Seremban, 25 Julai – Muzakarah Falak MABIMS 2025 yang telah menghimpunkan negara-negara anggota MABIMS, Ashabus Samahah Mufti-Mufti Negeri, Panel Pakar Falak JAKIM serta para pegawai dan penyelidik falak serantau, anjuran JAKIM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan melalui Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan secara rasminya melabuhkan tirainya hari ini.
Muzakarah yang berlangsung sejak 22 Julai 2025 di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan ini merupakan wadah keilmuan dan strategik dalam memperkukuh sinergi falak Islam peringkat serantau.
YBrs. Tuan Haji Amran bin Hj. Awaludin, Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan, JAKIM telah membentangkan Resolusi Muzakarah Falak Peringkat MABIMS yang dipersetujui bersama oleh semua negara anggota sebagai manifestasi komitmen kolektif dalam memperkasa kerjasama strategik dalam konteks penganjuran latihan, seminar dan pelbagai aktiviti keilmuan serta penyelidikan strategik bersifat rentas sempadan.
Majlis Penutup Muzakarah telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan. Ucapan aluan disampaikan oleh YBrs. Dr. Mohamad Kori bin Jusoh, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM mewakili pihak pengurusan tertinggi JAKIM.
JAKIM menyambut baik iltizam padu semua negara anggota MABIMS dalam memperkasa institusi falak serantau, khususnya melalui penerokaan teknologi baharu seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam proses cerapan hilal. Inisiatif ini turut merangkumi usaha mempergiat penyelidikan kolaboratif dalam merealisasikan hasrat besar ke arah penyatuan takwim Hijri global yang lebih bersepadu, mampan dan berdaya saing.
Pelaksanaan Muzakarah ini memperkukuh lagi peranan Malaysia sebagai pemimpin rujukan dalam bidang falak syarie di peringkat antarabangsa, selari dengan semangat Islam Mekar di Bumi Malaysia dan nilai-nilai MADANI yang menekankan ilmu, integriti, inovasi serta keterangkuman sejagat.
Untuk rekod, Muzakarah Falak MABIMS 2025 telah berjaya dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan sebagai platform penyatuan ilmu falak yang berteraskan syariah, tradisi dan teknologi moden.







