PUTRAJAYA, 10 Mac 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Maqasid Syariah dengan kerjasama Bahagian Penerbitan terus memperkasa kefahaman Maqasid Syariah melalui Kursus Eksplorasi Maqasid: Kupas Tuntas Buku “Kaedah Maqasid Al-Shari’ah” Siri 3/2025. Program ini berlangsung di Perpustakaan JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya dan dihadiri seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana JAKIM. Kupasan buku ini telah disampaikan oleh Ustaz Marwan Bukhari bin A. Hamid, Felo daripada Maqasid Institut Malaysia (MIM) yang merupakan seorang penulis, penterjemah dan penyelidik bagi buku ini.
Kursus ini merupakan kesinambungan daripada siri sebelumnya dan tumpuan kursus pada kali ini lebih menumpukan kepada Bab 2 iaitu kaedah Penyucian Jiwa dan Kebaikan Manusia dengan membincangkan empat kaedah utama daripada lapan kaedah yang terkandung dalam Bab 2 ini. Empat kaedah utama telah dibentangkan secara terperinci dan mengupas bagaimana prinsip-prinsip Maqasid Syariah boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian, termasuk dalam konteks dasar dan polisi semasa.
Para peserta kursus menunjukkan minat yang tinggi dengan mengajukan soalan-soalan untuk perbincangan berkaitan dengan isu-isu semasa dari perspektif Maqasid Syariah. Perbincangan secara interaktif ini membuka ruang kepada pemahaman yang lebih jelas dan mendalam tentang bagaimana konsep Maqasid Syariah dapat digunakan untuk menangani cabaran kontemporari dalam masyarakat.
Kursus Eksplorasi Maqasid Siri 3/2025 ini telah berakhir dengan jayanya dan berharap agar ia terus menjadi medan pencerahan ilmu, memperkayakan wacana intelektual, dan membantu dalam membina masyarakat yang lebih memahami falsafah hukum Islam dalam konteks moden.


