IPOH, PERAK, 25-28 JULAI 2025 – Mengambil cakna tentang perihal kepentingan masyarakat Islam khususnya terhadap komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP) Dadah, Bahagian Keluarga Sosial Dan Komuniti (KSK) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perak telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Program Rakan Setia Komuniti (RSK) bersama Klien AADK dan Program Outreach RSK Negeri Perak bagi Tahun 2025 pada 25 – 28 Julai 2025.
Program ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 40 orang peserta yang telah mengambil bahagian dalam program yang diadakan di Hotel Impiana, Ipoh, Perak. Majlis perasmian program telah disempurnakan dengan jayanya oleh YBrs. Puan Noor Haliza binti Ali, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM yang mewakili Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM. Turut hadir menyempurnakan majlis ialah YBrs. Tuan Mohamad Nor bin Musa, Pengarah AADK Negeri Perak serta tetamu-tetamu kehormat yang lain.
Objektif penganjuran program adalah untuk memberi penerangan dan bimbingan kepada para peserta OKP Dadah serta merungkai permasalahan semasa berkaitan isu-isu keagamaan, kekeluargaan, masa depan dan hala tuju hidup mereka di samping memupuk semangat kerjasama, toleransi serta membentuk jati diri dan keyakinan yang tinggi dalam melahirkan minda yang inovatif lagi beriman. Selain itu, ianya dapat memberi kesedaran kepada OKP Dadah tentang kepentingan penglibatan aktiviti luar yang lebih berfaedah dalam membentuk kecemerlangan peribadi, keluarga dan komuniti serta meningkatkan kemahiran diri dan berfikiran rasional dalam menjalani kehidupan dan mendepani cabaran mendatang.
Pendekatan yang diambil dalam Program Outreach RSK pula adalah sesi ziarah ke rumah-rumah klien OKP Dadah. Program ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil yang dianggotai wakil dari JAKIM dan AADK dalam menyantuni 20 buah rumah ahli keluarga klien OKP Dadah yang telah dipilih oleh AADK Perak. Konsep penghayatan agama terus diutamakan melalui sesi kaunseling, khidmat nasihat dan bimbingan melalui kaedah Psikospiritual Islam dan disusuli dengan sumbangan bakul makanan.
JAKIM akan meneruskan kolaborasi dengan rakan strategik khususnya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk memastikan komuniti ini mendapat perhatian dan bimbingan yang sewajarnya dalam usaha membantu mereka untuk proses rawat dan kepulihan sekaligus dapat menjalani kehidupan normal yang bebas daripada pengaruh dadah. Gabungan Ilaj wa Shifa’ antara perubatan sains moden dan Islam amatlah bersesuaian dalam membimbing, merawat dan memulihkan jiwa golongan klien ini seterusnya mampu mengembalikan keyakinan dalam diri mereka.

















