SEMANGGOL, PERAK, 15-17 JULAI 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) selaku penganjur utama telah mengadakan Kursus Indahnya Hidup Bersyariat Komuniti Hijrah (Perempuan) Negeri Perak Tahun 2025 bertempat di Bukit Merah Laketown Resort, Semanggol, Perak. Peserta kursus adalah dalam kalangan komuniti hijrah (Lesbian) dari beberapa negeri di Malaysia.
Kursus ini merupakan salah satu platform menyantuni golongan hijrah melalui pendekatan psikospiritual Islam, menyemai nilai kasih sayang, membina kekuatan jiwa, dan membimbing mereka kembali kepada fitrah insani. Inisiatif ini mencerminkan komitmen JAIPk dan JAKIM dalam menyampaikan dakwah bil hal kepada komuniti berkenaan melalui pendekatan yang berhikmah, inklusif, empatik dan penuh hikmah.
Kursus ini telah dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang diundang khas oleh pihak JAIPk bagi menyantuni para peserta melalui perkongsian ilmu dan aktiviti riadah dan out door. Antara tajuk yang disampaikan ialah Who Am i?, Bidadari Syurga, Darah Wanita, Pengurusan Jenazah dan Bicara Wanita. Manakala aktiviti riadah dan out door telah diadakan di sekitar Kawasan Bukit Merah Laketown Resort.
Majlis perasmian kursus ini telah disempurnakan oleh YBrs. S.F Tuan Haji Saiful Azizi bin Abdul Manap, Ketua Penolong Pengarah (Kanan), Bahagian Dakwah, mewakili Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.








