26 Jun 2025 – Darul Quran JAKIM terus komited dalam memperkasa kecemerlangan hafazan al-Quran melalui penganjuran Program Pemerkasaan Syahadah Hafazan Al-Quran yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Jun 2025 di Hotel Concorde, Shah Alam. Program intensif ini menghimpunkan seramai 21 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan pensyarah Darul Quran.
Turut serta, tiga panel pakar merangkap juri penilai bagi peserta Program Syahadah Hafazan Al-Quran Darul Quran JAKIM Tahun 2025 iaitu Ustaz Hanizamfansuri bin Hassan, Ustaz Abu Dzar bin Mamat dan Ustaz Mohd Faisal bin Mohd Fauzi.
Antara objektif utama pelaksanaan program ini termasuklah penyelarasan metodologi tasmi’, pengemaskinian modul syahadah serta penambahbaikan sistem penyertaan peserta. Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada keberkesanan proses penilaian calon dan strategi untuk meningkatkan kecekapan tempoh khatam serta mutu hafazan peserta.
Dalam sesi perbincangan yang padat dan menyeluruh, para peserta meneliti data pelaksanaan tahun sebelumnya dan mengemukakan cadangan konkrit untuk mempertingkat modul, format pengujian serta latihan intensif bagi pelajar yang akan menyertai program ini pada masa akan datang.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Darul Quran, Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak terlibat. Beliau menegaskan kepentingan usaha berterusan ini dalam mengekalkan kecemerlangan hafazan al-Quran khususnya di peringkat Darul Quran.
Program ini turut menjadi medan penting dalam mewujudkan jaringan strategik antara tenaga pakar dan pensyarah Darul Quran, sekali gus memperkukuh kerjasama serta keseragaman standard pengujian syahadah secara holistik dan bersepadu.







