin, Penolong Pengarah, Seksyen Kajian Muamalat, Cawangan Kajian Syariah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Industri perbankan digital Islam di Malaysia semakin berkembang seiring dengan kemajuan teknologi kewangan (fintech) dan keperluan pengguna terhadap perkhidmatan yang lebih pantas serta cekap. Namun, persoalan utama yang timbul ialah sejauh mana perbankan digital Islam mampu mengekalkan pematuhan Syariah dalam ekosistem digital yang pesat berubah ini. Antara isi perbincangan yang dikupas dalam diskusi ini ialah perkembangan dan keperluan perbankan digital Islam, cabaran dalam memastikan pematuhan Syariah dan masa depan perbankan digital Islam. Pada akhir perbincangan, panel mengesyorkan perbincangan perlu diperluaskan kepada masyarakat supaya ilmu dan pengetahuan berkaitan perkara ini dapat ditingkatkan.
Diskusi ini telah disiarkan secara langsung melalui platform media sosial rasmi JAKIM iaitu Facebook My JAKIM / Youtube JAKIM dan twitter.







