20 Mac 2025 – Darul Quran (DQ) melalui Unit Pusat Islam, Cawangan Hal Ehwal Pelajar, telah menganjurkan Majlis Iftar Perdana Tahun 2025 dengan penuh meriah. Majlis yang diadakan pada bulan Ramadan yang mulia ini disertai oleh kakitangan dan pelajar Darul Quran, dengan pelbagai aktiviti menarik dan penuh makna.
Majlis bermula seawal jam 5.30 petang dengan Majlis Khatam Tadarus Al-Quran yang dipimpin oleh AF Us. Mohd Fazli bin Ibrahim. Seterusnya, Ybrs. Pengarah Darul Quran JAKIM, Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim, menyampaikan ucapan alu-aluan beliau. Turut hadir dalam majlis ini ialah Ustaz Mohammad Zaki bin Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar serta pegawai dan keluarga.
Majlis kemudiannya diisi dengan Penyampaian Sumbangan Ramadan yang disampaikan sendiri oleh Ybrs. Pengarah. Acara kemudian diteruskan dengan Ceramah Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh AF Us. Mohamad Rahim bin Mohammed Abdul Rahman, memberikan pencerahan tentang keistimewaan kepada orang yang selalu mendampingi al-Quran.
Tidak ketinggalan, bacaan tahlil ringkas turut diadakan sebagai tanda penghormatan kepada arwah Us. Mohd Mahyilddin bin Ismail, bekas sahabat dan tenaga pengajar Darul Quran. Acara kemudian beralih ke sesi berbuka puasa bersama, diikuti solat Maghrib berjemaah yang menambah keberkatan majlis.
Kehadiran hampir 800 orang tetamu, termasuk kakitangan, pelajar, dan warga Darul Quran, menjadikan majlis ini lebih meriah. Jamuan makan malam diadakan di Dewan Maktabah DQ dan kawasan sekitar Pusat Islam, berlangsung sehingga kira-kira jam 8.30 malam.
Majlis Iftar Perdana ini bukan sekadar acara berbuka puasa, malah ia menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan antara kakitangan dan pelajar Darul Quran. Ia juga mencerminkan semangat ukhuwah dan keprihatinan dalam meraikan bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Pihak Darul Quran mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Diharapkan program seumpama ini akan terus dikekalkan sebagai agenda tahunan Darul Quran, seterusnya memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kerjasama dalam komuniti Darul Quran.



















