Kurator Berita : Bahagian Maqasid Syariah
PUTRAJAYA, 21 Julai 2025 – “Bila matlamat maqasid atau syarie jelas, setiap jalan-jalan yang menuju ke arahnya jadi ibadah.” Begitulah antara mutiara ilmu yang dilontarkan dalam Kursus Eksplorasi Maqasid Siri 10/2025 anjuran Bahagian Maqasid Syariah dengan kerjasama Bahagian Penerbitan JAKIM, bertempat di Perpustakaan JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya.

Program yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi itu menyaksikan kehadiran 25 orang pegawai pelbagai peringkat daripada JAKIM dan agensi bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Majlis ilmu ini merupakan sambungan siri ke 10 daripada 16 siri kupasan buku Kaedah Maqasid Al-Shari’ah karya Prof. Dr. Ahmad Raysuni yang diterjemah ke Bahasa Melayu oleh penceramah jemputan, Ustaz Marwan Bukhari bin A. Hamid.

Sesi kali ini memberi tumpuan kepada Bab Keenam, Kaedah Wasilah dalam Maqasid yang merupakan antara topik penting dalam pembinaan kefahaman maqasid kontemporari.

Ustaz Marwan menjelaskan bahawa wasilah bukan sekadar alat atau cara, bahkan ia berperanan sebagai penyambung antara maqasid dan realiti yang jika tidak difahami boleh menyebabkan hukum dilihat kaku dan tidak relevan.

Kaedah wasilah ini membuka ruang ijtihad dan dinamisme dalam syariah, selagi mana wasilah itu membawa kepada maslahah (kebaikan) dan menolak mafsadah (kerosakan). Sebagai contoh, penggunaan teknologi dalam dakwah atau pentadbiran agama adalah wasilah moden yang mendukung maqasid utama iaitu menjaga agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

Bahagian Maqasid Syariah komited untuk terus memugar kefahaman tinggi ini dalam kalangan warga JAKIM agar setiap dasar, keputusan dan tindakan selari dengan roh dan hikmah Islam yang sejati.

MAQASID DIHAYATI WASILAH DIFAHAMI 01

MAQASID DIHAYATI WASILAH DIFAHAMI 02

MAQASID DIHAYATI WASILAH DIFAHAMI 03

MAQASID DIHAYATI WASILAH DIFAHAMI 04