PUTRAJAYA, 17-19 JUN 2025 / 20-22 ZULHIJJAH 1446H, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah menganjurkan Kursus Peningkatan Kompetensi Fasilitator KSKCare Centre JAKIM Peringkat Asas bertempat di Bilik Seminar al-Baiyyinah, Kompleks Islam Putrajaya. Kursus ini melibatkan 35 orang peserta yang terdiri daripada fasilitator KSKCare Centre JAKIM dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kursus tiga hari ini diadakan bagi memberi pendedahan dan peningkatan ilmu kepada para fasilitator lantikan baharu berkaitan modul kaunseling Syarie, psikospiritual Islam dan `Ilaj Syarie. Para fasilitator berkepentingan untuk menguasai modul ini bagi memastikan setiap sesi khidmat nasihat yang dilaksanakan berasaskan kaedah yang telah disusun melalui modul tersebut.
Perkongsian ilmu yang disampaikan oleh penceramah jemputan yang pakar dalam bidang masing-masing telah membuka minda para peserta dalam mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam proses memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada klien yang hadir di KSKCare Centre. Perkongsian ilmu kali ini memberi fokus kepada tiga pendekatan peringkat asas yang digunakan serta teknik-teknik yang sesuai untuk diaplikasikan oleh fasilitator KSKCare Centre semasa proses bimbingan bersama klien. Penceramah jemputan adalah dari Persatuan Kaunseling Syarie (PAKSI), Persatuan Psikospiritual Islam (IPSA) dan Persatuan `Ilaj Syarie (PIS) yang terlibat secara langsung dalam membangunkan modul.
Majlis penangguhan kursus telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian KSK JAKIM. Ucapan beliau memberi penekanan agar semua fasilitator yang dilantik dapat memberi khidmat yang terbaik dan penuh kompeten dalam usaha membantu masyarakat yang berhadapan masalah kehidupan yang akhirnya dapat mensejahterakan masyarakat. Beliau berharap kursus ini dapat memberi panduan kepada fasilitator dalam melaksanakan khidmat nasihat dan bimbingan kepada klien kelak.

















